Lewat petang itu, saya seperti biasa membuka telefon ditangan. Menekan pada skrin logo MESSENGER yang membolehkan saya menghantar mesej kepada beberapa rakan.
“Puan, apa khabar?”, satu pop-up mesej masuk semasa saya sedang leka membaca mesej dalam grup kerja.
Segera saya belek daripada siapa. Sambil tersenyum saya membalas messenger itu dengan menaip ringkas, “Baik.”
“Puan, tahu tidak Si A sudah berhenti kerja?”
“Tidak pula.”
“Ya, Puan. Dia letak jawatan dengan notis sebulan. Macam mana ni Puan?”
Saya, seperti biasa membalas mesej itu memandangkan beliau rakan sekerja yang dekat. “Biasalah. Memang boleh berhenti kerja.”
“Tapi, macam mana Puan? Dia kan ketua? Siapa akan teruskan kerja-kerja dalam unit tu?”
“Sudah tentu ketua bahagian ada rancangan. Lagipun, notis kan sebulan, Biasa memang macam itu.”
“Eh, tak boleh Puan!”
Saya jadi hairan. Ringkas sahaja mesej saya, “?”
“Ya lah Puan. Selama ini dia orang kuat dalam syarikat. Kalau dia berhenti macam mana?”
Saya diam. Membaca soalan dan pertanyaan rakan saya itu, saya sendiri berfikir.
Memang biasa dalam sebuah syarikat, kita akan ada unit-unit kerja yang menjalankan fungsi masing-masing. Biasanya, bagi syarikata kecil, pemegang saham juga bekerja dalam syarikat itu. Malah, dalam banyak syarikat start-up, pemegang saham yang bekerja itulah juga yang memegang posisi sebagai Pengarah syarikat.
Meskipun AKTA Syarikat 2016 membolehkan syarikat dibuka hanya dengan 1 orang sahaja (single person company), ia tidak menjadikan pengurusan syarikat itu bertambah mudah. Ia kekal mencabar dari segi pengurusan dan kos pengendalian syarikat, meskipun jika bisnes tidak berjalan.
Dalam situasi ini, saya kira, rakan sekerja yang menghantar mesej melalui MESSENGER, begitu terkesan apabila ketua unitnya itu merupakan orang kuat syarikat. Orang kuat yang beliau maksudkan ialah apabila seseorang itu bekerje, juga menjadi ALP dan memegang saham dalam syarikat bisnes itu.
Sebenarnya, perkara ini boleh dilihat secara objektif dengan fokus yang betul.
Si A merupakan Ketua Unit. Maka beliau bekerja. Beliau berhenti kerja dengan notis, mengikut Akta Kerja, Beliau tidak membuat sebarang kesalahan. Berhenti kerja adalah perkara biasa.
Si A merupakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) syarikat. Bermakna, selagi tiada penamatan lantikan, ATAU beliau meletak jawatan, beliau kekal sebagai ALP.
Si A memegang saham dalam syarikat. Ia kekal, sehinggalah Si A menjual sahamnya itu.
Dalam situasi di mana Si A berhenti kerja, ia adalah perkara biasa. Apabila Si A meletak jawatan ATAU ditamatkan jawatan, itu juga perkara biasa. Apabila Si A menjual sahamnya, ia juga perkara biasa.
Pun begitu, apabila Si A ialah orang penting ATAU dilihat sebagai ‘influencer’ dalam syarikat, situasi perletakan jawatan bekerja atau ALP atau penjualan saham, akan menimbulkan tanda tanya kepada mereka yang berada dalam syarikat.
Sebagai seorang pekerja, hak-hak yang tertakluk dalam Akta Pekerja, merupakan antara perkara yang kita punya hak bersuara di dalamnya. Maka, hal-hal pengurusan di kalangan Ahli Lembaga Pengarah, adalah di luar bidang kuasa kita.
Sebagai seorang ALP pula, hak dan suara kita ada dalam kumpulan ALP yang hadir dalam mesyuarat dan perbincangan ALP.
Manakala, apabila kita ini merupakan seorang pemegang saham, maka hak dan suara kita ada di dalam kalangan pemegang saham dalam mesyuarat pemegang saham.
Bagi orang awam pula, mereka tidak terlibat dalam pengurusan syarikat. Syarikat BUKAN persatuan, kelab atau NGO yang memerlukan undian ahlinya bagi menentukan siapa yang akan menjadi Presiden pada setiap tahun.
Tidak, ia tidak sama!
Noraminah Omar
15.4.2017
Kajang, 11.25 pagi
.