APABILA bercerita tentang partnership dan kerjasama dalam bisnes, ada macam-macam sisi. Yang baik ada, buruk pun ada. Apabila kita mahu berkongsi, lebih baik kita kongsikan yang baik. Yang buruk, biarlah dijadikan sempadan.
Dalam situasi perkongsian dan partnership dalam bisnes juga da banyak sisi-sisi pandang berbeza. Namun, hakikatnya, bisnes itu ada objektif sendiri yang mahu dicapai. Malah, dalam membuat setiap dan sebarang keputusan, masih ada perbezaan yang perlu diraikan.
Apakah yang membolehkan kerjasama dan partnership itu berjaya? Ada banyak faktor.
PERTAMA yang perlu diteliti ialah, “Apa yang mahu dicapai daripada kerjasama (partnership) ini?”
Semua pihak yang terlibat mestilah jelas. Masing-masing juga mesti berkongsi maklumat dan memberikan maklumat tentang apa tujuan sebenar mahu menjalinkan kerjasama.
Apakah ianya untuk untung? Jika rugi bagaimana?
Apakah ianya untuk menambah pelanggan? Jika tiada pelanggan (atau sedikit) bagaimana?
Apakah inya untuk bisnes berkembang? Jika tidak berkembang bagaimana?
Dalam hal ini, perlu ada persetujuan dan persefahaman. Bisnes ada risikonya. Ada cara menguruskan risiko.
KEDUA, apakah tugas dan tanggung jawab masing-masing?
Sekiranya ada 3 pihak, setiap pihak dalam kerjasama itu mesti ada fungsi masing-masing. Fungsi pula mestilah boleh dinilaikan dan membawa nilai kepada inisiatif serta usaha dalam kerjasama itu. Perkara yang tidak boleh dikur atau ‘non tangible’ mestilah diadakan cara untuk mengukur dan menilaikannya.
Setiap fungsi yang dimainkan pula mestilah fungsi yang diperlukan supaya perusahaan kerjasama itu dapat berjalan dengan baik. Peranan dan fungsi itu, mesti dijalankan dengan baik. Persetujuan tertentu mesti dicapai dalam mengukur dan menilai tugas masing-masing.
Sekiranya ada pihak yang membawa masuk nilai dalam bentuk ‘hak cipta’, ia mesti juga boleh dinilaikan. Semua nilai dan hak pegangan ‘hak cipta’ ini mestilah jelas. Maka, setiap pihak dalam kerjasama saling menghormati hak setiap pekongsi dalam hubungan partnership yang dibina.
Meskipun antara ahli keluarga dan adik-beradik, hak-hak ini dan peraturannya mestilah dipatuhi.
KETIGA, apakah tempoh kerjasama yang bakal dijalankan?
Apakah kerjasama ini ada tempoh minima?
Jika tiada, apakah ada tempoh maksima. Dalam semua hal transaksi berkaitan urusan perniagaan, adalah baik apabila ada disebut satu tempoh yang khusus.
Malah, ada juga bahagian yang dinyatakan tentang tatacara dan prosedur untuk menamatkan kerjasama yang adil. Bermakna, semua pihak mempunyai hak masing-masing.
DALAM pengurusan kerjasama, apabila semua rakan kongsi berada dalam satu kerangka fahaman dan gerak kerja yang selari, semua perbincangan akan dapat dilakukan dengan lebih baik. Malah, urusan dan peraturan dapat dijalankan dan dipatuhi dengan selesa.
Hak-hak semua pihak termasuklah dalam kategori menerima manfaat dan memberi manfaat diberikan perhatian dengan sempurna. Adakalanya, kepincangan berlaku. Maka, sistem dan tatacaranya perlu dibetulkan.
PERKARA berkaitan dengan undang-undang, hak cipta dan peraturan bukanlah satu perkara main-main. Bukanlah juga, mereka yang bertanggungjawab atas hak cipta itu berlaku zalim. Sudah memang tugas mereka menjaga hak cipta itu.
Mereka sebenarnya, mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga hak-hak yang dimiliki oleh ramai orang. Apabila ada pencerobohan dan salah laku, maka sudah tentu ada tindakan yang perlu diambil. Paling tidak, menerangkan, mengesahkan, memaklumkan dan memastikan maklumat yang betul sampai.
Setiap pembetulan akan mempunyai kos. Sudah tentu, semua pihak bersedia dengan adanya kos untuk menambahbaik apa yang ada. Ironinya, ramai yang mahu bekerjasama dalam bisnes dengan tujuan mendapat manfaat tanpa memberi manfaat kepada pihak lain.
Manfaat diterima.
Manfaat diberi.
Hanya dengan itu ia dapat disebarkan.
Noraminah Omar
30 Oktober 2016,
Kajang.