— DIARI Intraprenuer 15 —
Malam tadi, saya sempat menyemak beberapa laman web dan blog beberapa pengusaha bisnes pendidikan di Malaysia. Ada yang saya kenali melalui kelas-kelas pengurusan bisnes, seminar dan latihan serta rakan-rakan kenalan di tempat kerja.
Sejujurnya, ada banyak jenis laman web dan blog. Ada yang berbentuk ‘creating awareness’ dan ada yang bertujuan khusus sebagai alat promosi dan pemasaran.
Apa juga tujuan blog dan laman web, utamanya ialah tentang ‘online presence’.
Terdetik juga dalam hati, apakah yang menyebabkan banyak produk tempatan yang dijual kepada pelanggan tempatan, tetapi menggunakan bahasa asing.
Malah, ada banyak juga institusi yang memberikan khidmat kepada rakyat Malaysia, tetapi ‘online presence’nya disediakan seolah-olah ditujukan kepada rakyat Amerika.
Sesekali, saya melihat juga bagaimana laman-laman web lain, yang diketengahkan kepada pelanggan yang khusus. Kebanyakannya, menggunakan bahasa yang ditujukan kepada pelanggan masing-masing. Ada juga beberapa laman web yang mempunyai beberapa bahasa.
Laman blog saya ini juga, sebenarnya, sudah ada beberapa translasi kepada bahasa Inggeris meskipun tulisan asal saya dalam bahasa Melayu. Perkembangan teknologi zaman kini, rupa-rupanya sudah membolehkan sesiapa yang membaca blog atau laman web kita dalam bahasa ibunda diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.
Adakalanya apabila menjalankan bisnes, kita mempunyai mindset untuk mahu pergi jauh. JAUH yang ada dalam konteks pemikiran kita ialah untuk pergi ke tahap internasional, pasaran antarabangsa. Pada masa itu, yang masuk dalam fikiran kita ialah bahasa Inggeris. Maka, berputar-belitlah kita menyediakan bahan dan website dalam bahasa Inggeris. Walhal, 99% pelanggan kita adalah di Malaysia!
Sama ada memperjuangkan bahasa atau tidak, inilah hakikatnya. Malah, kejayaan bisnes kita, bukanlah bergantung kepada kebolehan kita atau kehadiran kita dalam bahasa Inggeris. Apakah sebenarnya ada kaitan yang signifikan antara penggunaan bahasa Inggeris dengan kejayaan bisnes kita?
Belajar dan boleh berkomunikasi dalam bahasa asing, selain daripada bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu, merupakan satu kelebihan. Malah, menguasai banyak bahasa adalah sangat digalakkan. Bagi mengelakkan kita menjadi mangsa prejudis bahasa yang tinggi dalam masyarakat, mahu tidak mahu, kita mesti boleh berkomunikasi secara asas dalam basaha Inggeris. Ya, ini saya juga setuju.
Namun, dalam konteks menaikkan nilai ekonomi bisnes, bahasa pengantara yang digunakan lebih wajar menggunakan bahasa utama dan bahasa rasmi pelanggan yang kita sasarkan.
Dalam konteks pendidikan, bisnes pendidikan khususnya, di Malaysia, menggunakan bahasa Melayu merupakan satu langkah mengembalikan kegemilangan peradaban bangsa. Ramai menyangka, bisnes ini mestilah mempunyai tujuan keuntungan. Ya, ianya benar, Mestilah ada sasaran pendapatan dan KPI khusus dalam menjalankan bisnes. Akhirnya, ia masih kekal tentang ‘dollar and cents’.
Hakikatnya, bisnes diuruskan oleh manusia, Manusia yang bijak dan pandai. Mereka sentiasa mempunyai matlamat dan perjuangan untuk dicapai dalam hidup. Ianya banyak diterjemahkan dalam pencapaian dan perjalan bisnes masing-masing. Maka, adalah menjadi satu perjuangan sejagat untuk bisnes yang kita jalankan menyokong kepada pembangunan manusia yang baik.
Manusia yang baik.
Manusia yang baik.
Bangsa yang berjaya.
Peradaban yang tinggi.
Siapakah yang ada di antara kita tidak mahu hidup bahagia?
Siapakah di antara kita yang tidak mahu seronok?
Siapakah di antara kita yang tidak mahu gembira?
Siapakah diantara kita yang mahu sentiasa hidup selamat?
Siapakah diantara kita yang mahu sentiasa hidup dihormati?
Maka, perjuangan sejagat yang dimulakan dengan membina bangsa melalui bahasa, bermula dengan mereka yang mempunyai kuasa.
Kuasa dalam syarikat bisnesnya.
Kuasa dalam organisasi yang diketuainya.
Kuasa dalam sebuah rumah yang diketuai oleh ibu dan bapanya.
Kuasa seorang guru dalam kelasnya.
Ia bermula dengan perkara asas, BAHASA yang mampu menjadi penyatu bangsa.
Bahasa yang membangunkan budaya.
Perjuangan yang memartabatkan pencapaian kita sebagai manusia.
Manusia yang baik.
Noraminah Omar
5.15 pagi
Kajang.
.