TEKS UCAPAN : “Perjuangan mengembalikan peradaban yang berbudaya tinggi.”

Nota:

Ini merupakan teks penuh ucapan CEO ABS Edu Solutions Sdn Bhd, Puan Noraminah Omar, pada 24 Julai 2017, sempena Majlis Prapelancaran Kempen Pemasaran Digital Tadika AKTIF BIJAK SANTUN (ABS).
.

Noraminah Omar, CEO

ABS EDU SOLUTIONS SDN BHD

Ucapan

 

Bismillahirahmanirahim.

 

Yang dihormati, Tuan Hir Effendy Md Tahir, Grup CEO ABS Ainon Holdings Sdn Bhd.,

Yang Yang dikasihi, Puan Suhaili Ikhsan, CEO ABS Education Sdn Bhd,

Yang diraikan, Tuan Zusuff Kan dan Tuan Hazazi Ariffin, Ahli Lembaga Pengarah ABS Edu Solutions Sdn Bhd,

 

Pengusaha, pengurus dan penyelia Tadika ABS seluruh Malaysia, rakan jemputan dari media, serta Tuan dan Puan hadirin yang dihormati sekelian.

 

Tuan dan Puan yang dirahmati Allah.

Pertama sekali, saya ingin menyatakan rasa syukur atas kelangsungan majlis pada hari ini.

 

Kita berkumpul, untuk bersama mendengar pembentangan agenda sebenar perjuangan mengembalikan peradanan yang berbudaya tinggi, sekaligus menyaksikan prapelancaran kempen pemasaran digital Tadika ABS buat julung kalinya.
Kami juga bersyukur dengan kehadiran semua yang terlibat dalam merealisasikan agenda ini secara bersama.

 

Sejarah

Tuan dan Puan,

Pada tahun 2013, hasil daripada penganjuran kelas-kelas pengurusan bisnes yang kecil, yang mula diinisiatifkan oleh Puan Ainon Mohd., terkumpullah dapatan bahawa wujudnya sekumpulan pengusaha tadika, yang mahu membuat perubahan.

 

Perubahan ini, termasuklah kepada cara pengurusan bisnes dan penambahbaikan kepada nama dan jenama atdika sedia ada.

 

Meskipun tadika, merupakan satu perusahaan kecil yang popular, ia masih tidak dilihat sebagai satu usaha yang penting. Malah, profesion perguruan dalam bidang ini, yang memberi impak besar dan penting, dipandang sunyi sahaja.

 

Antara kedua-dua keperluan pengurusan bisnes dan kualiti pendidikan melalui jenama, tersusunlah satu gagasan pertama untuk mewujudkan satu sistem sokongan pengurusan dan juga jenama baru yang boleh menaikkan semula bisnes sedia ada.

 

Nama tadika dengan jenama Aktif Bijak Santun atau dikenali sebagai tadika ABS, merupakan satu langkah pertama yang diambil dalam usaha untuk membakar semula semangat dan keinginan untuk terus berusaha.

 

Tadika ABS yang pertama, bermula dengan 20 orang pengusaha yang terawal untuk bersama-sama dengan idea pengurusan bersistem dan dengan SOP.

 

Melalui keperluan semasa ini, lahirlah beberapa sistem sokongan kepada program termasuklah aplikasi Teknik Nabi, penggunaan modul Sain Bercerita- Little Ibnu Sina dan juga modul Keusahawanan Kelab Araf.

 

Pengusaha tadika sedia ada yang sudah lama menguruskan tadika, mula melihat adanya potensi baru. Jalan pengurusan, idea inovasi banyak terserlah dengan adanya kerja-kerja dalam kumpulan.

 

Bagi pengusaha tadika yang baru, lebih banyak persediaan mental dan psikologi dapat dibuat sebelum melangkah masuk ke dalam industri pendidikan awal kanak-kanak.

 

Persediaan mengendalikan bisnes dengan keperluan kepakaran dalam bidang pendidikan ini, adalah satu perkara yang memerlukan kecekalan dan kesungguhan dalam menjayakannya.

 

Perjuangan Mengembalikan Peradaban yang Berbudaya Tinggi

 

Tuan dan Puan,

 

Mutakhir ini, kita didedahkan dengan banyak isu sosial. Daripada situasi anak-anak yang hilang, penderaan, kematian, kes-kes buli serta banyak lagi situasi yang menunjukkan tenatnya budaya sosial generasi kini, kita mempunyai satu cita-cita untuk membawa perubahan, iaitu dengan membawakan kebaikan.
.
Antara agenda penting yang mahu dibawa ini, ia bermula dengan memulakan inisiatif mendidik anak-anak seawal usia 4 tahun yang masuk ke alam dunia pembelajaran tadika.

