Seorang rakan lama menghubungi saya semula. Lama jugalah…
Berpisah kerana berubahnya platform kerja. Maklumlah, dalam membina hubungan kawan dalam bekerja, tidak dapat tidak kita akan kurang berhubung apabila beralih kerja. Memang macam itu. Bukan kerana ukhuwwah terputus. Keperluan berjumpa sudah mula berkurang apabila tempat dan jenis kerja berbeza.
Sesekali, selalu juga kami berbual di sosial media. CUma setakat itu sahaja.
Beliau ada berkata, “Aku sukalah baca apa ko tulis, Minah.” Macam biasa, kawan sekerja yang sebaya, memanggil saya dengan nama ‘santai’. Bersama mereka memang macam itu. Aku, ko. I dan You.
Saya senyum sahaja. Seingat saya, kawan saya tidak pernah tinggalkan komen dalam blog atau dalam mana-mana posting saya di sosial media. “Aku baca aje. Tapi tak adalah nak klik apa-apa.” Itu komen biasa yang saya terima daripada ramai kawan.
Pada satu ketika, memang kita mahu banyak komen, likes dan juga share di sosial media. Memang itu keperluannya. Di blog pula, kita mahu mereka masuk dan duduk lama, baca semua tulisan. Tetapi, tidaklah hanya kerana itu, kita menulis pun…
Perjalanan dalam usaha meneruskan kehidupan, bekerja atau apa sahaja jalan yang kita pilih, memang sentiasa ada kesukaran. Lain jalan, lain orang yang kita temui.
*****
Dua hari lepas saya bertanya kepada salah seorang rakan sekerja yang merangkap pemegang saham dalam syarikat. Saya kata, “Puan, kalau situasi kita ni susah macam ni, Puan akan ‘resign’ juga kah?” Jujur sahaja persoalan saya.
Sambil saya memegang gelas air kosong, rakan saya itu mengangkat muka daripada skrin laptop yang ditatapnya. Dia sengih sahaja. Ya. Ada masanya, kita akan memang tidak dapat lari daripada situasi sukar. Tidak kira bab peribadi atau bab urusan kerja. Ia saling berkait.
Rakan saya itu menjawab sambil senyum. “Saya kalau berhenti pun, kerja sendiri sajalah Puan Min.” Di ruang pejabat ini, saya lebih dikenali sebagai Puan Min. Panggilan ‘Minah’ hanya untuk rakan sebaya yang pernah menjejak bangku sekolah menengah sama-sama.
Saya senyum. Saya berpaling kepada rakan seorang lagi. Beliau yang sedang emghabiskan butiran nasi terakhir dalam bekas makanan, menjilat jari-jarinya. Tanpa menunggu saya menyoalnya, dia berkata, “Insyaallah, saya Puan Min, tak boleh tak kerja. Saya kalau tak kerja ada isu lain pulak. Bukan bab duit semata-mata…”
Saya diam. Ya. Begitulah. Adakalanya bekerja ini, bukan hanya kerana duit. Bekerja di tempat lain pun, di mana-mana pun boleh buat duit. Buat kerja, ada gaji. Begitu.
“Puan, saya doakan semoga kita semua akan dimudahkan. Apabila jalan yang kita lalui ini sukar, berpatah balik, memang tidak. Menukar jalan lain, mungkin. Tapi bagi saya, saya mahu Puan berdua ada di sini, sampai akhir hayat.”
Mereka berdua ketawa kecil. Saya sambung, “Eh, mati bila-bila sahaja kan Puan? Itu maksud saya…” Saya bingkas bangun selepas habis air kosong dalam gelas.
Saya tinggalkan rakan saya berdua itu, dengan harapan dan doa yang berbekas-bekas…