SETIAUSAHA SYARIKAT dan CEO
Sekali lagi, saya bertuah. Saya mendapat pengalaman berurusan dengan Setiausaha syarikat (company secretary) yang biasa masuk mahkamah. Pada masa itu, saya ada mengikut suami masuk dalam beberapa mesyuarat untuk ‘wind-up company’ yang beliau jalankan.
Ya, saya pernah meminjamkan nama saya kepada suami untuk buka syarikat yang beliau jalankan. Itu cerita sekitar tahun 2005-2006. Pengalaman itu juga bukanlah menyeronokkan, tetapi memberi pengajaran hidup kepada saya.
Masih ingat tentang syarikat yang saya buka pada tahun 2007? Ya. Masuk tahun 2008, apabila pertama kali akaun tahunan syarikat yang saya buka mula berjalan, baharulah saya ada pengalaman sendiri.
Menyemak laporan kewangan yang saya tidak faham hujung pangkal, merupakan pengajaran yang menjadikan saya terpaksa belajar sedikit tentang asas akaun. Laporan ‘cashflow’, tahulah saya. Tetapi apabila masuk ‘management account’ dan ‘balance sheet’, saya diam sahaja angguk-angguk.
Masuk tahun 2009, saya menukar setiausaha syarikat. Setiausaha syarikat yang asalnya berlatarbelakangkan profesion guaman, saya tukar kepada yang lain. Alasan saya pada masa itu, jarak pejabat lebih dekat.
Seingat saya, masuk tahun 2010, baharulah saya mengambil inisiatif belajar terus daripada setiausaha syarikat tentang membaca laporan kewangan.
Pada masa itu, saya bertuah juga. Latar belakang beliau adalah akauntan. Jadi, mudah beliau memberi kefahaman kepada saya. Ini merupakan setiausaha syarikat kedua, selepas saya menukar yang pertama.
Pada masa ini, saya sudah belajar tentang proses dan kebebasan kita sebagai Pengarah syarikat untuk membuat keputusan menukar Setiausaha Syarikat. Ia adalah normal.