Apabila menjalankan bisnes, terutama bisnes yang berpremis, kita banyak urusan yang melibatkan hartanah. Sma ada hartanah itu milikan sendiri, keluarga, atau milikan pihak lain.
Tulisan kali ini, dicatatkan apabila saya menemui satu lagi situasi yang lebih kurang sama saya temui dua tahun lepas. Situasi apabila seorang yang menjalankan satu bisnes, di atas hartanahnya sendiri atau hartanah yang dimiliki keluarga. Apabila ini berlaku, ia sering melibatkan urusan seperti harta pusaka, atau pengurusan harta yang milikannya atas lebih daripada satu nama.
Kebiasaannya ialah, hartanah itu, tidak diuruskan dan ada salah seorang yang mahu menjalankannya. Maka, salah seorang ahli keluarga yang menjalankan dan mengusahakan apa juga bisnes yang menjana pendapatan atas hartanah itu, diberikan tugas sebagai menjaga amanah terhadap hartanah itu. Situasi ini, nampak macma kecil sahaja. Tetapi, impak bagi jangka masa panjang, adalah berbeza.
SITUASI 1:
Seorang pengusaha tadika, membuka syarikat bersama rakan kongsi, menjalankan bisnes di atas sekeping tanah kepunyaan beliau. memandangkan tanah itu atas nama beliau, beliau membina rumah kedai, di atas tanah itu.Satu unit disewakan kepada orang lain, dan satu unit lagi, diusahakannya bersama rakan kongsi tadi.
Setelah 6 bulan beroperasi, rakan kongsi (A) sebagai pemilik tanah, mahu memasukkan nilai membangunkan rumah kedai sebagai sebahagian daripada nilai saham dalam syarikat. Maka, rakan kongsi yang satu lagi (B) tidak bersetuju. Milikan kepada tanah dan bangunan ialah atas hak rakan kongsi A sebagai pemilik tanah. Syarikat sudah membayar sewa. Maka, ia tidak boleh dijadikan sebagai saham.
Selepas perbincangan, rakan kongsi B yang mahu menjaga hubungan baik, dengan rela menarik diri dan keluar daripada perkongsian, tanpa meminta semula sebarang imbuhan.
SITUASI 2:
Setelah menerima sebuah rumah sebagai hadiah harta pusaka, Tuan A membuka bisnes dengan menggunakan premis itu sebagai pusatnya. Meskipun rumah itu sudah ada atas nama beliau, tetapi ahli keluarga yang lain, menghalang beliau menjual atau mencagarkan rumah itu untuk tujuan bisnes.
Meskipun tiada undang-undang yang melarang beliau membuat keputusan atas bisnes dan harta yang sudah atas nama beliau, beliau mahu menjaga hubungan kekeluargaan dan meneruskan bisnes dengan ‘apa yang ada’.
SITUASI 3:
Sebdang tanah yang sedang luasnya, diserahkan kepada 3 adik-beradik, selepas ayah mereka meninggal dunia. Maka, dengan persetujuan, daripada membiarkan tanah itu terbiar, diberikan kepada adik yang kedua untuk mengendalikannya sebagai perusahaan.
Pada peringkat awal, semua bersetuju untuk membina rumah di atas tanah itu. Maka, tujuan itu diteruskan dan semua adik-beradik, menyumbang sejumlah wang untuk membangunkan sebuah bangunan rumah, di atas tanah itu. Adik yang kedua, menggunakan rumah itu, sebagai pusat menjalankan bisnes.
Apabila ada situasi tertentu, bangunan dan hartanah itu, apabila mahu dibahagikan, mestilah dijual, dan dibahagikan semula mengikut hak masing-masing. Bagaimana dengan situasi pengurusan bisnes? Patutkah nilai sewaan dibayar kepad ‘pemilik bersama tanah dan bangunan’ itu?
Tuan dan Puan,
Dalam setiap situasi, ada pendekatan yang berbeza. Ia bergantung kepada pemilik bisnes untuk mengurus dan menghadapi setiap situasi dengan baik. Seharusnya, pemilik bisnes, mengurusnkan bisnes dengan mengasingkan ‘tugasnya’ sebagai pemilik hartanah.
Dalam syarikat bisnes itu pula, apa-apa yang dibelanjakan sebagai ‘capital exenses’ mestilah direkodkan dengan betul. Manakala, mana-mana yang dibelanjakan sebagai ‘pemilik hartanah’ mestilah TIDAK direkodkan sebagai perbelanjaan bisnes.
Akhirnya, pengurusan bisnes itu, dengan pengurusan milikan hartanah, mesti diasingkan supaya urusan meneruskan legasi bisnes dapat dilakukan dengan baik.
Semasa kita memulakan bisnes, tidak banyak isu dan hal-hal berbangkit tentang pemilikan hartanah. Akhirnya, apabila tanaman sudah mula memberikan hasil, masa menuai, kita mahu laluinya dengan selesa.
Hidup, memerlukan perancangan. Bukan sekadar bisnes sahaja.
.
Teks: Noraminah Omar