MANFAAT LATIHAN UNTUK ORGANISASI (1)
Latihan (sebagai proses orang dewasa belajar), mempunyai kesan yang spesifik dalam beberapa bahagian untuk pembangunan sebuah organisasi terutama syarikat bisnes. Ia merupakan salah satu ‘management tool’ atau alat pengurusan yang penting.
Ada 4 bahagian utama yang boleh kita teliti bagi melihat kepentingan dan manfaat yang dapat dicapai oleh seseubah organisasi. Latihan yang menjadi satu proses orang dewasa belajar ini bertujuan mengekalkan keberkesanan organisasi. Maka meneliti manfaatnya akan membantu kita memahami penggunaannya secara lebih baik.
Pertama, latihan memberi manfaat kepada pekerja baru. Ia merupakan salah satu aktiviti orientasi atau induksi bagi mereka yang baharu diambil masuk bekerja.
Bahagian ini membolehkan staf baru itu mengadaptasikan diri dengan lebih selesa dalam situasi kerja dan pekerjaan barunya itu. Kebiasaannya, latihan bagi staf baru ini meliputi kandungan yang melibatkan hal pekerjaan secara teknikal.
Pada masa yang sama, latihan bagi staf baru membolehkan mereka memahami budaya kerja organisasi dengan lebih baik. Mereka dapat bekerjasama dalam program ini bersama dengan pekerja lain dari bahagian yang berbeza.
Pendedahan latihan awal begini memboleh staf baru menunjukkan kebolehan yang ada dan membentuk sikap positif kepada kerja dan suasana pekerjaannya.
Latihan sebegini boleh mengurangkan tekanan kepada pekerja baru. Malah, karenah tugas penyeliaan di bahagian pengurusan sumber manusia juga dapat dikurangkan.
Apabila staf baru dapat melalui program latihan awal, mereka biasanya dapat mengadaptasi dengan kerja dan suasana pekerjaan dengan lebih baik. Ini juga secara amnya dapat mengurangkan kadar berhenti kerja mendadak di kalangan staf baru.
Meskipun kadar staf keluar masuk ini adakalanya berlaku di luar kawalan, latihan awal untuk staf baru merupakan salah satu ‘management tool’ yang dapat mengurangkan risiko ini.