Pendedahan awal kanak-kanak ini, sudah tentu akan mula dan diikuti dengan adanya kumpulan guru, pendidik, ibu bapa dan pengusaha yang sama-sama menggembelng tenaga dan idea untuk melaksanakannya.

 

Usaha ini, membawa tadika ABS kepada satu langkah awal membina rasa hormat dan bangga dengan penggunaan bahasa ibunda. Bahasa Melayu yang memang sudah dinali sebagai ‘lingua franca’ mempunyai kekuatan unsur penyatuan dan budayanya.

 

Izinkan saya memetik titah Baginda DYMM Sultan Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muizzuddin Shah ketika mencemar duli merasmikan Konvensyen Penyatuan Bangsa di UiTM pada 9.11.2016.

“Memuliakan bangsa Melayu dengan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya. Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti.”

 

Tuan dan Puan,

 

Perjuangan ini, bermula dengan bahasa.

 

Dengan penguasaan bahasa ibunda yang baik, penggunaan bahasa Melayu di peringkat pendidikan awal anak-anak dapat memastikan anak-anak mendapat banyak kelebihan. Anak-anak mendapat hak-haknya semula untuk belajar dalam suasana yang selesa dan selamat dari segi moralnya.

 

Situasi ini tidak pula menafikan hak pembelajaran bahasa kedua, ketiga dan seumpamanya. Malah, apabila sebuah tadika itu, bahasa ibundanya ialah Mandarin atau Tamil, seharusnyalah tadika itu menggunakan bahasa Mandarin atau Tamil sebagai bahasa utamanya.

 

Anak-anak yang belajar dalam bahasa ibundanya diperingkat awal, cenderung untuk mendapat lebih banyak manfaat. Belajar dengan selesa, memahami konsep baru dengan baik, membina keyakinan diri dengan sempurna serta mengenali potensi diri dan bakat pada peringkat awal usia adalah diantaranya.

 

Apabila penguasaan bahasa ibunda dicapai, secara automatik pendedahan kepada budaya, adat dan adab bangsa itu, berlaku dengan seiring.

 

Justeru itu, daya percaya diri dan jati diri bangsa, terus dapat mengisi ruang pembangunan diri dan karakter anak-anak.

 

Tuan dan Puan,

 

Aplikasi Teknik Nabi dan budaya bahasa Melayu tinggi diperingkat tadika juga, merupakan antara eleman yang dibawa dalam usaha meningkatkan daya percaya diri anak-anak.

 

Bahasa ibunda yang digunakan dengan susunan ayat yang berimpak positif, umpama batu-bata yang disusun untuk membina dinding yang kukuh, diantara tiang-tiang seri bangunan dengan SANTUN sebagai asasnya.

 
Poster Isometric Tadika ABS

 

Ayat-ayat baik yang disusun untuk memuji, menegur dan menunjukkan cara, menjadi sebahagian daripada kekuatan bahasa ibunda yang dapat memberi kesan pemahaman yang cepat dan mudah kepada anak-anak.

 

Ini diaplikasikan dalam banyak situasi harian. Perkara yang berbentuk ‘common sense’, kini menjadi perhatian dalam pendidikan di tadika ABS.

 

Semasa anak-anak berjalan, bercakap dengan kawan, makan, masuk ke tandas, menggunakan fasiliti di tadika, bercakap dan bertemu dengan rakan, guru atau ibu bapa lain, semuanya merupakan sesi pembelajaran bagi anak-anak.

 

Aplikasi skrip dan komunikasi semasa mendorong anak belajar, tidak terhad dalam aktiviti pembelajaran dalam kelas sahaja.

 

Anak-anak juga didedahkan dengan rutin dan tugasan harian termasuklah rutin membersih, menjaga dan menceriakan ruang di tadika.

 

Tuan dan Puan,

 

Adab dan hormat kepada semua kejadian dan ciptaan Allah, dimanifestasikan dalam konteks pembelajaran yang melibatkan modul-modul pembelajaran wajib di tadika.

 

Dalam ayat mudahnya, “iman, sebelum baca dan tulis”. Iman ialah bahasa Arab, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai ‘percaya’.

 

Kepercayaan dan pegangan nilai yang disampaikan dalam bahasa ibunda, membolehkan anak-anak belajar dalam suasana positif. Justeru mereka cenderung menjadi anak-anak yang gembira dan bahagia.

 

Pedagodi, falsafah pendidikan dan objektif akademik merupakan satu perkara yang selari dengan tujuan membangunkan jati diri anak-anak. Apabila ini berlaku, mereka mudah belajar dan berjaya menyelesaikan situasi yang dihadapi.

