Ramai yang bercakap tentang isu dan situasi yang dihadapi tentang pekerja. Tidak kira industri atau tahap pekerjaan yang ditawarkan, semua organisasi dan syarikat khususnya mengahadapi pelbagai situasi. Ada yang sama. Ada yang serupa.
Secara amnya, semua orang sama ada mereka yang menjalankan bisnes atau bekerja untuk syarikat atau organisasi mempunyai pelan kerjaya masing-masing. Malah, setiap orang juga mempunyai impian dan rancangan yang mahu dicapai dalam kehidupan.
Sama ada ianya dicapai atau tidak, itu semua bukan isu yang mahu diperbincangkan. Apa yang lebih utama ialah persediaan melaksanakan pelan itu dan kebolehan untuk beradaptasi dengan perubahan.
Apabila kita melalui kehidupan, biasanya, 20 tahun pertama adalah masa kita belajar. Bermula daripada tarikh kelahiran sehinggalah tempoh usia 20 tahun, umumnya kita masih dalam fasa belajar yang formal.
Masuk usia 21-40 tahun, merupakan antara tahun yang pelbagai bagi ramai orang. Rata-rata, ialah mereka yang sedang sibuk membina kerjaya dan kehidupan. Pada tarikh artikel ini ditulis, saya sudah melangkaui fasa usia ini.
Benar. Dalam konteks pembangunan kerjaya ia ada kaitan secara langsung dengan pelan rancangan kehidupan juga. Berkeluarga dan membina keluarga akan menjadi salah satu faktor utama untuk kita mempertimbangkan pembangunan kerjaya.
Rata-rata budaya kita, mencecah usia 20-30 tahun, kita mula merancang dan mula membina keluarga. Selepas usia 31 itulah, masanya mereka membesarkan keluarga bersama anak-anak. Begitulah yang biasa.
Maka, bagi mereka yang bergelar usahawan dan orang bisnes, ia tidak banyak beza. Sama juga. Fasa yang dilalui agak serupa. Maka, apabila kita sudah masuk 20 tahun yang seterusnya, iaitu 41-60, ada satu soalan yang menarik patut kita jawab.
“Apakah pengalaman hidup 20 tahu lalu, mampu mencorak kehidupan kita 20 tahun seterusnya? Bagaimana?”
Soalan besar yang membuatkan ramai diantara kita perlu meletakkan prioriti masing-masing dalam kehidupan.
Maka, sama ada kita mengubah jalan, menyusun semula pelan atau menjalankan tindakan baru, ia merupakan satu yang normal.
Bukankah kita selalu berkata, “Life begins at 40?”
Noraminah Omar, 6.36, Kajang.