Apabila bercakap mengenai bisnes, kita tidak dapat lari dari menyebut perkataan syarikat. Meskipun ramai pengusaha yang menjalankan bisnes dengan lesen ‘enterprise’, bisnes bersyarikat menjadi satu pilihan bagi mereka yang mahu mengembangkan bisnes.
Tidak kiralah bisnes itu dalam bidang pendidikan atau bidang lain, ia masih merupakan satu entiti bisnes. Meskipun bisnes itu diuruskan atas lesen ‘enterprise’, ia masih berada dalam kategori bisnes.
Apabila ada pindah milik servis atau produk daripada satu pihak kepada pihak yang lain dengan pembayaran nilai atau satu jenis matawang, ia sudah dikira bisnes.
Maka, apakah yang menjadikan bisnes itu perlu diuruskan secara bersyarikat?
1. Pematuhan proses dan perundangan
Pengurusan sesebuah bisnes banyak melibatkan proses dan prosedur. Meskipun bisnes itu kita lihat ringkas dan mudah, ia masih memerlukan beberapa pematuhan penting.
Secara amnya, bisnes akan melibatkan perkara asas seperti lesen perniagaan dan lesen menjalankan bisnes dalam bidang. Sebuah syarikat mempunyai perundangannya juga yang sendiri.
Maka, setiap individu yang terlibat dalam syarikat secara automatik tertakluk kepada peraturan syarikat dan perkara yang melibatkan industri bisnes syarikat itu.
Dalam konteks ini, kita dapat melihat bahawa bisnes yang diuruskan oleh sebuah syarikat lebih erintegriti dengan adanya pematuhan kepada perundangan.
2. Menguruskan risiko yang pelbagai
Apa juga jenis bisnes yang diceburi, pasti ada risikonya. Dalam konteks pengurusan bisnes bersyarikat, risiko ini diuruskan secara ‘institutional’.
Syarikat yang diuruskan oleh individu-individu di dalamnya, dapat mengasingkan antara skop kerja dan bidang dalam syarikat dengan kehidupan persendirian. Walaupun ramai yang melihat bahawa sukar mengasingkan antara hidup dalam bisnes dan hidup peribadi, itulah perubahan masa kini yang perlu kita hadapi.
Dalam banyak hal, ‘liability’ individu tertentu dalam syarikat adalah tinggi. Ini termasuklah ahli lembaga pengarah dan ahli pengurusan kanan syarikat yang sering menggalas beberapa tugas besar sebagai penggubal polisi dan pembuat keputusan. Namun, pulangannya masih dikira berbaloi.
Apabila bisnes bersyarikat, ada banyak pengurusan risiko yang membolehkan ahli keluarga dan waris kita tidak memanggung hutang bisnes sekiranya kita sudah tiada.
3. Memastikan adanya legasi bisnes
Kelangsungan bisnes yang dijalankan bukanlah sati perkara yang kita mahu dapat dalam masa yang pendek. Bisnes bersyarikat melibatkan pegangan saham, penerimaan dividen dan terma pewarisan. Pegangan saham dalam sebuah syarikat merupakan antara salah satu portfolio pelaburan ramai orang. Ianya adalah satu jenis aset juga.
Saham yang dipegang boleh diwariskan. Bermakna, generasi seterusnya masih boleh mendapat manfaat daripada aset (saham) yang ada.
Bisnes bersyarikat juga membolehkan pengurusan sebuah bisnes diteruskan meskipun pendiri bisnes itu sudah mati.
Begitulah. Meskipun hidup hanya sementara, kita mahu mengoptimumkan dan menghasilkan yang terbaik selama hayat masih ada.
Dalam bisnes, rugi itu pasti.
Dalam hidup, mati itu pasti.
Teks: Noraminah Omar