Kali ini, tulisan ini adalah simpulan perjalanan yang panjang. Ia bukan bermula semalam, bulan lepas atau tahun lepas. Ia mungkin sudah bermula pada hari pertama memulakan perniagaan.
Apakah situasi yang biasa dihadapi oleh pengusaha perniagaan?
Apakah tiada ilmu? Ada banyak sumber rujukan. Bahan di internet dan kelas-kelas serta seminar ada banyak yang dianjurkan.
Apakah tiada masa? Ada banyak program yang kini dijalankan atas talian. Malah program berbentuk kelas ada yang dijalankan pada hujung minggu, hari bekerja dan ada juga pada waktu malam.
Apakah tiada modal untuk pergi belajar? Ada banyak program yang ditaja oleh ejensi kerajaan. Malah, ada juga yang dibiayai sebahagian atau sepenuhnya.
Kita ambil satu situasi. Seorang pengusaha perniagaan sudah tahu pentingnya ada ‘cashflow report’. Sudah maklum pentingnya mematuhi peraturan SSM untuk serahan tahunan laporan, tidak kira sama ada enterprise atau PLT atau Sdn Bhd.
Tetapi, apakah yang menyebabkan masih ramai usahawan dan pengusaha tidak dapat mematuhi dan menyediakan semua keperluan dalam pengurusan perniagaan?
Ini antara hakikatnya:
- KURANG kesedaran kepentingan hal pengurusan untuk jangka masa panjang untuk perniagaan kekal.
- TIADA kekuatan dalam mendisiplinkan diri dan pekerja untuk menguruskan hal pengurusan dan pematuhan. Ini termasuklah hal yang berbangkit apabila melibatkan pengurusan yang ada kaitan dengan hubungan emosi. Ini termasuk dan tidak terhad kepada suami-isteri, ibu-bapa dan anak-anak atau kawan karib.
- Situasi dan cabaran semasa tidak cukup kuat untuk membolehkan pegusaha berubah. Maknanya, mereka masih rasa SELESA dan ‘OK’ dengan keadaan perniagaan semasa.
- TIDAK mempunyai ‘hala tuju’ perniagaan untuk jangka masa panjang. Maknanya, jika asalnya tujuan berniaga untuk memenuhi masa lapang, ia kekal. Jika memulakan perniagaan dengan tujuan ‘buat duit poket’, ia masih kekal begitu.
Meskipun begitu, ada banyak lagi perkara lain yang saya percaya masih dalam spektrum senarai 4 yang di atas.
Pada kebanyakan masa, ada pengusaha perniagaan yang KURANG PERCAYA kepada kebolehan diri sendiri. Apakah yang boleh dilakukan?
1. KELUAR daripada ‘circle’ dan kawan-kawan yang sama. KELUAR dan buka lebih banyak ruang untuk bertemu dan berkenalan dengan ramai orang. KELUAR bina jaringan baru dalam kapasiti dan kemampuan diri serta perniagaan kita.
2. PILIH untuk meletakkan ‘benchmark’ atau contoh yang lebih tinggi tahapnya daripada kita sekarang. Lihat dan kaji cara mereka menjalankan perniagaan dan bekerja. PILIH yang sesuai untuk diadaptasikan.
3. UBAH perkara kecil yang boleh memberi impak besar. Contoh yang mudah, cara berpakaian. “Dress up!” Contoh lain, cara bercakap. Pilih yang positif. UBAH perakataan ‘masalah’ dan ‘susah’ kepada perkataan lain. UBAH cara fikir daripada fokus punca kepada fokus penyelesaian.
4. TEKAD untuk buat meskipun sedikit dan perlahan. Rancangkan supaya TEKAD kita itu konsisten dan berterusan. Antaranya, carilah mentor bukan hanya satu. Pilih bidang yang boleh membantu kita. Mentor kerjaya, mentor ‘leadership’, mentor pengurusan, mentor….Pastikan jelas dengan definisi mentor.
Apa juga hasil yang kita dapat, adalah atas usaha yang dijalankan. Berdoa juga satu usaha yang sudah jadi kemestian dalam hidup kita untuk semua hal. Sekiranya masih belum berhasil, ubah cara kerja. Tidak perlu menyalahkan ‘keberkatan’ semata-mata.
Tahu, tetapi masih tidak buat ; adalah situasi di mana hanya pengusaha perniagaan dan usahawan itu sendiri yang tahu jawapannya. Hanya apabila dia telus dengan dirinya, tidak akan dia menyalahkan sesiapa atau meletakkan tanggungjawabnya kepada orang lain.
Catatan kelam – Kajang, 9.58 malam.