MOTIVASI UNTUK ORANG DEWASA BELAJAR
Cara pembelajaran orang dewasa perlu disesuaikan. Kini, kita melihat adanya permintaan dan juga keperluan kepada program pembelajaran yang banyak bagi orang dewasa. Ia tidak terhad kepada pembelajaran formal di institusi tertentu seperti universiti dan kolej.
Bagi sebahagian besar orang dewasa, mereka mahukan input dan ilmu baru dalam bidang atau perkara yang mereka boleh gunakan secara praktikal selepas tamat program. Dalam konteks komitmen dan kekangan masa juga, ramai orang dewasa memilih cara belajar yang tidak mengganggu masa mereka untuk melakukan tugas rutin atau komitmen bekerja sedia ada.
Maka, pilihan yang banyak diambil adalah belajar dalam bentuk program sehari, bengkel, seminar atau ‘conference’ yang sesuai dengan jadual masa dan bajet masing-masing. Satu lagi pilihan yang kurang popular ialah pembelajaran atas talian atau secara online.
Orang dewasa memilih untuk belajar dalam situasi yang mereka mempunyai kawalan padanya. Contohnya seperti masa dan jadual kelas, cara peperiksaan atau tugasan yang terlibat, kandungan dan topik yang mereka boleh pilih.
Dengan kata lain, orang dewasa lebih mudah dan bermotivasi untuk belajar apabila mereka dapat melihat dengan jelas manfaat dan keperluan khusus untuk mereka belajar. Bagi seorang jurulatih, tugas pertama ialah untuk memastikan bahawa peserta atau organisasi yang terlibat melihat dengan jelas manfaat ini.
Bagi memastikan pula bahawa orang dewasa ini dapat belajar secara efektif, kandungan program mesti dapat disampaikan oleh jurulatih dengan efektif juga!
Sebagai orang dewasa, kita semua mempunyai pengalaman belajar dalam pelbagai platform, cara, pendekatan dan guru yang berbeza. Apabila masuk di alam pekerjaan, kita banyak belajar bersama jurulatih. Sama ada ianya kemahiran dalam bentuk teknikal atau kemahiran pengurusan kemanusiaan, platform yang ada kebanyakannya adalah dalam bentuk program yang dijalankan oleh majikan atau ditempat kerja.
Bagi ramai orang, ada juga program latihan yang disertai adalah melalui komuniti atau pusat-pusat masyarakat yang memberikan kita pengalaman belajar sebagai orang dewasa. Semua ini ada cara dan pendekatan berbeza. Kita sendiri sudah tentu ada mengalaminya.
Adalah jelas bahawa pengalaman orang dewasa belajar itu berbeza. Bagi memastikan situasi pembelajaran positif dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan motivasi orang dewasa untuk terus belajar, kita biasanya akan melalui beberapa perkara.
Antaranya ialah kita dapati bawaha maklumat yang diberikan itu benar-benar masuk ke dalam sanubari. Kita seronok dalam masa kita belajar itu. Pada masa yang sama, kita dapati bahawa apa yang kita pelajari itu berkaitan langsung dengan apa yang sedang kita lakukan dan boleh kita cuba lakukan selepas tamat pembelajaran. Paling penting, kita dapat mencapai satu ‘connection’ atau hubungan yang selesa dan serasi bersama dengan jurulatih sepanjang kelas.
Semua ini secara langsung membolehkan kita sebagai orang dewasa belajar dengan mendapat impak optimum. Pada masa yang sama, motivasi yang kekal sepanjang masa belajar dapat mendorong orang dewasa untuk terus melakukan apa yang dipelajarinya.
Cabarannya kepada jurulatih, adalah untuk memastikan ini semua berlaku. Maka, jurulatih mempunyai tugas khusus memastikan orang dewasa yang berada dalam pemantauan beliau semasa sesi latihan mendapat dan diberikan situasi yang selamat untuk belajar dan menyertai sesi pembelajaran.