KEPERLUAN LATIHAN DI TEMPAT KERJA
Apabila berbincang tentang hal pengurusan sumber manusia, kita tidak dapat lari daripada memberi fokus kepada penyelesaian. Penyelesaian ini pula, adalah perkara yang berbentuk tindakan dan boleh kita lakukan.
Dalam bidang pengurusan bersyarikat, unit pengurusan sumber manusia adalah salah satu ‘cost centre’ yang memakan belanja yang besar. Malah, perbelanjaan untuk urusan penggajian dan yang berkaitan dengan pematuhan Akta Kerja, KWSP dan SOCSO juga menjadi antara penyumbang besar dalam perbelanjaan syarikat.
Maka dengan itu, sewajarnyalah perbelanjaan ini mempunyai sistem sokongan yang kuat supaya dapat memberikan hasil yang signifikan dan berpanjangan. Sama ada ia memberi manfaat terus kepada syarikat atau industri, ia sudah menjadi satu kebaikan.
Apakah yang menjadikan program latihan sebagai salah satu perkara penting dalam semua industri dan pekerjaan?
Latihan merupakan salah satu alat menguruskan risiko dalam perniagaan. Ia dapat menyumbang kepada keberkesanan sebuah syarikat sebagai organisasi yang menjalankan bisnes dalam bidangnya itu.
Berikut merupakan antara pentingnya program latihan dalam syarikat.
- Menjadi program penting kepada staf baru.
Setiap syarikat, mempunyai pelan pengambilan staf yang tersendiri. Bergantung kepada industri dan jenis-jenis kerja yang ada di setiap bahagian operasi syarikat, pengambilan staf adalah berbeza.
Bgi sesetengah syarikat yang bersifat pembuatan dan perlu beroperasi 24 jam, maka cara pengurusan sumber manusianya berbeza. Kemasukan staf baru dalam setiap bahagian mungkin lebih kerap.
Bagi bisnes servis, jika mereka mengadaptasi sistem pekerjaan secara ‘associate’ atau ‘freelancing’ maka keperluan keluar masuk staf untuk dilatih adalah berkurangan atau tiada langsung.
Bagi bisnes kecil yang bersifat pelbagai, ia banyak bergantung kepada model bisnes masing-masing. Sekiranya ia berbentuk cawangan, rangkaian, perlesenan atau francais, pengurusannya juga berbeza.
Malah, setiap jenis industri juga mempunyai keperluan latihan yang berbeza bagi semua peringkat. Bagi unit atau bahagian kerja yang melibatkan hal pengurusan pelanggan dan perhubungan, latihan yang berbentuk sokongan kepada staf sendiri juga menjadi keutamaan.
Ini termasuk latihan dengan pendakatan untuk pengawalan tekanan dan ‘leadership’ yang boleh membantu setiap individu yang bekerja lebih yakin dan kekal positif dalam pekerjaannya itu.
Maka, keperluan latihan sebagai persediaan kepada staf baharu atau yang baru dipindahkan kepada bahagian-bahagian lain atau yang perlu melalui sistem baharu merupakan antara yang kritikal menerima latihan.
- Meningkatkan pencapaian kerja sedia ada di kalangan staf.
Menjadi lumrah manusia untuk mempunyai turun naik emosi yang pelbagai dalam satu jangka masa. Begitu jugalah adanya tentang staf. Bagi mereka yang sudah menjalankan kerja dalam bidang yang sama untuk tempoh tertentu, rutin yang sama dan perkara biasa yang boleh dijangka dengan mudah sering mendorong kepada penurunan produktiviti kerja.
Secara semulajadi juga, manusia suka kepada cabaran baru. Meskipun ada ramai pekerja yang tidak suka kepada perubahan, rata-rata masih menerima cabaran baru sebagai satu yang meningkatkan keterujaan. Adakalanya, ia boleh datang dalam bentuk projek kecil.
Di sinilah datangnya keperluan latihan dalam usaha meningkatkan pencapaian staf sedia ada. Dorongan dalam bentuk perkara yang memberikan input baru kepada mereka, boleh menjadi pemangkin kepada perubahan yang baik.
- Membangunkan kerjaya dan tahap profesional setiap staf.
Keperluan meningkatkan kemahiran merupakan perkara umum yang diterima oleh ramai orang. Setiap individu sentias amahu menjadi lebih baik. Jadi, dalam setiap pekerjaan atau perjalanan hidup juga, kita sentiasa mahukan penambahan kepada perkara-perkara baik.
Kemahiran dalam satu bidang yang dikuasai oleh setiap orang juga memerlukan penigkatan dari masa ke semasa. Dalam konteks suasana kerja, kemahiran ini bukan hanya melibatkan hal pekerjaan tetapi juga hal menguruskan diri dan hidup mereka supaya menambah baik dalam urusan pekerjaan.
Inilah yang menyebabkan ada majikan yang memberikan kelas latihan berbentuk pembangunan diri dan modal insan yang bukan sahaja memberi fokus kepada kemahiran kerja, tetapi pembangunan manusia.
- Memberi persediaan kepada sebarang perubahan dalam organisasi.
Bagi setiap syarikat dan ejensi atau apa-apa organisasi, perubahan dalah satu perkara yang menjadi keperluan. Tanpa perubahan, adaptasi kepada keperluan semasa tidak dapat dipenuhi.
Syarikat bisnes terutamanya, perlu berubahs eiring dengan peredaran, perubahan dan pergerakan yang berlaku dalam konteks sosial, ekonomi dan politik setempat khususnya dan negara amnya.
Perubahan seperti ini memerlukan sokongan daripada semua bahagian atau unit dalam organisasi kerja. Apabila adanya keperluan perubahan tugas manual kepada automation, maka latihan merupakan antara yang mesti hadir sama dalam pakej itu.
Ini terpakai kepada semua jenis industri, syarikat dan organisasi tanpa mengira saiz atau jenis. Dengan adanya latihan yang sesuai, perubahan dapat diadaptasi dengan lancar dan konflik kemanusiaan dapat dikurangkan.
Oleh: Noraminah Omar