ADA ramai juga rakan bisnes yang bertanya tentang pengurusan situasi partner yang sama-sama bekerja.
Sebenarnya, dalam pengurusan syarikat yang sama-sama kita buka bersama dengan beberapa individu lain, mestilah ada persefahaman asas kepada pembukaan syarikat itu.
Antara yang penting ialah:
+ tujuan pembukaan syarikat
+ aktiviti bisnes
+ tugas dan tanggungjawab
+ terma perkongsian kerugian dan keuntungan
Ada banyak perkongsian yang tidak kekal lama apabila semua individu awal yang membuka syarikat tidak dapat mencapai persefahaman dalam hal yang utama ini.
Mereka bertelingkah atas objektif syarikat yang tidak jelas.
Mereka berpecah menjalankan aktiviti bisnes masing-masing tanpa perancangan.
Mereka bermasam muka apabila tidak puas hati atas pencapaian masing-masing apabila bekerja.
Mereka tertekan apabila syarikat masih belum buat keuntungan.
Dalam masa menguruskan syarikat ini, penyusunan komitmen awal semua yang terlibat mesti dibuat.
Masing-masing mesti jelas tentang manfaat dan juga risiko yang diambil dalam perkongsian syarikat ini.
Apabila membuka syarikat kecil, keperluan mengurangkan kos adalah tinggi. Maka, banyak syarikat dibuka dengan semua pemegang sahamnya bekerja. Ini berlaku kepada syarikat dengan 3 – 5 orang pemegang saham. Maka, susunan kerja pemegang saham mestilah diatur.
Menjadi pemegang saham, bawa masuk modal, terima dividen setahun sekali. Itupun apabila syarikat ada keuntungan.
Bekerja, mestilah dengan lantikan rasmi dan gaji yang setaraf dengan kerja dan tahap profesionalisme mengikut industri. Jika kita mengambil orang lain bekerja dengan gaji RM1500, maka itulah juga gaji yang kita ambil apabila kita mengambil kerja itu.
Semua pemegang saham yang bekerja juga, haruslah menghormati portfolio tugas masing-masing. Asingkan tugas sebagai pemegang saham dan pekerja.
Lantiklah ketua syarikat, (biasa dipanggil CEO) supaya tugas eksekutif dalat disusunkan dengan baik. Meskipun kita adalah pemegang saham terbesar, jika tugas kita ialah pegawai tadbir, kita jalankan tugas dalam job scope itu sahaja.
Apabila kita pula dilantik menjadi CEO, kemahiran memimpin perlulah digilap. Menguruskan pekerja yang juga merupakan pemegang saham syarikat memerlukan kebolehan memimpin dan bekerjasama yang tinggi.
Kemahiran ini boleh dipelajari.
Teks oleh:
Noraminah Omar
3.58 pagi
4 November 2016
Kajang.
2 thoughts on “MENJADI PEMEGANG SAHAM & BEKERJA”
Ceo uzur. Dapat tak mewariskan syer ke pewaris pertama?
Boleh tanya hal urusan lanjut dengan setiausaha syarikat.
1. Jika CEO uzur, boleh lantik baru.
2. Jika pemegang saham, saham boleh diwariskan. Ikut peraturan. Jika ada wasiat atau jatuh kepada hukum faraid.