Hari ini, 15.9, selepas beberapa hari keluar dalam keadaan jerebu yang teruk, badan mula terasa tidak sihat. Tekak rasa perit dan hidung mula berair. Maka, sepanjang malam tidur dalam keadaan tidak selesa. Demam.
Sekitar jam 4.00 pagi terjaga dan terus ambil 2 biji panadol untuk melegakan badan. Ya, adakalanya, kita fikir badan sihat dan semua baik-baik sahaja. Hakikatnya, apabila kita melalui satu situasi seumpama jerebu, kita mesti ambil tahu supaya kita dapat mengelakkan perkara yang mudharat kepada diri.
Maka, pagi ini, dalam keadaan sedar, serta penuh dengan kesedaran, menilai semula keadaan dan realiti merupakan satu momen yang saya ambil kira sebagai penting.
Kita semua ada impian. Ada kehidupan ideal yang kita dambakan. Bagi ibu bapa, mereka ada impian yang ideal mahu dicapai dalam keluarga. Sebagai pasangan, kita ada ideal kehidupan yang kita bayangkan. Begitulah. Sama juga dalam kerjaya atau bidang bisnes yang kita lakukan. Semua ada impian yang mana ia sentiasa berbentuk ideal dan terbaik.
Realitinya, kita harus bekerja keras dan bersunguuh dalam usaha untuk menjadikan impian yang ideal itu sebagai satu perkara yang realistik. Dalam perjalanan hidup yang pasti, kita akan melalui banyak perubahan dan cabaran.
Ini termasuklah menerima hakikat bahawa adakalanya, idealistik yang kita bawa itu bukanlah satu realiti untuk kita. Mungkin boleh untuk orang lain, tetapi bukan kita.
Ramai yang mahu ‘berjaya’. Mahu capai banyak perkara dalam hidup. Tetapi, berapa ramai yang sanggup bekerja keras, berubah dan berusaha untuk mencapai kemahuan itu?
Apakah kita mempunyai keadaan yang cukup mendesak untuk kita jadi ‘kuat’ menghadapai semua cabaran apabila mahu berubah untuk mencapai kejayaan?
Apakah kita sanggup mengubah disiplin dan rutin yang sebelum ini kepada satu yang berbeza, lain dan baharu?
Dalam konteks pengurusan perniagaan, sebenarnya tiada banyak beza dengan disiplin peribadi yang kita ada. Biasanya, ia akan diterjemahkan kepada apa yang kita lakukan dan hasil yang kita akan perolehi. Ambil contoh sekiranya kita merupakan seorang yang selalu membaca buku. Tidak kira apa kerja dan kerjaya yang kita pilih, kita akan rajin membaca. Cuma, bahan dan konteks sahaja yang berbeza mengikut pilihan.
Jadi, apabila kita melihat adanya kelemahan untuk kita berfikir, bercakap dan membentuk idea, kita boleh semak semula apa bahan yang kita baca. Tidak cukup hanya dengan menghadiri seminar, kelas dan mendengar kisah inspirasi kejayaan. Ia mesti ada keseimbangan antara praktikal dan teori.
Itu satu contoh realiti kehidupan. Kita mahu berjaya, tetapi kita belum mencapai tahap di mana kita bersungguh mahu menempa kejayaan.
Dalam urusan sebagai pengusaha satu-satu perniagaan, adakalanya kita ditekan dengan persepsi bahawa kejayaan kita dalah petunjuk kepada ‘iman’. Lagi tinggi ‘iman’ kita, lagi tinggi potensi kita untuk berjaya dalam bisnes. Ini juga satu realiti yang perlu dilihat semula. ‘Iman’ itu bukan khusus atau istomewa untuk dinilai kepada orang bisnes, Tanggungjawab dan urusan kita sebagai orang bersgama, tidak tertakluk kepada kerjaya dan bidang kerja kita.
Kita bercakap tentang niat dan mahu menjadi orang baik.
Apakah realiti itu boleh dicapai jika kiita tidak menjaga hak *’stakeholder’ dalam pengurusan perniagaan yang kita jalankan?
Apakah realiti jadi peniaga yang baik itu, boleh dicapai jika kita hanya mengeluarkan invois tanpa menilai tahap servis yang kita berikan kepada pelanggan?
Apakah boleh kita menjadi pilihan pelanggan sekiranya kita tidak dapat menjaga sistem dan prosedur pengurusan kita sendiri?
Apakah boleh kita hanya bercakap tentang cara orang dalam syarikat kita berpakaian yang mesti mengikut tuntutan agama, tetapi dalam hal pengurusan kewangan tidak dijaga?
Ini adalah realiti yang berlaku kepada banyak impian yang ada. Cabran kita hari ini, esok dan akan datang, ialah untk terus membina impian dan menjadikannya satu realiti.
Ini merupakan satu proses berterusan untuk kita merancang, buat, menilai semula dan memperbaikinya.