–DIARI Intrapreneur 10 —
Menjalani bulan Jun 2017 ini, merupakan antara bulan yang dirasakan tegang.
Bertambah dengan situasi dan bahang menyambut cuti perayaan Hari Raya, kesibukan dalam hal tertentu, memang agak menekan.
Maklumlah. Semua mahu ‘beraya’. Daripada yang berjawatan tinggi, hinggalah kepada staf sokongan, semua sudah sibuk menyusun jadual. Menyusun kedudukan wang. Saya yakin, Tuan dan Puan yang membaca posting ini juga begitu.
Merujuk kepada banyak situasi, secra amnya, keadaan ekonomi memang tidak bagus.
Pun begitu, hidup mesti diteruskan. Anak-anak, perlu disekolahkan. Kita sebagai ibu bapa, terus perlu mencari pendapatan.
Hari ini, saya sempat menyemak sedikit sebanyak laporan dan angka kewangan yang belum dianalisa.
Saya memberitahu terus kepada staf berkenaan.
“Apabila income tidak masuk seperti yang disasarkan,
minta terus ketua syarikat menyemak hal pematuhan bahagian kutipan!”
Jarang sekali saya menyentuh hal begini.
Apatah lagi apabila saya terus kepada ketua syarikat dan bahagian.
Namun, bulan ini, keadaannya begitu ketara.
Apabila dibuat semakan, bukanlah kerana pelanggan tidak mempunyai wang.
Sebenarnya, mereka memerlukan peringatan supaya pembayaran dibuat mengikut jadual dan persetujuan pembayaran.
Itu sahaja.
Adakalanya, kita juga masih perlu mengambilkira hakikat bekerja dengan satu kumpulan manusia.
Saling ingat mengingati.
Maka, hubungan komunikasi itulah yang perlu digunakan sebaiknya.
Barangkali, pada firasat kita, ‘sudah berjanji, tahulah dia tunaikan’.
Dalam pengurusan bisnes, janji itu satu hal.
Mengutip wang, yuran, bayaran , itu hal lain.
Menguruskan bisnes, memerlukan banyak dokumen.
Inilah yang membolehkan perkara ‘janji’ diuruskan dengan betul.
“Puan, saya dah banyak kali telefon. Mereka tidak angkat.”
“Tidak mengapa. Hantar SMS dan WASAP. Tulis EMEL, hantar.
PM page bisnes mereka jika perlu.”
Inilah namanya usaha. Apabila menjalankan tugas begini, usaha itu penting.
Ia adalah jalan dan cara melakukan semua perkara yang patut dan munasabah
bagi mencapai objektif kerja.
Tuan dan Puan, Ramadhan kali ini, akan memberikan kita banyak pelajaran.
Ramadhan kali ini, akan menjadi sumber kekuatan.
Buatlah apa sahaja usaha dan cara.
Hasilnya, bukan 100% daripada kita.
Kuasa kita 100% yang ada, ialah dengan berusaha.
.
Salam 10 Ramadhan
5.6.2017
6.40 petang
Kajang.