Hari ini, 2.9.2019, kita masih lagi mengambil semangat merdeka dan hjrah tahun ini. Ya. Merdeka dan hijrah boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa ada sekatan atau peraturan. Namun, kita mengambil satu tarikh dalam setiap tahun untuk mengumpulkan suara dan tenaga secara berkelompok untuk menghayati dan menilai semula tentang MERDEKA dan HIJRAH.
Ramai yang bercakap tentang definisi dan apa maksud setiap perkataan ini kepada kita. Secara khususnya, kita mahu melihat kepada kesan dan proses yang membolehkan kita semua merdeka dan melakukan hijrah itu.
Bagi setiap kelompok dan kumpulan, kita mungkin ada definisi dan tujuan serta objektif tertentu. Malah di peringkat keluarga, kita juga ada kemerdekaan yang mahu dicapai dengan hijrah yang kita lakukan.
PERUBAHAN
Semua perubahan itu memang merupakan satu proses hijrah juga. Ia bermula daripada kemahuan, keperluan dan kekuatan bertindak oleh setiap individu yang bergerak dengan cara dan tempoh masing-masing. Tetap dengan hasil kita lihat secara kolektif.
Kali ini, secara khusus saya mahu memberi fokus tulisan kepada usahawan, Business Owner atau mana-mana individu yang mahu memulakan perubahan iaitu hijrah dalam usaha berniaga.

Katakanlah kita berbisnes dengan lesen enterprise. Hijrah kita untuk perniagaan akan melibatkan perubahan struktur pengurusan. Melibatkan pekerja, pembekal dan juga pelanggan.
Katakanlah kita mengusahakan perniagaan di rumah. Hijrah kita untuk perniagaan bermula dengan objektif dan hala tuju yang kita tentukan. Bermula dengan kekuatan dan usaha kita yang berterusan untuk membangunkan perusahaan.
Katakanlah kita berbisnes dengan 1 cawangan dan mahu menambah lagi cawangan dan premis perniagaan. Hijrah kita memerlukan persediaan ilmu, keinginan dan konsistensi yang lebih tinggi dengan fasa dan status perniagaan yang sedang kita gerakkan.
Apa juga jenis, bidang, tahap dan fasa perniagaan yang kita jalankan, memerlukan perkara yang sama. Kekuatan individu, pembentukan kumpulan, kekuatan membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Selebihnya, modal, strategi, taktik, ilmu, gaya pengurusan, tim dan seumpamanya akan menjadi sebahagian daripada proses pengurusan yang datang dengan komitmen.
BERADA DALAM LINGKUNGAN POSITIF
Antara perkara penting apabila bercakap tentang MERDEKA dan HIJRAH ialah kapasiti dan platform yang kita ada dan pilih. Apa bila bercerita dan berbual tentang HIJRAH dan MERDEKA dengan anak-anak, kita mempnyai konteks dan isi perbualan berbeza. Apabila berbual di kalangan kawan-kawan sebaya, kita juga menggunakan lenggok bahasa yang tidak sama.
Apabila kita memilih untuk berada dalam lingkungan individu dan kumpulan yang mempunyai nilai dan pemikiran yang jelas, maka kita dapat bercakap, berbincang dan merdeka dalam berfikir.
Kumpulan dan lingkungan individu yang banyak membaca, mengembara, melihat alam, berjumpa dengan pelbagai insan adalah antara kumpulan yang kita perlu bina dan pilih untuk bersama.
Apabila ini berlaku, berikan fokus kepada apa yang kita mahu usahakan secara kolaborasi dan bekerjasama. Pisahkan keperluan peribadi dan prejudis terhadap warna kulit, bangsa dan agama. Meskipun kita tahu kita sentiasa perlu berhati-hati, ada garis nipis yang memisahkan antara yang jelas dan meragukan.

BERI NILAI, NAIKKAN NILAI
Menjadi individu yang ‘dicari’ dan ‘dilamar’ untuk menjadi sebahagian kumpulan dan individu untuk berada di platform dan kerangka yang betul, memerlukan kita membawa satu nilai kepada orang lain.
Memberi ini, ada banyak impak kepada persekitaran dan orang sekeliling. Bermula dengan individu, keluarga dan masyarakat, ada banyak nilai yang kita boleh berikan. Mula dengan yang kecil baharulah kita dapat berkembang dan membesar.
Meningkatkan kemahiran diri, berkongsi dan memberi kepada orang lain, merupakan satu cara mudah untuk menambah nilai. Jika kita bekerja, nilai tambahan diberi kpeada majikan dan rakan sekerja. Jika dalam keluarga, nilai tambahan adalah kepada keluarga dan ahli keluarga juga. Jika dalam perniagaan, nilai ini akan memberi makna kepada usahawan lain dan juga semua ‘stakeholder’ dalam syarikat.
Jadi, dengan nilai yang ada, naikkan sedikit demi sedikit supaya lebih ramai akan mendapat manfaatnya.
KUASAI BAHASA IBUNDA, PELAJARI BAHASA LAIN
Secara peribadi, saya sendiri mengasah kemahiran bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Benar, kita mesti fasih dan boleh bercakap dalam bahasa ibunda dengan baik. Ia merupakan satu perkara penting yang membolehkan kita sebagai rakyat Malaysia membina jati diri. Anak dan bangsa kita pertahankan.
Pada masa yang sama , keperluan bahasa tambahan termasuklah bahasa Inggeris menjadi satu nilai tambahan kepada kita. Bermula dengan melakukan banyak kesilapan, kita akan meneroka cara baru supaya kita dapat sentiasa sedar dan berjaga-jaga untuk tidak melakukan kesilapan yang sama.
Tujuan bahasa untuk berkomunikasi, mesti jelas. Tujuan bahasa untuk menambah nilai mesti cakna.
“STEP UP, MOVE ON”
Akhirnya, antara perkara penting ialah untuk kita lalui ialah menerima hakikat dan kebenaran dalam hidup. Sama ada secara peribadi atau dalam pengurusan syarikat perniagaan, kebenaran yang pahit itu mesti diambil.
Dengan merdeka dalam pemikiran dan membuat keputusan, kita tidak perlu dibelenggu dengan rasa takut tanpa asas pengetahuan. Dengan ilmu dan komitmen memperbaiki yang berterusan, maka kita akan terus melangkah ke hadapan.
Secara amnya, dengan berubah (hijrah) itulah, kita dapat mencapai kemerdekaan.
Merdeka itu kita capai dalam diri, bermula dengan hijrah diri, supaya kita mencapai kemerdekaan yang lebih besar dan bermakna dalam kehidupan.
Salam HIJRAH. Salam KEMERDEKAAN.
