Kali ini, saya suka mahu membawa Tuan dan Puan melihat satu sisi pandang yang berbeza kepada mereka yang memegang tugas sebagai Ketua. Adakala, jawatan mereka diberikan dengan nama berbeza. Penyelia, pengurus, ketua jabatan, ketua bahagian, ketua operasi…., CEO, Presiden…
Apa juga nama yang diberikan kepada seorang yang diberi tugas ‘mengetuai’ mempunyai situasi yang pelbagai. Ia bergantung kepada organisasi atau syarikat dan budaya kerja di dalamnya.
APA YANG ORANG NAMPAK, TIDAK SEMUANYA INDAH
Ramai yang melihat jawatan ini dalam konteks nama dan wibawa. Nampak macam glamour. Ia sebenarnya datang dengan beban digalas bersama. Rata-rata juga menyangka adanya banyak imbuhan dan laba. Biasanya, begitu.
Bagi syarikat yang menjalankan bisnes dan melalui proses membina kekuatan dan fasa-fasa berkembang, cabarannya juga berbeza. Adakala, memang itu peraturannya, tetapi belum tiba masanya untuk dilaksanakan.
Katakanlah kita mahu melaksanakan gaya pengurusan secara korporat. Tetapi, syarikat masih dalam fasa bermula dan semua yang ada bekerja dengan kita tidak faham tentang kepentingan laporan dan tidak mahu menyediakan laporan. Bagaimana?
Katakanlah kita mahu melaksanakan pengurusan dengan SOP dan pematuhan. Tetapi, staf yang ada masih terkial-kial dengan pengurusan asas yang berterabur. Cara dia sendiri bekerja pun, masih belum boleh ditentukan. Asyik berubah setiap 3 bulan. Bagaimana?
HAKIKAT YANG NYATA
Secara idealnya, bisnes bersyarikat, dengan SOP, ada strategi, semuanya memang mesti dilakukan. Ianya boleh dilakukan. Pada masa yang sama, bagi kita yang berada dalam kumpulan pelaksana (tim eksekutif), ada banyak kesukaran yang dilalui.
Ia bukan hanya tentang mencapai objektif dan output, tetapi pada masa yang sama menguruskan semua jentera dan sumber kemanusiaan yang ada.
Ketua, biasanya merupakan orang perantara. Antara orang yang diketuai dan juga barisan ketuanya yang lain. Akhir sekali, kita mungkin hanya mempersoalkan tentang kredibiliti dan kepimpinan ketua nan seorang itu.
Dalam beberapa syarikat berbeza, struktur pengurusan berbeza. Adakalanya, kita perlu melapor kepada ‘banyak ketua’. Bertuahlah jika tugasan kita itu memerlukan kita melapor kepada hanya seorang ketua.
Kebaikannya, apabila kita ada banyak ketua, kita cepat belajar dan perbaiki kesilapan.
KISAH KEKESALAN
Biasanya, ketualah yang perlu membuat banyak keputusan. Penat badannya itu, tidak. Tetapi, penat otak dan emosi itu, biasanya menyesakkan diri. Setiap keputusan ada risiko. Malah, tidak membuat keputusan atau mendiamkan diri itu, lebih besar risikonya.
Bagi setiap syarikat dan jenis bisnes, ada banyak jenis keputusan yang berbeza diperlukan. Ada sesetengah bisnes, keputusan mesti dibuat hampir setiap masa. Ada sesetengah bisnes, keputusan-keputusan yang perlu dibuat mungkin berjadual dan berkala.
Ada juga banyak situasi dimana kita memang mahu melakukannya, tetapi terbatas dengan kuasa-kuasa dan bidang tugas yang ada. Bukan semua perkara diputuskan oleh kita sebagai ketua.
Kesal? Memang banyak berlaku dalam kehidupan seorang ketua. Mahu meletakkan yang mana patut pada tempatnya, bukan semudah yang disangka. Mahu membuat keputusan tanpa emosi dan prasangka, masih juga ada situasi yang menjadikan kita sedih atau marah.
Buat pun ada risiko. Tidak buat juga berisiko. Lebih baik buat.