 

Anak-anak dipuji atas kelakuan baiknya, ditegur dengan menerima maklumat dan cara bagaimana melakukan sesuatu perkara. Ini semua, mendorong mereka untuk sentiasa berada dalam suasana sosial yang selamat.

 

Inilah indahnya, aplikasi Teknik Nabi dengan penggunaan bahasa ibunda yang menjadikannya mudah difahami dengan impaknya nyata.

 

Tuan dan Puan,

 

Generasi yang biasa dengan ayat memuliakan dan menghormati orang lain, secara langsung menjadikan anak-anak kita bangga dengan bahasa dan bangsanya.

 

Kita mahu membangunkan manusia sejati. Anak-anak lelaki, ialah anak-anak yang tahu menjadi pelindung, ketua dan mampu menjaga dirinya dan orang lain.

 

Manakala, anak-anak perempuan pandai menjaga kehormatan dirinya, membuat keputusan dan menjadi pendorong yang baik.

 

Generasi inilah juga, yang akan menjadi contoh dan penunjuk aras kepada bangsa-bangsa lain dalam usaha memperjuangkan usaha mengembalikan peradaban yang berbudaya tinggi.

 

Anak-anak yang hormat dan bangga dengan jati diri bangsanya, akan mampu menghormati dan memahami kepelbagaian budaya bangsa bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

 

Tuan dan Puan,

Semasa semua orang sibuk mahu menguasai bahasa Inggeris, tadika ABS menekankan keperluan menguasai bahasa Melayu.

Semasa semua orang sibuk mahu tulis, baca dan kira seawal 4 tahun, tadika ABS mahu mengembalikan peradaban manusia.

Semasa semua orang sibuk mahu tahu anaknya nombor berapa dalam kelas, tadika ABS sibuk mahu anak-anak pintar sosial.

Semasa semua orang sibuk dengan isu penutupan tadika dan tadika mahal, tadika ABS terus mahu meningkatkan perkhidmatan dan perbelanjaan untuk menambah murid.

Kami bukan hanya mahukan kepercayaan dan pendaftaran daripada ibu bapa semata-mata, kami mahukan dokongan yang menjadikan kita semua boleh sama-sama mengambil tindakan.

 

Kami yakin, ia bukan sahaja perkara yang betul, tetapi perkara yang dituntut untuk dilakukan.

 

Tuan dan Puan,

Akhir sekali, perjuangan atau ‘movement’ ini, merupakan ‘jihad’ dalam bahasa Arabnya, ‘struggle’ dalam bahasa Inggerisnya. Kami bukan hanya mahu Tuan dan Puan menyokong, LIKE dan SHARE serta bercakap-cakap tentangnya.

 

Kami mahu bersama menggembleng tenaga, menjayakan apa yang kita mahu perjuangkan untuk “Mengembalikan peradaban yang berbudaya tinggi.”

 

Saya mengucapkan tahniah kepada kepada Kumpulan Syarikat ABS serta semua ejensi, pengusaha dan guru-guru yang sentiasa menjadi pendokong kepada pendidikan awal kanak-kanak.

 

Sekali lagi, terima kasih atas dokongan Tuan dan Puan, saya akhiri pembentangan saya dengan ucapan “Wabillahi taufiq wal hidayah, Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.”

.
Majlis Prapelancaran Kempen Pemasaran Digital Tadika ABS
Astana Al Hambra

Sungai Pencahala
Pinggiran TTDI, KL

14 Julai 2017

.

Share On Social Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on telegram
Share on whatsapp

More Posts

Book Your 30-Minute Discovery on Personal and Business Potential Consultation NOW

Book Your 30-Minute Free Consultation

Anda Mempunyai masalah dalam perniagaan? Takut untuk membuat keputusan yang tepat?

Jangan risau! Kami akan berkongsi cara bagaimana maklumat sedia ada dalam syarikat/bisnes digunakan untuk merancang penambahbaikan dalam bisnes secara keseluruhan.

Dapatkan satu sesi konsultasi melalui telefon PERCUMA.

Download Free EBook

Download Free EBook

PENGURUSAN HR

Dapatkan 12 kandungan hal pengurusan bisnes pusat pendidikan dalam ebook ini. 

Ebook ini merupakan satu refleksi kepada kita sebagai seorang pengurus atau ‘owner’ pusat pendidikan. Dapatkan perspektif yang berbeza.

Tawaran ini sah sehingga 30.12.2020.
Download sekarang!

Buy EBook

Buy Our EBook Now!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.