ORANG DEWASA BELAJAR
Apabila bercakap tentang belajar, kita semua setuju bahawa kita belajar sepanjang hidup kita. Tiada penamat untuk setiap individu itu belajar. Kita semua sentiasa belajar.
Dalam konteks latihan dan meningkatkan kemahiran, kita sering mengaitkan ‘belajar’ bagi orang dewasa melalui pelbagai kaedah. Antaranya ialah dengan menghadiri kelas latihan, seminar, bengkel, konferens dan banyak lagi.
Bagi jurulatih atau penyampai konten latihan, keperluan memahami bagaimana orang dewasa belajar diperlukan. Ini dapat memastikan ‘proses pembelajaran’ berlaku dengan baik.
Antara beberapa bahagian yang sering orang dewasa mahu ambil tahu dalam ‘proses belajar’ ini melibatkan perkara berkaitan dengan:
- Pengetahuan
Ini adalah berdasarkan pengumpulan maklumat yang sudah dianalisa. Biasanya ia melibatkan maklumat, fakta, idea, peraturan, prinsip, langkah demi langkah untuk mencapai sesuatu dan seumpamanya.
Bagi pembelajaran (latihan) orang dewasa, konteks pendedahan dan penyampaiannya juga mengikut keperluan yang khusus dan lebih spesifik.
- Kemahiran
Kemahiran boleh dipindahkan. Ini boleh dilakukan melalui latihan dan praktis yang berterusan bagi mencapai tahap kemahiran yang diperlukan.
Dalam aktiviti membina kemahiran atau memindahkannya, ia bermula dengan pengetahuan, aktiviti melakukannya (hands-on), terus melakukannya sebagai praktis dan mendapat input serta maklumbalas akan hasilnya.
Bagi menguasai setiap kemahiran, proses ini adalah perkara yang bersifat berterusan.
- Sikap
Sikap boleh dibentuk dan diubah. Walaubagaimanapun, bagi orang dewasa, mereka perlu melalui proses mendapat pengetahuan dan dibantu dalam membina kemahiran untuk mendorong perubahan sikap.
Bagi orang dewasa, mengubah sikap memerlukan mereka mendapat maklumat dan pengetahuan yang cukup. Ini membolehkan mereka membina keyakinan tentang keperluan dan kepentingan sikap lama dibuang dan diubah kepada yang baru.
Antara cabaran besar kepada ketua atau jurulatih khususnya, ialah untuk membentangkan maklumat lama yang sudah diketahui dalam bentuk dan perspektif baru. Ini dapat mencabar kepercayaan dan pegangan sedia ada orang yang mahu diubah sikapnya itu.
Rutin yang dilakukan (habit) boleh membantu perubahan sikap kepada yang dikehendaki. Maka, perubahan dalam pembentukan budaya kerja juga akan berlaku dalam proses untuk mengubah sikap.
Sukar, tetapi boleh dilakukan.
****
Dalam konteks latihan sebegini, kita akan banyak membincangkan keperluan organisasi, syarikat atau ejensi yang mempunyai staf dan ahli kumpulan kerja yang pelbagai.
Memahami cara dan pendekatan bagi orang dewasa belajar dengan efektif, membolehkan usaha meningkatkan kemahiran dan penyampaian maklumat menjadi lebih lancar.