‘MOVE ON’
Apabila kita sendiri melihat kepada situasi begini, sebenarnya setiap daripada kita mempunyai tugas sebagai ketua dan membuat banyak keputusan. Paling tidak, kita mengetuai diri sendiri. Membuat keputusan dalam hidup untuk diri. Bukankah kita sendiri juga ada banyak buat kesilapan? Atau Tuan tidak pernah ada silap?
Begitulah juga perihalnya seorang ketua. Tidak kiralah lelaki atau perempuan, mereka tetap ada membuat kesilapan atau membuat keputusan yang salah.
Benarlah! Memberikan fokus kepada penyelesaian merupakan salah satu cara kita boleh meneruskan kehidupan.
Terimalah hakikat bahawa kita buat silap. Kita kesal. Kalaulah…kalaulah…sudah tidak memberikan apa-apa lagi.
Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk esok dan akan datang?
Pun begitu, sering juga kita mengingati perkara yang berkaitan dengan kekesalan. Dalam bisnes juga, kita ada terfikir, “Was it really a bad business decision?”
URUSKAN DENGAN BERDASARKAN ANGKA
Menguruskan syarikat orang, memberikan saya banyak pelajaran baru. Laporan dan angka-angka kini menjadi penting dan lebih utama dalam membuat keputusan. Adakalanya, keputusan kita sendiri yang salah itu, terpaksa kita telan…
Apabila kita mahu mendapatkan kelulusan ketua, kini mesti saya perlu bawa dan sediakan laporan dalam bentuk angka. Saya sendiri belajar untuk menilai semula keputusan yang dibuat dengan menganalisa semula angka yang ada.
Pening. Penat. Semuanya ada. Meskipun laporan semua lengkap, nombor dan laporan siap, namun menganalisanya juga memerlukan satu kegigihan. Meletakkan satu persatu angka pada ruang yang sempurna. Membandingkan dengan perubahan yang mungkin ada.
KEPUTUSAN DIBUAT DENGAN ANGKA
Macam mana? Boleh bayar bonus tahun ini? Staf mana yang perlu ditambah tugas? Staf mana yang perlu dialihkan tugas?
Macam mana? Boleh buka cawangan baru? Cawangan mana yang perlu ditutup? Yang mana perlu dipindahkan?
Macam mana ni? Staf di cawangan yang bagus penat. Staf di cawangan yang rugi kerja relax saja…
Semua ini, kita tidak boleh suka-suka main cakap mulut sahaja. Alasan tidak cukup orang, jauh, penat, tak tahan….
Semua ini tidak membantu untuk kita membuat keputusan.
Peritnya, kita masih menanggung kesan dan kibat. Pahitnya keputusan yang kita buat, ia merupakan satu tugas juga. Ada yang diluar bidang kuasa, ada yang kita salah cara. Ada yang kita fikir sudah diutarakan, ada maklumat yang masih belum sampai.
Halnya, kita ketua, kita juga menanggung akibatnya. Kita cepat baiki. Belajar daripada pengalaman.
SOKONG DENGAN DENGAR
Pengalaman dan pengajaran macam ini, bagi seorang ketua, bukanlah satu yang indah. Meskipun kita bilang usah emosi, jangan pertikaikan usaha mereka berjuang menahan rasa. Orang yang kita gelar ketua itu, juga tetap manusia.
Kita siapa? Rakan sekerja? Orang bawahannya? Ketuanya?
Apabila kita dalam kapasiti yang boleh membantu, kita berikan sokongan dengan mendengar. Adakalanya, kita akan jumpa jalan penyelesaian dan boleh menenangkan keadaan.
TERIMA KASIH
Kepada semua yang membaca tulisan ini hingga ke akhirnya, percayalah. Setiap orang itu, sebagai ketua akan mempunyai cabaran yang tersendiri.
Apabila menguruskan syarikat, bertugas dalam syarikat, mereka sentiasa ada persoalan. “Was it really a bad business decision? Or was it all about me?”
Sebagai seorang ketua, sesekali mereka berkata kepada diri sendiri, “Saya ni macam mana? Teruk ke?”
Ya. Semuanya. Semua orang yang memegang tugas dan tanggungjawab dengan wibawa, akan didatangi soalan yang sama.
Semoga Allah memudahkan urusan kita semua.
Sesungguhnya kita ini pemimpin, kita memimpin.
.