Din menghirup teh ‘o’ suam yang dipesan. Nikmatnya minum dalam suasana sejuk selepas hujan, umpama orang mengantu disorongkan bantal. Memandang wajah rakannya yang sedang mengunyah roti bakar itu, dia berkata, “Mat, kau macam macam mana sekarang?”
“Macam mana apa?” Mat memandang Din tanpa sebarang reaksi. Kunyahannya semakin laju. Kepingan kedua roti bakar planta itu diambilnya. Ini masuk set kedua roti bakar yang Mat pesan.
“Bisneslah…nampak dah buka lebih daripada 3 kiosk. Baguslah!” Din bersandar. Dia bangga dengan kawannya yang kuat semangat. Bermula dengan satu kiosk burger tepi jalan hujung simpang Kg Jambu Sebatang, sekarang sudah banyak cawangan kisoknya.
Mat masih terus mengunyah baki roti bakar terakhir yang ada ditangan. Kopi ‘O’ pekat yang masih berasap itu dihirupnya perlahan. Kopi ‘O’ istimewa katanya. Dari Muar.
Mencapai sekeping tisu merah di atas meja, Mat menyeka kesan kopi di bibirnya. “Itu lah Din…” Mat bersuara. Kemudian dia menyambung, “Orang macam Aku ni, macam ni lah! Buat bisnes nampak memang seronok.”
“Itulah. Aku ni tak ada bakat.” Din yang bekerja sebagai pegawai kewangan di sebuah syarikat di bandar, pernah juga mahu berbisnes. Nampaknya, dia hanya bercita-cita sahaja.
Mat menyambung dengan nada sedikit kesal, “Aku memang ada hajat nak buat bisnes. Tapi, bila aku tengok keadaan Aku ni, Aku rasa tak sanggup lah Mat!”
Din sengih.
Ya. Tidak kira bisnes besar atau kecil, bebanan yang digalas itu masih sama. Sama ada besar atau kecil, masih satu beban. Memanglah, tanpa bisnes sekalipun, kita ada bebanan masing-masing.
Tetapi, apabila ramai yang menyangka bisnes ini mudah, senang dan semua orang kena buat, ia tidak lagi relevan.
“Bakat kau lain Din. Bakat yang kau ada, Aku tak ada! Orang macam kau ni, yang penting bagi orang-orang bisnes. Kau pandai bab-bab jaga duit ni.”
Antara beban orang bisnes yang besar ialah beban kewangan. Memang dalam bisnes, modal menjadi satu perkara yang penting.
Perbelanjaan perlu disusun. Pendapatan mesti mencapai sasaran. Semua pembekal mesti dibayar. Semua pelanggan mesti dilayan dengan betul. Ini semua melibatkan wang.
Membayar semua kos operasi termasuk gaji pekerja merupakan antara bebanan utama yang mesti digalas dengan berhemah. Tepat. Patuh peraturan. Semua memerlukan kos perbelanjaan.
Tidak kira sama ada syarikat besar atau kecil, atau berniaga dengan lesen enterprise, beban kewangan seperti ini masih ditanggung. Tidak kira sama ada bisne situ mempunyai seorang staf atau 1000 staf sekalipun, bebanan kewangan dalam bisnes tetap ada.
Menentukan dan menyusukan kepentingan yang lebih penting dalam hal kewangan juga menjadikan bebanan ini semakin berat. Adakalanya, pelanggan yang membayar tidak seperti yang dijanjikan, juga menjadi situasi yang kritikal.
Itu bahagian pertama.
Bahagian kedua beban kewangan datang apabila bisnes memerlukan modal tambahan atau suntikan dana. Pada masa ini, mahu tidak mahu, ramai orang bisnes menggunakan nama sendiri sebagai penjamin kepada keperluan dana. Ia datang dalam bentuk yang biasa dikenali sebagai fasiliti kewangan yang disediakan oleh banyak bank.
Apabila bisnes melibatkan keperluan kenderaan, belian kenderaan perlu dibuat. Apabila bisnes melibatkan keperluan aset tertentu seperti mesin dan peralatan, belian mesin dan peralatan diperlukan.
Menjadi penjamin kepada keperluan kewangan bisnes merupakan satu lagi bebanan besar. Ia tidak sama dengan beban kewangan peribadi apabila kita mengambil pinjaman membeli rumah atau kereta.
Tidak sama!
Oleh: Noraminah Omar