MENTOR, COACH, KONSULTAN
Sekiranya, dunia bisnes bersyarikat itu mudah, sudah tentu semua orang boleh melakukannya. Hari ini, ramai yang ada akses mudah kepada duia bisnes. Mahu membuka syarikat, memulakan bisnes, banyak platform yang member bantuan.
Percuma ada, berbayar pun ada.
Mentor? Coach? Konsultan? Ya. SAya juga pernah menerima khidmat ini. Sekarang, saya sendiri ada menawarkan khidmat itu secara mengkhusus dalam industri tertentu.
Mereka semua tugasnya membantu sahaja. Selebihnya, kita sebagai individu mesti mempunyai jati diri. Ya, kita mahu dibimbing. Kita mahu belajar. Kita tahu kelemahan dan kesilapan, lalu mahu bangkit daripada semua kesusahan dan kegusaran.
Nyatanya, ia masih tetap memerlukan kita, sebagai manusia, membuat keputusan. Pada tahun 2010, semasa saya menguruskan sendiri syarikat sebagai pemegang saham terbesar, saya tidak mempunyai ‘kesukaran’ mengurus keputusan bisnes.
100% kuasa membuat keputusan adalah di tangan sendiri. Namun, semua tekanan, kepayahan dan penatnya emosi membuat keputusan, 100% juga saya tanggung sendiri.
Adakalanya, malam-malam yang tenang bagi orang lain, merupakan stadium bola dengan ‘game’ 24 jam bagi saya.
Adakalanya, subuh hening yang indah, merupakan masa di mana sebuah hutan sedang terbakar. Saya perlu bantu kumpulan binatang yang bertempiaran lari, sendirian.
Adakalanya, siang hari yang bercahaya indah dengan sinaran mentari itu, umpama hari yang hujan turun lebat tanpa henti. Terus menerus sehingga banjir naik membasahi ruang tamu. Hampir naik ke bilik tidur utama di tingkat satu.
Adakalanya, semua yang berlaku, tidak terjangkau dek akal fikiran seorang manusia biasa. Seorang perempuan yang lahir pada tahun 1977 di sebuah kampung kecil, di Bagan Datok, Perak.