Apakah huru-hara?
Kita boleh sahaja memberikan definisi huru-hara mengikut konteks sendiri, mengikut keperluan sendiri. Namun, kebiasaan huru-hara berlaku apabila terlalu banyak perkara berlaku dalam masa yang sama.
Perkara baik dan buruk, kejatuhan dan pembangunan baru, semuanya berlaku pada masa yang sama atau paling tidak dalam sela tempoh yang singkat antara satu dengan lain.
Antara huru-hara yang paling sukar untuk dihadapai ialah huru-hara dalam diri kita sendiri. Yang ini, tidak ada orang lain tahu melainkan kita menceritakannya. Malah, pada kebanyakan masa, kita melaluinya sendirian sahaja.
Apabila ini berlaku, kita biasanya akan terganggu dan sering merasa ‘ada sesuatu yang tidak kena’. Adakalanya, ia menjadikan esteem diri kita jatuh. Kita mula merasa kita ini tidak bagus, gagal dan akhirnya, menyebabkan kita sedih.
Situasi begini, adakalanya bukan satu perkara yang kita mahu. Namun, ia boleh berlaku tanpa kita rancang. Jadi bagaimana?
- Keperluan utama ialah untuk kita menenangkan diri.
- Terima sahaja hakikat bahawa kita ada kelemahan, ada membuat kesilapan.
- Apabila kita sudah tenang, pelan-pelan rancangkan tindakan. Pada masa ini adakalanya kita merasakan kesakitan dalam hati atau perasaan. Abaikan dahulu. Teruskan dengan merencana pelan kecil yang boleh dicapai. Kejayaan kecil ini akan menaikkan semula esteem kita.
Apabila kita boleh melalui situasi kecil, apabila situasi lain datang sekalipun, kita akan dapat melaluinya dengan tenang.
Apa pun yang kita lakukan, kesan baik atau buruk akan ada. Ia lebih baik daripada kita tidak melakukan apa-apa.
Melakukan tindakan dan mengambil keputusan yang salah adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Kita belajar. Kita mesti ‘move on’.