Dalam 3 situasi pengurusan bisnes pendidikan yang dikongsikan di bahagian permulaan siri ini, ada beberapa identiti yang dapat dikenalpasti.
- Identiti sebagai pakar pendidikan.
- Identiti sebagai pakar pengurusan bisnes.
- Identiti sebagai pakar jualan dan pemasaran.
Identiti ini kebiasaannya dijadikan sebagai ‘positioning’ dan penjenamaan seorang pendiri bisnes itu.
Kepercayaan pelanggan kepada bisnes pendidikan pada fasa permulaan biasanya bermula dengan penjenamaan pendiri bisnes. Apabila memasuki fasa bisnes yang matang, pembangunan sistem dan kelengkapan SOP memainkan peranan. Selepas itu, jenama bisnes itu akan mengambil tempat dengan selesa.
Bagi pengusaha bisnes yang terus mengambil satu jenama sebagai penguat kepada bisnesnya, mereka tidak menonjolkan diri sebagai pendiri bisnes. Mereka lebih menekankan kepada sistem dan cara jenama itu diuruskan.
Dalam bisnes pendidikan secara persendirian, jenama bisnes itu biasanya diletakkan kepada modal sosial pendiri bisnes. Kemudian, dengan adanya tim pengurusan dibentuk, pendiri bisnes sudah mula merancang untuk mengembangkan bisnes.
Pengembangan bisnes pula dilakukan dengan dua cara. Sama ada mereka membuka cawangan baru atau menjalankan bisnes baru yang lain.
Membuka cawangan bisnes merupakan pilihan ramai pengusaha bisnes yang mempunyai latar pendidikan sebagai guru. Ini mengambil masa kerana ia memerlukan pengusaha yang mempunyai modal baru (dan penuh) untuk membuka cawangan.
Manakala, selebihnya ada yang memilih untuk membuka bisnes lain. Bisnes lain bermakna mereka mula menceburi bisnes yang tiada kaitan dengan pendidikan. Ada yang membuka butik dan kedai makan.
Identiti dan nilai institusi pendidikan itu sering terletak sepenuhnya kepada individu yang memilihnya. Meskipun adakalanya ia berubah, founder kepada bisnes itu sendiri banyak membuat keputusan tentang tatacara pengendalian bisnesnya.
Ada banyak pusat pendidikan yang langsung tidak mengetengahkan pemiliknya sebagai salah satu positioning bisnes.
Ada ramai individu yang sudah dikenali sebagai konsultan, pensyarah, perunding latihan dan pembangun kurikulum pendidikan yang mengkhusus dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Antara mereka ada yang mempunyai bisnes tadika atau taska sendiri. Malah, sebahagian besar menjadi rakan kongsi dalam rangkaian bisnes pendidikan.
Identiti diri boleh dibina. Perubahan boleh dibuat walaupun mengambil masa. Pilih, tentukan dan bina.