Kita tidak hidup sendirian. Meskipun hakikatnya ada sebahagian daripada kita tinggal seorang diri di rumah sewa, rumah sendiri atau menyewa bilik, kita hakikatnya tidak hidup sendirian.
Menyedari hakikat ini kita akan sentiasa berada dalam landasan dan peraturan serta keperluan kepada ‘dunia’ luar untuk menerima kita. Maka, berada dalam keadaan yang boleh diterima oleh ‘dunia’ kita itu adalah satu perkara penting.
Kali ini saya mahu melihat kepada ‘dunia’ yang pelbagai, yang kita pilih dan kita cipta menjadi sebahagian daripada diri kita. Ada ‘dunia’ keluarga, masyarakat, tempat kerja dan kerjaya, perniagaan, rakan-rakan dan banyak lagi ‘dunia’ yang kita perlu tahu keperluan setiap satunya. Maka dengan itu, kita boleh hidup dengan harmoni dalam ‘dunia’ yang pelbagai itu tadi.
Bagi seorang wanita, mereka juga ada ‘dunia’ yang mereka mahu ‘explore’ dan cipta dalam setiap fasa kehidupan. Saya yakin lelaki juga begitu. Maka, itulah hasilnya kita lihat adanya banyak kumpulan-kumpulan yang adakalnya berbentuk ‘click’ atau ‘clique’.
Click biasanya menghimpunkan orang-orang yang ada kecenderungan, idea atau perjuangan yang sama. Biasanya, kita yang masuk dalam ‘dunia’ ini adalah dalam keadaan sedar dan jelas dengan manfaat memberi dan menerima. Kita mengikat diri dalam dunia ini untuk mencapai perkara-perkara baik dan pada masa yang sama mendapat input yang dimahukan.
Manakala, clique pula biasanya melibatkan kuasa dan populariti. ‘Dunia’ ini tidak semestinya wujud atas dasar nilai dan idea atau perjuangan. Apabila kita masuk ke ‘dunia’ ini, ia merupakan satu ‘exclusivity’ yang perlu kita jaga dan perlu hidup ‘up to the clique expectations’. Ada ‘clique’ yang wujud atas kuasa-jawatan, kekayaan, status, gaya hidup dan rupa paras. Kebiasannya, ia cenderung memberi kesan dan hasil tidak sihat.
Maka, kita sebagai orang yang berniaga atau individu yang bekerjaya, atau wanita yang menguruskan ahli keluarga, ayah yang mengetuai sebuah institusi keluarga, memerlukan satu ‘dunia’ yang betul untuk menyokong perjalanan hidup kita.
Dunia kita hari ini banyak berkisar di media sosial. Paling besar ialah ‘dunia’ dalam grup ‘whatsapp -WA’ yang berlambak-lambak ada dalam telefon kita. Malah, kita juga ada dunia ‘Facebook -FB’ yang menjadi tatapan harian majoriti daripada kita. Ada banyak lagi termasuk Instagram dan LinkedIn.
Semua ini adalah ‘dunia’ yang kita boleh pilih. Untuk tidak berada di sosial media, ia menjadi satu kerugian terutama bagi kita yang ada tujuan khusus yang mahu dicapai dan diperjuangkan. Tidak kiralah sama ada ia bersifat peribadi, berkumpulan kecil atau besar. Kewujudan online sudah wajib dan kini kewujudan dalam dunia media sosial juga sudah jadi begitu.
Mengetahui peraturan, budaya dan cara penerimaan dalam setiap ‘dunia’ yang kita pilih itu, memberikan kita satu ruang persediaan untuk hidup (thrive) dalam ‘dunia’ yang kita pilih. Mesti tahu bagaimana mahu menguruskan semua aspek yang berkaitan dalam ‘dunia’ itu termasuklah mengendalikan emosi dan diri kita.
Kewujudan kita melalui tulisan (posting), gambar dan perkataan serta teks yang kita pilih juga merupakan antar afaktor utama dan perkara yang menyumbang kepada kelangsungan dan keharmonian hidup kita dalam ‘dunia’ yang kita pilih.
Kematangan memilih memberikan kita kebolehan untuk meneruskan hidup meskipu sukar dalam situasi yang harmoni.
Salam 6 Ramadan.