Menguruskan bisnes, memang akan melibatkan duit. Duit pelanggan, duit pembekal, duit perbelanjaan…duit pelbagai.
Macam-macam sumber duit yang masuk kita perlu fikirkan. Pada masa yang sama, bagaimana duit itu dibelanjakan juga perlu kita kawal.
Memang bisnes ini, ada dua sisi. Ia menjadikan kita kaya, boleh menjadikan kita papa. Boleh buat kita ada ramai kawan, boleh jadikan kita ada ramai musuh.
Boleh jadikan hubungan persaudaraan lebih baik atau memutuskan persaudaraan.
Begitulah juga dengan halnya, tentang partner dan juga kawan baik. Ya, semuanya berbalik kepada pengurusan. Saya melihat dari sisi pandang cara mengurus. Duit itu, tidak semestinya dalam bisnes, boleh jadi punca pergaduhan. Mana-mana pergi, akan ada kita jumpa bergaduh atau putus persahabatan asbab DUIT.
Maka, dalam pengurusan begini, kita mengurus dengan dokumen. Ada persetujuan, ada perjanjian. Jika pinjam, pulangkan. Jika modal pegangan saham, ada rujukan. Jika upah, bayar. Semua ada rujukan.
Pernah seorang rakan memberitahu. “Aku bukan apa. Aku tahu, bisnes ni susah. Macam-macam halangan. Tapi, kalau tak boleh bayar, cakaplah. Ini aku kena follow-up macam mengemis, baru nak update.”
Saya diam. Dengar sahaja, kerana nadanya begitu menekan. “Kau tahu. Lepas tu, aku tengok, bukan main dia belanja. Katanya buat brandinglah, beli sistemlah, marketing onlinelah… Lepas tu, yuran aku, dia tak bayar.”
Saya terus diam. Dia menyambung, “Walhal, dah janji dah tu. Bukan apa. Selama ni aku diam. Aku tolong dia buat kerja operasi macam biasa. Aku harap, dengan aku tolong dia, bolehlah dia bayar aku apa yang dijanjikan. Rupanya tak juga!”
Agaknya, emosinya tidak stabil. Sambil matanya yang buntang itu memandang saya, tangannya menghala atas dan bawah. Akhirnya, dia tarik nafas. Air teh O ais limau kegemaran disedutnya. Lama.
Kemudian dia menyambung. “Kalau ikutkan, aku tak kisah kalau dia bayar lambat. Bayar sikit pun tak apa. Tapi, paling tidak ‘update’lah. Kalau memang ada problem, bagitahu. Aku rasa, dia expect aku faham sendiri. Yalah, aku mana tengok laporan kewangan dia kan? Mana aku tahu!”
Mendengar luahannya itu, saya kira, ada isu dokumentasi yang tidak lengkap atau tidak dipatuhi. Apabila disebut adanya ‘janji’ saya buat andaian, mestilah ada surat.
“Sebenarnya, bukan pasal duit tu pun. Pasal dia tak tunai janji tu…!”
Dalam keadaan begitu, saya memang tidak akan menyoal. Bimbang jadi provokasi pula.
Begitulah Tuan…
Mengurus bisnes, meskipun dengan saudara mara dan rakan, uruslah risiko dengan adanya dokumentasi yang baik. Simpanlah untuk rujukan. Ini membolehkan kita, menyelesaikan apa-apa konflik dengan baik dan harmoni.
.
Semoga Allah merahmati.