Mahu atau tidak, saya juga mengaku bahawa saya sendiri perlukan suntikan semangat dan motivasi luar dari masa ke semasa. Ramai orang bercakap tentang ‘sedut aura’. Kata mereka, kita perlu berjumpa dengan orang yang positif dan jadi positif macam mereka.
Ya. Motivasi dan semangat itu penting. Meskipun ia bukanlah segala-galanya, ia merupakan antara faktor terdorongnya manusia untuk mencapai apa yang dia mahu capai. Dalam kumpulan bisnes, ini juga berlaku. Orang bisnes biasanya ada cara masing-masing untuk mengekalkan semanat dan motivasi diri.
Menerima ‘rejections’ pelanggan, komen dan kritikan, hasil dan laporan yang tidak mencapai objektif adalah antara yang banyak menjadikan orang bisnes tertekan. Situasi ini adalah antara yang buruk dan menyebabkan motivasi dan semangat sering jatuh.
Bagi orang bisnes yang sudah lama dalam bidang dan industri bisnes mereka, ia adalah perkara biasa. Mereka sudah tahu apa dan bagaimana mahu mengatasinya. Mereka sudah mempunyai pengalaman yang luas. Perkara dan perihal jatuh dalam bisnes, sudah menjadi lumrah. Malah, mereka sudah tahu bagaimana dan apa caranya untuk bangkit semula dalam kejatuhan.
Bagi orang bisnes yang baru, kita mungkin masih perlu banyak sokongan motivasi dan semangat daripada luar. Ada banyak perkara kita mahu dan perlu belajar. Malah, kekuatan dalam kumpulan ini menjadi antara yang penting dalam pengurusan syarikat kecil.
Berikut adalah perkara biasa yang dilakukan oleh orang bisnes untuk memastikan mereka sentiasa bermotivasi dan bersemangat.
- Berjumpa dengan orang bisnes lain dalam pelbagai platform
- selalu minum kopi dengan orang bisnes lain
- menghadiri ‘networking event’ yang pelbagai
- menjadi ahli persatuan atau badan yang berkaitan dengan industri bisnes
- Menghadiri kelas , seminar dan program latihan bisnes untuk mengasah kemahiran
- Menjalankan projek bisnes yang baru dengan tim baru
- Menyusun aktiviti rutin dengan perbezaan pelaksana dan perlaksanaannya
- Mengambil serius akan keperluan hobi masa lapang
Dalam semua perkara di atas, orang bisnes dengan sendirinya akan terdedah dengan bayak input baru. Pada masa yang sama, kawan baru dan peluang baru dapat dicipta.
Walaubagaimanapun, situasi ini sedikit demi sedikit dapat ditangani oleh orang bisnes dengan baik.
Bermakna, kita tidak akan bergantung sepenuhnya kepada dorongan luaran.
Malah, kita mampu membina ‘intrinsic motivation’.
Kita tahu apa dan bagaimana sesuatu itu memberikan kepuasan tanpa ada faktor luaran yang diperlukan.
Teks:
Noraminah Omar
4.55 pagi
4 November 2016
Kajang