Pada tahun 2010, saya pertama kali berpeluang mengikuti satu rombongan borong ke Guangzhou, China. Pada masa itu, ada 2 objektif. Pertama, mahu mengembara dan kedua mahu lihat peluang berdagang.
Semasa berada di sana selama 5 hari 4 malam itu, ada banyak pengalaman yang membuka mata. Maklumlah, pertama kali saya menjejak kaki ke tanah besar itu.
Antara salah satu pengalaman ialah apabila kami ditemani oleh 2 orang anak kelantan, perempuan muda yang berumur 23 tahun yang belajar di sana.
Mereka menjadi pembantu kami semasa dalam perjalanan.
Saya dimaklumkan bahawa beliau datang belajar dengan belanja sendiri, ditanggung sepenuhnya oleh keluarga.
Bahasa Mandarin yang halus dan enak didengar itu, keluar bagai bait-bait puisi di telinga kami apabila mereka membantu kami memesan menu makan tengah hari.
Selain daripada itu, berada di setiap lokasi borong yang kami lawati,
saya sendiri melihat ramai orang asing yang memang ke sana untuk membeli dan memborong barang-barang.
Bertuah sungguh kepada mereka yang boleh bertutur dalam bahasa mandarin.
Pada kebanyakan masa, komunikasi kami melalui kalkulator sahaja.
Ada banyak pengalaman dan cerita.
Satu output yang paling signifikan ialah, saya (dan suami) bersetuju untuk menjadikan bahasa Mandarin sebagai kemahiran tambahan kepada anak-anak.
Pada tahun 2011, anak kedua dan ketiga mula dihantar ke kelas Mandarin untuk menyediakan mereka masuk ke sekolah rendah kebangsaan cina.
Antara syarat mendaftarkan anak ialah anak mesti belajar asas bahasa Mandarin atau belajar di tadika dengan bahasa Mandarin minima selama 1 tahun. Pada masa itu, tujuan utama kami ialah untuk memberikan anak peluang menguasai bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua selepas bahasa Melayu. Anak-anak saya, semuanya dibesarkan dalam bahasa Melayu.
Meskipun saya bercakap Jawa dengan ahli keluarga, dan bercakap bahasa Inggeris dengan suami (sekali-sekala), bahasa yang 98% dituturkan di rumah ialah bahasa Melayu.
Ada satu persetujuan yang kami capai dan semua hal terlibat kami semak. Kami bersetuju, apabila anak melepasi darjah 3, anak yang tidak serasi dan sesuai, mesti dipindahkan semula ke sekolah kebangsaan.
Kami mahu anak-anak gembira dan tidak terlalu tertekan.
Pada tahun 2015, kami membuat keputusan untuk memindahkan anak kedua (anak pertama yang bersekolah di SJKC) bersama adiknya (yang berada di sekolah yang sama) untuk dipindahkan ke sekolah kebangsaan. Itupun selepas saya sendiri menghadiri sesi perjumpaan dengan guru.
Pada hemat saya, sebagai ibu, cara saya menerima komen serta pandangan guru serta cara guru berkomunikasi dengan saya tidak sama apabila komunikasi itu berlaku dengan bapa.
Dipendekkan cerita, suami saya, dipanggil oleh guru besar selepas kami memaklumkan kepada guru kelas, rancangan untuk memindahkan dua orang anak kami dari sekolah itu.
Pertemuan kali ini, saya serahkan bulat-bulat kepada suami.
Pulang ke rumah, suami saya berkata, “Biar sahajalah anak-anak terus bersekolah di SJKC.
Biar sampai sekolah menengah.”
“Hah? Apa Guru Besar kata?”
“Sebenarnya, anak-anak kita itu, isu bahasa sahaja. Daripada 400 murid, anak kita dalam kategori 200 pertama. Ok lah. Cikgu kata, anak orang Cina pun belum tentu boleh kuasai Mandarin. Sama sahaja macam kita.”
Suami saya menyambung, “Lagipun, di rumah, kita bercakap Melayu. Anak-anak hanya praktis Mandarin di sekolah. Memanglah tahap pencapaian mereka lebih rendah dalam kategori bahasa itu.”
Semenjak itu, kami berdua bersama anak-anak, sudah tidak lagi bercakap tentang menukar aliran.
Kami kini fokus kepada objektif memberikan peluang kapada anak-anak menguasai kemahiran tambahan,
iaitu bahasa Mandarin. Untuk menghantar mereka kelas khusus, jujurnya, kos tambahan yang ada tidak dapat kami tampung.
Pencapaian akademik, kami gariskan yang minimum, supaya TIDAK menjadikan guru tertekan dengan pencapaian anak yang terlalu rendah.Anak-anak kami, biasa-bisa sahaja. Tidaklah banyak A dalam keputusan peperiksaan. Hanya ada 1 atau 2 sahaja. Selebihnya, antara B-D juga ada. Kami lihat kepada peratusan pencapaian dan kedudukan dalam darjah.
Rupa-rupanya, anak-anak ini ada potensinya. Sokong dan dorong. Mereka akan capai sesuatu yang kita tidak sangka.
Sangkaan saya, anak-anak akan ada isu tertentu apabila perlu belajar bahasa Mandarin, tanpa ada sesiapa tahu bercakap bahasa itu di rumah.
Apabila ada program di sekolah, kami sertai.
Apabila guru panggil, kami datang.
Semua ini, memnunjukkan komitmen kami, sehinggalah para guru yakin dan tidak lagi tertekan dengan pencapaian anak-anak yang masih dalam kategori sederhana sahaja.
Secara logiknya, guru yang tertekan juga akan menekan anak dalam kelas.
Apabila ada komunikasi yang baik antara guru dan ibu bapa, ia dapat diminimakan.
Apa juga situasi yang kita hadapi, sebagai ibu bapa, kita boleh memilih untuk fokus kepada ‘internal locus’.
Kita buat keputusan dengan yakin bahawa keputusan dan usaha kita akan memberikan hasil.
Kita akan menuai apa yang kita tanam.
Secara jujur, saya dan suami tidak mampu menghantar anak ke sekolah alternatif.
Memilih aliran yang biasa ini, merupakan satu pilihan.
Kita beradaptasi sahaja, sesuaikan dengan keperluan dan kemampuan.
Dengan situasi itu juga, kami bersetuju bahawa salah seorang daripada kami sebagai ibu bapa mesti ada yang memberikan majoriti masanya memantau anak-anak.
Buat masa ini, daripada 6 orang anak, 3 orang anak sedang belajar di SJKC dan seorang lagi bakal menyertai.
Tahun hadapan, anak kedua bakal masuk tingkatan 1. Ada pilihan untuk meneruskan sekolah di sekolah menengah cina juga.
Panik? Ia hanyalah sementara.
Alah bisa, tegal biasa.
Begitulah kehidupan.
Apabila kita membuat keputusan, kitalah yang berusaha.
Kemudian, doa dan tawakkal sahaja.
.
Noraminah Omar
26 Julai 2017
8.37 malam
Kajang