Tuan dan Puan pembaca dan pengunjung blog yang saya kasihi.
Didoakan, semua urusan Tuan dan Puan, hari ini, esok dan akan datang terus dipermudahkan, dengan kesihatan tubuh badan, ketajaman akal fikiran dan ketenangan yang berpanjangan.
Kali ini, suka saya mahu menyorot pengalaman pasca #kongresABS 2017.
Ramai pengusaha bisnes kecil yang saya temui adalah orang berkelulusan tinggi.
Ramai juga, yang mempunyai kepakaran bisnes dengan gaya ‘streetsmart’.
Maknanya, mereka tidak tahu banyak tentang teori-teori bisnes, pemassaran dan seumpamanya. Tetapi, pada masa yang sama mereka menjalankan bisnes dengan baik.
Pada satu ketika, apabila mahu berkembang ATAU sudah sampai pada satu fasa seterusnya dalam bisnes, barulah nampak adanya keperluan untuk menyusun semula bisnes.
Pada masa ini, ramai orang bisnes akan mula menyemak semula teori bisnes yang membolehkan mereka menyusun semula strategi bisnes untuk membangun.
Secara peribadi, saya melihat perkara ini adalah normal. Biasa bagi sebuah bisnes yang dimulakan kecil. Bisnes yang biasanya bermula dari salah satu ruang kediaman dalam rumah sendiri.
Tiadalah kesalahan bagi mana-mana bisnes untuk bermula dan diuruskan dengan gaya ‘streetsmart’. Bukan pula kita yang pandai teori, perlu menggurui mereka.
Apa yang perlu, ialah berkongsi, memberi khidmat nasihat atas platform bisnes.
Bagi yang memang mengkaji bisnes dan bertugas membantu orang bisnes, sudah menjadi sebahagian tugas, fungsi dan KPI untuk memastikan khidmat nasihat dan input pengurusan bisnes untuk berkembang diberikan.
Maka, tidaklah seharusnya, orang bisnes yang kurang kepakaran dalam menyusun bisnes fasa berkembang, dimomokkan dan ditakut-takutkan dengan teori dan ‘jargon’ dalam pengurusan bisnes yang tidak mereka perlukan.
Malah, definisi-definisi perkataan teknikal yang digunakan dalam bisnes, hanyalah pengetahuan am yang berguna untuk diketahui bagi orang bisnes gaya ‘streetsmart’ ini.
Malah, saya yakin. Ia TIDAK BOLEH dijadikan sebagai satu alat yang menjatuhkan ‘daya percaya diri’ orang bisnes itu. Apatah lagi seolah-olah memperbodohkan orang lain.
Cukup sekadar mereka maklum dan tahu, serta boleh mengaplikasikannya dalam usaha mengembangkan bisnes. Ini cukup penting bagi orang bisnes.
Bagi kita sebagai orang bisnes pula, tidak perlu terlalu ghairah dengan momokan perkataan-perkataan teknikal dalam bisnes.
Apa yang penting, kita belajar, tahu dam mesti boleh aplikasikan dalam bisnes.
Seperti biasa, ROI dan KPI juga yang menjadi tujuan menguruskan bisnes. Sakit dan peritnya membangunkan bisnes, hanya kita yang tahu.
Pun begitu, setiap bahagian (kemahiran) yang perlu dipelajari oleh pengusaha bisnes itu sendiri, merupakan satu bisnes kepada orang lain. Masing-masing mengambil peluang yang ada.
Pengusaha bisnes yang bijak, belajar daripada perunding bisnes yang bijak juga.
Kedua-dua pihak adalah orang bisnes.
Masing-masing, pandai menimbangtara.
Noraminah Omar
Belajar, mahu serius dan jujur.
Kajang, 3.5.2017
9.06 malam