KEPERLUAN KHUSUS UNTUK ORANG DEWASA BELAJAR
Sebagai jurulatih yang berkebolehan dan pakar dalam bidang penyampaian latihan, ia memerlukan kemahiran yang berkaitan. Banyak jenis dan senarai kemahiran yang sudah dibincangkan dalam penulisan terdahulu.
Maka, apabila seorang jurulatih merancang untuk program latihannya, mereka perlu mengambilkira keperluan-keperluan tertentu apabila orang dewasa belajar.
Tidak kira sama ada pekerja itu datang dari bahagian operasi atau pengurusan dan daripada mana-mana bahagian organisasi, ramai yang tidak biasa dengan situasi kelas latihan. Pada jam pertama memasuki mana-mana sesi latihan, sudah tentu ada yang sedikit cemas dan bimbang.
Ada beberapa perkara yang biasanya menjadikan para seperta cemas dan bimbang termasuklah latar belakang pendidikan, tahap percaya diri, perbezaan budaya, kekurangan upaya fizikal, umur, tahap pemahaman bahasa-pembacaan-penulisan dan juga peserta yang lain.
Semua ini sering menyebabkan situasi pertama kali atau pada hari pertama program latihan kelihatan cemas. Inilah juga yang menjadikan ianya penting bagi jurulatih mempunyai kemahiran dan kebolehan menganalisa.
Antara beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada orang dewasa belajar jua adalah termasuk peserta lain dalam program itu. Adakalanya mereka terlalu memikirkan tentang ‘bagaimana orang melihat’ diri mereka berbanding kepada onjektif kelas latihan.
Ada juga peserta yang sudah mendapata maklumat awal tentang program dan mempunyai pandangan awal terhadap jurulatih atau konten latihan. Situasi di mana jurulatih bercakap iaitu nada dan tona serta kelajuan penyampaian juga memberikan kesan kepada persediaan peserta belajar.
Seorang jurulatih yang suka menggunakan bahasa teknikal dan mempunyai sikap merendahkan orang menjadikan proses pembelajaran juga terhalang secara automatik.
Penting bagi seorang jurulatih untuk memastikan beliau mempunyai kebolehan untuk melihat peserta sebagai individu yang unik. Meskipun mereka berada dalam satu kumpulan, namun penerimaan dan latar belakang serta penghalang kepada pembelajaran mereka adalah berbeza.
Teradapat banyak faktor yang memberikan motivasi kepada orang dewasa untuk belajar. Bagi sesetengah pekerja, mereka perlu meningkatkan status pekerjaan dengan menerima pengiktirafan yang biasanya selari dengan tangga gaji.
Terdapat juga pekerja yang mempunyai kecintaan dan kecenderungan kepada pekerjaannya itu. Maka, motivasi untuk terus belajar dan mengasah kemahiran adalah memenuhi keperluan ini. Bagi ramai pekerja juga, mereka suka kepada peluang berkenalan dan bersosial dengan peserta-peserta lain yang datang daripada bahagian lain atau syarikat lain.
Bagi sesetengah pekerja, peningkatan kemahiran khusus melalui latihan bermakna adanya peluang-peluang baru dalam bentuk kerjaya, pembelajaran dan pengembangan ilmu mereka. Kini, ada banyak lagi faktor motivasi yang berbeza bagi menggalakkan orang dewasa belajar.
Mengekalkan semua faktor motivasi yang umum ini, memerlukan jurulatih untuk mempraktikkan semua tahap kemahiran dan kebolehan menganalisa. Bagi seorang jurulatih yang efektif, menjadi pendokong dan penggerak kepada budaya pembelajaran yang positif, kita mesti mencari jalan untuk memastikan semua cara dan gaya pembelajaran yang berbeza ini diraikan.
Keutamaannya ialah memastikan kita sebagai jurulatih menguasai kemahiran mengenalpasti keperluan orang dewasa belajar. Program latihan yang efektif daripada jurulatih yang berkebolehan membolehkan proses pembelajaran berjalan cemerlang.