KERJA DALAM KUMPULAN, BUKAN RETORIK
Saya bernasib baik. Dengan mempunyai sokongan staf sedia ada, meskipun sukar, tempoh 24 bulan disasarkan bagi meluruskan semula urusan dokumentasi dan persetujuan dalam urusan bisnes.
Kita sendiri, mempunyai kelemahan dan kekuatan peribadi. Ini, ada kaitan dengan cara kita bekerja dalam kumpulan. Apatah lagi apabila kita mempunyai ahli kumpulan yang perlu dipimpin.
Adakalanya, terlalu keras, tim akan lemah. Apabila terlalu lembut, tim akan bertambah lemah. Bekerja dalam kumpulan sebeginilah, yang menjadikan kita sebagai ketua belajar.
Kita dengan segera mesti dapat menilai semula cara dan gaya kepimpinan yang sesuai dengan kita. Kesesuaian ini pula, perlu diselarikan dengan ahli kumpulan dan juga fasa bisnes. Saya tidak menolak semua jenis teori kepimpinan (leadership theory) yang diajarkan oleh mana-mana guru bisnes.
Namun, saya percaya bahawa teori mesti didokong dengan kebijaksanaan kita sebagai orang perseorangan. Sebagai manusia yang mempunyai kebijaksanaan dan kewasaran. Kita perlu menyesuaikan semuanya.
Tidak boleh kita menolak tugas dan keperluan untuk menghadapai karenah, kata-kata, ucap bicara, masa yang banyak untuk menangani setiap situasi yang memerlukan kita tampil sebagai pemimpin.
‘Down’? Kecewa? Ia berlaku kepada semua. Ia bukan hanya untuk ketua dan pemimpin. Namun, apabila kita memegang jawatan kepimpinan, bermakna kita mesti mengharunginya dengan lebih tenang. Yang panting, kita mesti ada kemahuan.
Mesti ‘mahu’ berjumpa manusia. Mesti ‘mahu’ meluangkan masa. Mesti ‘mahu’ buat dan belajar. Mesti ‘mahu’ jadi bijaksana sendiri. Mesti ‘mahu’ menaikkan ‘self-esteem’ dengan pelbagai cara.
“When there’s a will, there’s a way.”