Ada beberapa perkara penting yang mesti diambil kira dalam membina dan membangunkan sebuah perniagaan. Pada peringkat awal, memang ia biasa apabila mula berniaga dengan sumber dan modal yang ada. Maka, kita bermula dengan apa yang ada.
Namun, apabila kita sudah ada pemikiran yang jelas bahawa kita mahu membangunkan perniagaan dengan serius, maka ada beberapa perkara yang mesti ada dalam model perniagaan yang kita bina.
PERTAMA : Nilai yang menyelesaikan isu pelanggan.
Perniagaan yang kita jalankan mestilah boleh memberikan nilai melalui hasil yang konsisten kepada pelanggan, pembekal, peminjam dan mereka yang berada dalam ‘supply chain’ perniagaan kita. Semuanya melalgkaui jangkaan biasa yang mereka perolehi.
KEDUA : Kemahiran yang diperlukan.
Perniagaan yang kita jalankan itu mestilah boleh dilakukan dan dijalankan oleh mereka yang tidak mempunyai kelulusan tinggi. Bermakna, ia boleh dijalankan dengan mudah.
Ini tidaklah bermakna semua orang boleh melakukannya, tetapi setiap fungsi kerja dalam perniagaan itu, boleh dijalankan oleh mereka dengan tahap kemahiran minima mengikut kesesuaian kerja.
KETIGA: Nilai Keunikan
Perniagaan kita itu mestilah mempunyai nilai dan keunikan yang berbeza berbanding dengan yang seumpama dengannya. Susunan dan struktur pengurusan yang baik memberikan kesan dan impak yang berbeza.
Perniagaan yang mempunyai struktur dan susunan yang baik memberikan persepsi kepada pekerja (staf) bahawa Pihak pengurusan tahu apa yang mereka lakukan dalam perniagannya itu.
Dengan adanya struktur dan susun atur kerja yang baik juga, pelanggan yakin untuk mengambil dan menerima perkhidmatan atau membeli prosuk yang kita tawarkan.
KEEMPAT: Sistem dan Dokumentasi
Perniagaan kita mesti mempunyai satu sistem dokumentasi dan pengurusan operasi yang standar (SOP). Mempunyai budaya kerja yang merujuk dan didokumenkan ini memboleh setiap bahagian menjalankan tugas dengan selesa Mereka mempunyai panduan ‘bagaimana melakukan perkara ini di syarikat ini’.
Maka, meskipun ada pertukaran atau perubahan individu yang bertanggungjawab, semua perkara masih berjalan seperti biasa dengan output dan hasil yang dapat dijangkakan.
KELIMA : Konsisten dalam Pengurusan
Perniagaan kita mesti boleh memberikan hasil dan output kepada pelanggan secara konsisten dan boleh jangka. dalam konteks ini, ramai pelanggan sukakan kepastian. Maka dengan adanya kebolehan kita mengekalkan ‘expectation’ pelanggan dengan konsisten, kita dapat menjadikan perniagaan kita sebagai pilihan utama oleh mereka.
KEENAM : Identiti Perniagaan
Perniagaan kita mestilah mempunyai identiti yang dikenali dari segi imej dan penampilan. Ini termasuklah warna, logo, susun atur konsep dan yang berkaitan. Maka, sudah tentu kelak akan ada keperluan untuk memastikan imej dan identiti ini disampaikan kepada masyarakat.
DALAM kesemua perkara ini, ia bergantung kepada ‘Business Owner’ dan pendirinya. Selagi Business Owner masih tidak mengubah cara fikir tentang perniagaannya, maka sukar untuk sebuah syarikat bergerak dan maju.
Sebagai Business Owner, kita mesti jelas apa tu perniagaan dan bagaimana sebuah perniagaan itu dijalankan.
Business Owner perlu berfikir tentang perniagaannya dengan satu cara yang berbeza.
Business Owner mesti menerima kenyataan dalam perniagaan dan bersedia menghadapi segala perubahan yang ada. Terutama bagi sebuah perniagaan kecil, ia merupakan sebuah kerja seni dan sains pada masa yang sama.