— DIARI Intraprenuer 13–
Tentang motosikal dan kehidupan.
Selepas 14 tahun, tahun 2017, saya mula menunggang motosikal semula. Baru kurang lebih 2 bulan, saya menunggang, hampir setiap hari dari Kajang ke Gombak.
Ada banyak pelajaran yang saya dapat pada setiap kali saya melalu jalan pergi dan balik kerja.
Satu perkara penting apabila menunggang, USAH terlalu takut, USAH terlalu yakin.
Pernah satu hari, pernah seorang penunggang sebuah motosikal betul-betul tertiarap disebelah saya. Pad amasa itu, saya berhenti di belakang sebuah kereta Innova, yang memberi ‘signal’ untuk masuk ke lorong kiri. Saya berhenti kerana memberikan laluan kepada kereta itu yang mahu bergerak ke kiri. Jalan sesak ketika itu.
Dentuman yang agak kuat, menyebabkan penunggang itu tercampak keluar dari motosikal,
jatuh betul-betul di sebelah saya. Jatuh juga bahagian belakang kereta Innova itu.
Motosikal itu juga tertiarap.
Saya lihat lelaki itu, cepat-cepat bangun dan mengutip barang-barangnya yang tercampak dari bakul motosikal. Saya anggap beliau OK dengan reaksi pantasnya bangun dan mengambil motosikalnya yang jatuh itu.
Semua kenderaan, termasuk saya, kemudiannya meneruskan perjalanan.
Pada satu ketika lain pula, saya pernah di hon beberapa kali oleh penunggang yang lain akibat ‘terlalu berhati-hati’ semasa mencelah kenderaan di jalan yang sesak.
Bukan apa. Saya masih ingat ajaran cikgu fizik semasa di sekolah. F = ma.
Dalam konteks saya yang memandu motosikal, ‘m’ saya tidak boleh kawal.
Tapi ‘a’ saya masih boleh kawal. Jika ‘F’ terlalu besar, boleh tergolek-golek saya atas jalan raya nanti.
(bacalahsambil ketawa, sebab saya sedang cuba berjenaka).
.
Pada satu ketika, saya pernah ditegur oleh penunggang di belakang saya.
Dengan jeritan yang cukup jelas untuk saya dengari, lelaki itu berkata, “Abang, boleh cepat sikit tak?”
Memandangkan memang saya yang paling hadapan di ‘lane’ itu, memang sayalah yang ditegurnya. Pada masa itu, dengan yakin, saya mengangkat tangan kanan (bermakna saya tidak pulas minyak moto), dan memberikan signal supaya beliau masuk ke lorong kanan dan memotong saya.
Tiba-tiba, pemandu itu masuk bahagian kiri saya dan memotong.
Aduh….macam-macam perangai ‘rider’ atas jalan.
Pun begitu, saya sudah belajar untuk bertenang.
Tidak perlu takut, jika tidak buat kesalahan.
Memang menjadi kebiasaan bagi motosikal untuk ‘menyelit’ antara dua barisan panjang kenderaan.
Dalam situasi ini, mereka yang ada asas dan belajar tentang ‘kejuruteraan’ ada sedikit kelebihan.
Tuan dan Puan boleh bayangkan risikonya, apabila sebuah motosikal bergerak dalam aliran selari dengan diapit oleh 2 lori besar. Kenderaan besar di atas jalan raya, biasanya akan bergerak lurus sahaja, berbanding dengan sebuah motosikal.
Motosikal, memerlukan keseimbangan yang sekata, sepanjang masa.
Keseimbangan ini bersangkut dengan ‘berat’ motosikal dan penunggang, dan juga kelajuan motosikal itu.
Bergerak selari dengan 2 lori besar bermakna ada ‘halaju relatif’ (relative velocity) di situ.
Bukan tidak boleh bagi motosikal untuk ‘menyelit’ antara dua kenderaan. Boleh.
Ia mesti dilakukan dengan berhati-hati.
Seterusnya, apabila menunggang motosikal kita juga perlu sentiasa ‘alert’ dan banyak buat ‘anticipation’.
BUKAN semua pemandu kereta tahu menggunakan fungsi lampu ‘signal’ yang ada.
Asalkan nampak lorong kosong, mereka akan terus masuk sahaja.
Ada sesetengah kereta yang dipandu oleh pemandu yang ‘kurang pengalaman’atau dalam situasi fizikal dan mental yang tidak stabil. Ini termasuklah pemandu yang mengantuk, tertidur, tidak awas dan seumpanaya. Apabila ini berlaku, bahaya bagi seorang penunggang motosikal untuk berada disebelah (menyelit) kenderaan sebegini.
Sebenarnya, sama ada menunggang motosikal atau memandu kereta, kita masih terdedah kepada risiko.
Dalam hidup, dan apa juga yang kita lakukan, semuanya ada risiko.
Kita hanya mengambil risiko yang mampu kita kawal.
Meskipun menunggang motosikal dilihat lebih berisiko daripada memandu kereta,
setiap daripada kita mempunyai situasi tertentu yang menyebabkan
dan membolehkan kita berani mengambil risiko itu.
Bukanlah kerana kita berani atau penakut.
Bukan juga kerana kita mahu ‘show off’ dan seumpamanya.
Dalam hidup setiap daripada kita, ada sisi pandang berbeza.
Ada keperluan yang perlu dipenuhi. Ada hajat yang mahu dicapai.
Ada motivasi hidup yang menyebabkan kita jalan terus!
USAH terlalu takut.
USAH terlalu yakin.
Allah maha mengetahui.
Noraminah Omar
5.41 pagi
Kajang.
1 thought on “MOTOSIKAL dan KEHIDUPAN”
Posting yang mencuit hati dengan ibrah tersendiri!
Usah terlalu takut dan usah terlalu berani. Akan saya ingat pesanan ini, insya-Allah.