Hari ini, 28.3.2020 masih dalam tempoh PKP seluruh Malaysia. Semalam, PM mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi. Ada banyak perkara berbangkit di kalangan orang bisnes.

Kupasan saya kali ini, mengkhusus kepada industri pendidikan, iaitu tadika swasta, tadika persendirian. Tadika yang BUKAN franchise atau license atau yang berjenama dari luar negara.
Rata-rata, saya melihat banyak komen dan juga posting yang naik di laman FB. Namun, perbincangan di sana menjurus kepada perkara yang umum dan secara keseluruhannya bias kepada perspektif individu.
Secara umumnya, semua orang, bahkan seluruh dunia tidak mempunyai pengalaman menghadapi cabaran isu virus. Menghadapi krisis, ya. Krisis atas kesan wabak virus, belum pernah seperti ini kesan dan situasinya.
Baik. Apakah situasi sehingga hari ini di kalangan pengusaha tadika?
1. Rata-rata pengusaha mengeluh apabila PKP diumumkan dan tadika tidak dapat beroperasi seperti biasa.
2. Pengusaha menghadapi situasi di mana yuran bulan Mac masih belum dapat dikutip sepenuhnya, terutama apabila minggu ke-3 adalah cuti sekolah dan diumumkan PKP dari 18.3 – 31.3.2020. Pada 27.3.2020 telah ada pengumuman PKP dilanjutkan kepada 14.4.2020.
3. Lanjutan kepada PKP menjadikan pengurusan pembayaran ‘fixed cost’ dalam bisnes menjadi lebih sukar apabila aliran tunai ada isu.
4. Dalam situasi PKP, ramai yang menunggu bantuan kerajaan dan bantuan daripada mana-mana ejensi yang berkenaan.
5. Pengusaha tidak mempunyai maklumat yang tepat untuk membuat keputusan dalam hal menghadapi situasi krisis sekarang.

Perbincangan kali ini, mari kita lihat semula kepada keadaan dalaman dalam bisnes tadika yang kita jalankan. Ini dapatan saya dan merupakan satu sisi pandang yang boleh Tuan dan Puan ambil jika relevan, tolak jika tidak.
- Adalah tidak wajar, sekiranya kita memang menjalankan bisnes untuk memenuhi masa lapang, tetapi mengeluh dan mengharapkan bantuan kerajaan.
- Adalah tidak wajar, kita menjalankan bisnes tadika tanpa ada rancangan perniagaan untuk memastikan kelangsungan bisnes, tetapi mengeluh tentang perniagaan yang tidak ada keuntungan.
- Adalah tidak wajar, kita menjalankan perniagaan hanya untuk memuaskan hati kita (Aku pun ada tadika), tetapi dalam keadaan sukar mahu menuntut bantuan sana-sini.
- Adalah tidak wajar, selama ini kita memang tidak ambil gaji dan bergantung kepada pendapatan pasangan semasa menjalankan perniagaan, tetapi mengeluh bisnes tidak untung dan menyalahkan pihak lain terutama kerajaan apabila dalam keadaan sukar atau ada krisis.
Ini semua adalah HAKIKAT yang MENYAKITKAN. Sekiranya kita masuk dalam kategori ini, terima sahaja hakikat situasi dan keadaan bisnes. Rancang, buat keputusan dan maju ke hadapan.
SETERUSNYA, mari kita lihat apakah yang perlu kita semak jika mahu terus melalui situasi sukar terutama dalam krisis.

1.Apakah business model kita itu memang menguntungkan?
Bisnes tadika menguntungkan. Betul. Hanya apabila model pengurusannya, model kewangannya dan orang-orang yang betul ada di dalam organisasi. Rata-rata Pengusaha bisnes tadika, banyak menghadiri program latihan berbentuk teknikal dan meningkatkan profesionalisme perguruan.
Pernahkah disemak tentang:
a. Pakej yuran yang relevan untuk memastikan perniagaan ‘sustain’.
b. Keperluan menukar segmen pelanggan dan lokasi perniagaan.
c. Menukar kandungan perkhidmatan supaya sejajar dengan ‘pricing’ yang ditawarkan.
d. Proses kutipan yuran dan terma yang perlu diubah.
e. Syarat kelayakan masuk sebagai pelanggan dengan menggunaakn sistem tertentu.
f. Menawarkan pakej bantuan/khas kepada yang benar-benar memerlukan sahaja
Katakanlah model bisnes kita memang untuk pelanggan berpendapatan kecil, maka pakej dan khidmat yang ditawarkan mestilah wajar dengan keperluan segmen kita itu. Kualiti servis masih di tahap yang wajar.

2. Apakah bisnes kita dibuka dengan tujuan dan objektif bisnes?
Ini ada banyak versi yang semua Pengusaha masing-masing boleh menilainya sendiri. Secara khususnya, saya melihat ia mestilah dijalankan dengan objektif bisnes yang betul. Itu sahaja.
Akhirnya, kita masih perlu mendapatkan lesen yang sah, menyediakan laporan kewangan dan membayar cukai. Jika mahu diniatkan ‘kerana Allah’, seluruh hidup dan mati adalah kerana Allah. Tetapi, kehidupan ini mesti diuruskan, malah kematian kita kelak juga yang hidup masih perlu uruskan.

3. Apakah pengurusan bisnes mematuhi sistem pematuhan (compliance) dan peraturan-peraturan tertentu?
Ini adalah antara yang KRITIKAL. Ya, kita membuka tadika dengan lesen SSM yang sah. Mendaftar dengan JPN dan KPM seperti mana yang diperlukan.
Apakah kita mematuhi peraturan lanjut?
a. Pengurusan staf dengan pematuhan KWSP, SOCSO dan Akta Kerja?
b. Pengurusan laporan kewangan dan ‘declare’ cukai?
Dalam banyak situasi, meskipun ramai tadika yang mematuhi keperluan dan peraturan ini, sebilangan besar masih tidak. Malahan, gaji minima juga masih tidak dipatuhi.

4. Apakah kita sebagai Pengusaha bisnes memainkan peranan sebagai ‘leader’ secara efektif?
Apakah urusan perniagaan ini satu-satunya perkara yang kita berikan perhatian atau kita mengambilnya sebagai satu aktiviti sampingan sahaja?
Bagaimana dengan rancangan dan perkembangan perniagaan yang kita rancang sebagai ketua kepada pentadbiran perniagaan? Sekiranya kita masih merancang dengan perkara yang kita ‘mahu’ berbanding dengan perkara yang ‘perlu’, maka kita perlu melihat semula kekuatan kita sebagai ‘leader’ dalam organisasi kita.
Tidak kira besar atau kecil, kita masih sebuah entiti perniagaan. Daftar sahaja dengan SSM, sudah menjadi keperluan dan mesti mematuhi semua peraturan.
Apakah kita punya kekuatan untuk ‘menutup’ bisnes dan ‘mulakan’ semula?
Apakah kita punya kekuatan untuk buat keputusan yang sukar untuk kemaslahatan yang lebih utama?
Apakah kita tahu mana yang lebih utama?

AKHIR sekali, berilah prioriti kepada diri sendiri sebagai Pengusaha. JANGAN SAMPAI stress dan sakit. Kesihatan diri lebih utama.
Jika benar-benar tidak mampu bertahan juga, selepas SEMUA kira-kira dibuat, langkah yang dirancang tidak boleh jalan, maka menutup bisnes kita adalah jalan akhir. Bersedia untuk beraksi semula dengan lebih bergaya selepas krisis tamat!
Salam perjuangan!
Noraminah Omar, 28.3.2020 – Kajang Selangor.