— DIARI Intrapreneur 7 —
Alhamdulillah. Seterusnya, hari-hari yang dilalui ini, umpama anugerah yang kita tidak sedar.
Hidup, bernyawa, meneruskan kehidupan merupakan antara perkara yang penting untuk disyukuri.
Ya, manusia ini, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Kita menyatakan hasrat, menyampaikan hajat,
membuka pintu peluang baru dengan berbahasa. Menggunakan bahasa, menjadikan kita manusia yang diketahui kewujudannya.
Blog ini, kandungannya 80% dalam bahasa Melayu.
Ya, bahasa yang boleh disampaikan dengan 2 jenis tulisan. Rumi dan Jawi.
Saya kira, ini sudah cukup menjadi point utama, untuk kita bangga dengan bahasa Melayu.
Menguasainya dengan baik, adalah satu anugerah.
Menggunakan bahasa ini, menjadikan kita antara masyarakat yang penuh adab santun dan berbudaya.
Budaya yang kita maksudkan, melangkaui tarian dan pakaian semata-mata.
Budaya yang kita capai sebagai satu bangsa ialah cara bagaimana kita membawa kehidupan dalam masyarakat.
Bergotong-royong merupakan antara budaya kita.
Budaya orang Malaysia, budaya orang Asia. Saling menghormati, memanggil yang lebih tua dengan hormat,
yang kecil dengan kasih sayang, juga satu budaya.
Siapakah diantara kita yang mahukan sebuah keluarga bahagia?
Siapakah diantara kita yang mahukan pasangan yang tenang dan mulia?
Siapakah diantara kita yang mahukan anak-anak yang taat dan sopan sentiasa?
Siapakah diantara kita yang mahukan sebuah masyarakat yang aman tanpa perlu takut berjalan malam sendirian?
Sejujurnya, bahasa Melayu ini, berupakan satu bahasa kepunyaan semua.
Ia bukan bermakna kita menukar agama dan kepercayaan.
Ia adalah satu wahana yang menjadikan kita mudah bekerjsama dan berkolaborasi.
Bahasa Melayu, secara automatik, menjadikan cara kita bercakap lebih sopan dan teratur.
Ini hanya berlaku, apabila kita mencapai satu tahap kefasihan berbahasa dengan baik.
Kita tidak lagi memerlukan ‘kitaorang’ dan ‘diaorang’ dalam menyampaikan maksud kita dan mereka.
Kita tidak lagi memerlukan ‘Sis’ dan ‘Bro’ dalam usaha mencapai tahap sosial yang diterima dalam kumpulan.
Kita tidak lagi perlu memanggil orang yang bukan ahli keluarga dan tidak dikenali sebagai ‘abang’ atau ‘kakak’.
Malah, lantaran saling kita berbahasa dan menghormati, Tuan dan Puan selesa sekali membaca dan berkawan dengan mereka yang berbahasa. Santun, beradab gayanya.
Lalu, apakah kita masih mahu menerapkan bahasa dan budaya asing kepada anak-anak kecil kita?
Masihkah kita mahu memaksa anak-anak belajar dalam suasana yang terlalu banyak inputnya?
Berbahasa lain, memahami konsep lain.
Memahami bahasa asing dan pada masa yang sama perlu memahami konsep baru,
adalah satu tekanan tidak wajar bagi anak-anak kecil.
Berilah pendedahan kemahiran komunikasi bahasa sebanyaknya.
Namun, biarkan anak bebas belajar dalam bahasa yang selesa untuknya.
Andainya memang anak itu, lahir dan terus dibesarkan dalam dalam suasana bahasa Inggeris, teruskanlah.
Andai anak itu lahir dan terus dibesarkan dalam bahasa Melayu, usah ditidakkan hak mereka belajar dalam bahasa Melayu.
Sejujurnya, ramai diantara kita, mencecah usia 30-an, mempelajari bahasa Korea dan mampu menguasainya.
Ada juga yang mempelajari bahasa Turki dan mampu menguasainya. Mereka boleh bertutur dengan selesa.
Akhirnya, realiti apakah yang kita mahu bentuk dalam diri anak-anak?
Anak-anak yang kekal dengan bahasa dan adabnya sebagai anak Melayu, ATAU bagaimana?
Noraminah Omar
7.15 malam
31.6.2017
Kajang.