Semasa saya mula menceburkan diri dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, saya mengajar di sebuah tadika yang menggunakan konsep Montessori sebagai pembelajaran utama. Itu, pada tahun 2000. Kemudian, menjelang tahun 2002, saya bertukar mengajar di sebuah pusat pendidikan yang berlokasi di rumah kedai.
Perbezaan suasana kerja dan premis yang berbeza, mengajar saya satu kemahiran baru.
“Mencipta kelainan untuk survive”.
Bagi Tuan dan Puan yang sudah biasa dengan senario tadika yang beroperasi di rumah, suasana mengajar anak-anak berbanding dengan dalam premis rumah kedai TIDAK SAMA.
Bagi seorang guru, secara emosinya, tidak sama. Suka saya kongsikan beberapa perkara.
Di tadika yang berada di kawasan perumahan, suasananya agak terbuka dan masih sepeti berada di sebuah rumah kediaman. Kita masih boleh melihat awan yang biru dan sesekali membuka tingkap agar angin dapat masuk menderu. Apabila hujan, dapatlah kami para guru merasa sejuknya hawa udara akibat tempias air hujan.
Di Pusat Pendidikan di premis kedai pula, ianya lebih tertutup. Ia lebih selesa dengan penghawa dingin dan lebih selamat dari segi ruang. Namun, keadaannya yang seumpama akuarium itu, adakalanya menyesakkan.
Kadangkala, hujan turun pun, kami tidak perasan. Bagi yang bertuah, mereka dapat mengejar dalam kelas yang berhampiran tingkap. Tetapi, tingkap dikunci sepanjang masa untuk memastikan keselamatan semua.
Apabila mengendalikan kelas bersama anak-anak dalam situasi yang tertutup, sebagai guru sentiasa mencari cara yang dapat mengurangkan tekanan kepada semua. Guru dan anak-anak juga mudah tertekan sekiranya pembelajaran tidak menyeronokkan.
Pada masa itu, antara yang dimulakan ialah dengan memeastikan anak-anak bergerak setiap 15 minit, keluar daripada bilik dan ruang pembelajaran yang sama. Kami sengaja bermain ‘choo choo train’ dan pusing mengelilingi ruang luar bilik. Selesai, kami ketawa dan kembali ke ruang pembelajaran.
Sesekali, kami ubah tempat duduk. Meja dalam kelas adakalanya berbentuk U, L, bulatan dan barisan satu-satu. Perubahan ini membolehkan kami sebagai guru dan anak-anak mempunyai ‘feel’ yang berbeza setiap minggu apabila masuk ke dalam ruang yang hanya ada 4 bahagian dinding itu.
Pada hari-hari tertentu, kami akan menyusun semua kerusi dan meja ke tepi. Aktiviti pembelajaran semuanya berlaku di atas lantai.
Pada masa tertentu pula, kami bawa semua bahan pembelajaran dan mengadakan kelas di ruang makan yang disediakan.
Ini adalah antara cara kami sebagai guru dalam ‘akuarium’ mencipta keseronokan. Dengan adanya rasa seronok dan adanya perubahan suasana dan ruang, secara tidak langsung diri kami sebagai guru kekal bermotivasi.
Ini kisah saya, 17 tahun dahulu.
Sekarang, bagaimana?
Secara peribadi, saya masih mengekalkan konsep yang sama. Bekerja dalam sebuah syarikat dengan kumpulan staf yang sama, mestilah ada satu keseronokan bekerja yang dicipta. Apabila kita hanya melakukan perkara yang sama, ia akan jadi ‘boring’.
Apakah antara cara mengekalkan motivasi diri sendiri?
1. Ciptalah cabaran baru setiap 3 bulan sekali.
Apabila kita menguruskan hal pengurusan syarikat, sudah pasti kita akan menemui banyak perkara yang perlu dibaiki. Sekiranya tidak ada, lihat sahaja pengurusan di bahagian operasi, kewangan dan sumber manusia.
Lihat pencapaian semasa dan keperluan syarikat. “Brigde the gap.” Inilah yang akan mejadi cabaran setiap 3 bulan sekali. Capai satu persatu sasarannya. Raikan kejayaan kecil itu.
2. Berikan masa kepada diri untuk dicabar dengan membaca bahan baru setiap 3 bulan sekali.
Luangkan masa untuk mencabar diri sendiri membada bahan yang mencabar ‘mind and soul’. Ambil buku yang tidak ada kaitan dengan bisnes. Ambil buku yang lebih tinggi daripada situasi bisnes kita. Pilih minima 2 buku untuk dihabiskan dalam masa 3 bulan.
Ini membolehkan kita mencabar diri dengan sesuatu yang baru. Cabaran baru, menjadikan kita ‘looking forward to seeing new things”.
3. Berjumpa dan keluar dengan orang yang berbeza, sekali setiap 3 bulan. Mengopi dan menyertai beberapa aktiviti yang tidak berkaitan secara langsung dengan tugas dan bisnes semasa.
Katakanlah kita berada dalam bisnes pendidikan. Masuklah aktiviti dan perjumpaan yang melibat banyak bisnes lain, bukan hanya pendidikan. Hadiri sesi minum kopi berkumpulan bersama orang bisnes lain. 3 bulan sekali, bermakna 4 tahun sekali.
Selebihnya, kekalkan network melalui media sosial.
4. Setahun sekali, pastikan kita hadir ke program yang bertaraf nasional atau antarabangsa.
Ini mesti masuk dalam kalendar. Sama ada program berbayar atau percuma, pasti akan ada kos yang terlibat. Susunkan dan rancangkan. Biasanya minima bajet untuk program tahunan begini sekitar RM2500 – Rm5000 bergantung kepada program dan lokasinya.
Sekiranya bajet tidak besar, selang selikan dengan setahun program dalam negara dan tahun kemudiannya di luar negara. Apabila ada dalam perancangan, akan dapat ditunaikan.
Tiada satu cara yang sesuai untuk semua. Tetapi akan ada cara dan jalan yang sesuai untuk kita.
Apabila kita tahu cara terbaik mengekalkan motivasi diri sendiri, secara tidak langsung individu yang berada di sekeliling kita akan mendapat tempias yang positif.
Sama ada kita disukai orang atau tidak, itu bukan isunya.
Yang penting, ‘results speaks louder for us’.