Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Kepada rakan pembaca, guru, ibu bapa dan pengusaha bisnes.
Ini adalah antara kumpulan individu yang sering menjenguk dan membaca blog saya.
Terima kasih atas sokongan dan terus berkongsi dan membaca.
Hari ini, 16 Mei 2017.
Pada tarikh yang sama, 12 tahun lalu, saya melahirkan anak yang kedua.
Pada setiap tahun sebelum itu juga, saya juga menerima banyak kad ucapan dan tanda hadiah ingatan.
Saya masih ingat, pada tahun 2001, saya memulakan kerjaya pertama selepas bergelar graduan.
Pada masa itu, bermulalah kerjaya pertama yang menjadikan panggilan ‘teacher’ melekat pada diri. Sehinggalah menjelang tahun 2008, perlahan-lahan gelaran itu mula ‘tanggal’.
Pengalaman, kenangan dan pelajaran hidup sebagai ‘teacher’, banyak memberikan peluang untuk saya menjadi seorang manusia. Ya, setiap daripada kita ada pengalaman masing-masing.
Meraikan hari untuk sebarang kerjaya, BUKANlah satu kesalahan. Tidak pula ia menjadi satu kemestian atau kewajipan. Malah, apabila ia menjadi satu perkara yang rutin dan berulang, ia umpama satu budaya. Ya, setiap hari kita berterima kasih dan mengenang jasa semua orang dan jenis kerjaya dan tugas secara khusus.
Hari ibu.
Hari bapa.
Hari pekerja.
Hari Guru.
Hari polis.
Hari jururawat.
Hari setiausaha (yang biasanya disebut ‘secretaries week’).
…..ada banyak lagi dalam senarai.
Apabila kita melihat keraian dan sambutan khusus seperti ini, kita boleh melihatnya dengan sisi pandang yang pelbagai. Pada kali ini, saya suka mahu menyorot kepada dua sahaja. Pertama, sisi pandang sebagai manusia yang mahu menyantuni orang lain dan sisi pandang sebagai orang bisnes.
PERTAMA, setiap sambutan ini, memberi banyak makna kepada yang berkenaan dan yang tidak. Apabila menyambut satu hari yang berkaitan dengan kerjaya, ia banyak menjurus kepada skop dan konteks kepada kerja itu. Katakanlah hari guru. Benar, kita ada ramai guru. Bahkan guru yang pertama dalam hidup, kita boleh sebut, merekalah itu yang bernama ibu.
Hari Guru yang biasa kita raikan, sebenarnya banyak mengkhusus kepada mereka dengan kerjaya atau bekerja dalam institusi pendidikan dan mengajar kepada anak-anak muridnya. Intepretasi guru itu siapa dan bekerja di mana, TIDAK seharusnya menjadi pertelingkahan atau sindir menyindir antara satu sama lain.
TIDAK bermakna meraikan hari guru itu, seumpamanya hanya mahu berterima kasih hanya sehari, pada satu hari. BUKAN. Secara umumnya, ia merupakan satu hari yang dipilih sebagai ‘highlight’ kepada mereka yang bergelar ‘guru’.
Itu sahaja. Simple.
Ini terpakai untuk semua jenis hari yang kita sambut untuk meraikan ibu, bapa, jururawat dan banyak lagi.
KEDUA, dari pandangan sisi perniagaan, pada hari berkenaan itulah, ramai yang ‘merayakan’ hasil jualan masing-masing. Bermula dari seringkas alat tulis, makanan seperti kek sehinggalah kepada barang dan produk yang sesuai dijadikan hadiah kepada mereka yang diraikan.
Ada yang mengadakan jamuan makan, membelikan bunga, hadiah khas dan seumpamanya. Semua ini, memberikan ‘advantage’ kepada semua yang terlibat dalam bisnes untuk menyediakan pakej dan promosi yang sesuai dengan tema dan hari sambutan.
Ada juga yang menyenaraikan aktiviti sambutan hari khusus dan bermusim ini sebagai salah satu cara orang bisnes ‘menyalakan’ bisnesnya.
Kini, kita juga ada mendengar adanya ‘hari kopi sedunia’ yang juga diraikan oleh ‘penjual kopi’. Sebelum ini, tidak pula menjadi highlight dalam mana-mana kalendar.
Ini hanyalah sekadar antara sisi pandang positif yang kita sama-sama raikan, selagi ia tidak membawa kemudharatan.
Meskipun sentiasa ada keburukan dalam setiap hal, inilah masanya untuk kita memberi fokus kepada yang baik. Mengetengahkan perkara yang memberi makna.
Biarpun sedikit.
Meskipun hanya doa yang dititipkan dengan hembusan ikhlas di angin lalu.
Tidak kelihatan. Hanya dirasai apabila hembusannya menyapa di pipi.
Hidup ini singkat.
Raikan dan santuni perbezaan.
Memuliakan orang lain, biar kita kekal kaya
dengan budaya santun kita.
Noraminah Omar
10.53 malam
Kajang.