KISAH KASIH merupakan siri tulisan kekeluargaan yang berkisar kepada anak-anak, ibu bapa dan guru.
CUKUPKAH SASARAN ITU?
Baru-baru ini, banyak juga ibu bapa dan rakan yang menceritakan perihal kebimbangan tentang anak-anak yang masih belum tahu membaca.
Tidak kiralah umur anak atau latar belakang ibu bapa, hampir semuanya memperkatakan isu yang sama.
Kisah boleh membaca ini, banyak dibincangkan dan didebatkan oleh banyak kumpulan. Antara kumpulan ibu bapa, pendidik dan guru serta pengusaha dalam bisnes pendidikan kanak-kanak.
Ada banyak sisi pandang yang sudah dikemukakan dan dibincangkan.
Kali ini, saya melihat dari 2 sisi pandang. Pertama, sebagai ibu. Kedua, sebagai orang bisnes.
PERTAMA
Sebagai ibu, membiarkan anak tanpa bimbingan dan persediaan, samalah seperti meletakkan anak kita dalam keadaan sukar. Memberikan persediaan tidak bermakna anak kita akan mencapai apa yang orang lain capai.
Apabila kita menyediakan anak kita dengan kemahiran membaca, tidak bermakna dia mesti mencapai satu pencapaian standard macam semua orang. Standard yang macam mana itulah yang kita perlu tentukan.
Misalnya, apabila anak kita sudah berumur 6 tahun, kita mensasarkan anak kita untuk membaca ayat ringkas, kombinasi suku kata terbuka dan tertutup, cukup untuk dia memahami teks asas. Maka, persediaan kita adalah mencapai sasaran itu.
Tetapi, jika sasaran untuk anak kita boleh membaca itu sehingga boleh menulis karangan dan menjawab soalan pemahaman, itu memerlukan persediaan yang berbeza. Malah, anak-anak kita juga berbeza kekuatan dan kebolehannya.
KEDUA
Sebagai orang bisnes yang mengurus atau mengendalikan program pendidikan pula, tidaklah salah untuk meletakkan “boleh membaca” sebagai salah satu ayat memasarkan tadika. Malah, memang ramai ibu bapa yang merupakan pelanggan kita, mahukan begitu.
Sebagai orang bisnes yang punya perjuangan, kita juga tidak mahu ibu bapa dan anak-anak hanya melihat membaca sebagai satu kriteris pencapaian yang mereka mahu. Perjuangan orang bisnes dalam mengendalikan program pendidikan jauh daripada itu.
Entiti dan syarikat bisnes mempunyai pengaruh dan kekuatan untuk membawa satu budaya baru. Budaya yang boleh membina generasi.
Orang bisnes seharusnya meletakkan satu sasaran yang lebih jauh dan lebih berpengaruh. Membaca, hanyalah salah satu subjek dan komponen kemahiran sahaja. Bagi membina satu generasi, kita juga perlu ada fokus kepada perkembangan sahsiah, identiti dan jati diri serta nilai-nilai khusus yang mahu kita bangunkan.
Maka, dalam konteks ini, cukupkah sasaran yang kita letakkan sebagai ibu bapa?
Cukup besarkan perjuangan yang kita bawa dalam bisnes pendidikan ini?
Semuanya, bergantung kepada apa yang dibawa oleh ibu bapa dan kumpulan yang memulakan inisiatif bisnes itu.
Akhirnya, anak-anak jugalah yang bakal menjadi generasi, pewaris bangsa.
.
Noraminah Omar
2 Ogos 2016
1.00 pagi
Hospital Kajang