Apa persediaan bisnes?
Seperti seorang teruna yang sudah berhasrat menyunting dara. Teruna masih berkira-kira, apakah risiko dan komitmen membuat keputusan untuk serius bercakap dengan dara soal hidup berpasangan.
Persediaan menjadi ketua keluarga dan membina rumah tangga. Maka, sama ada teruna atau dara bersedia, ia mengambil kira kedua-duanya sekali pada masa yang sama. Kedua-dua belah pihak perlu sama-sama bersedia.
Dalam kehidupan berbisnes agak sedikit berbeza. Bisnes tidak membuat sebarang keputusan. Kita yang perlu membuat keputusan. Bisnes tidak akan dapat berunding dengan kita, kitalah yang perlu berunding untuk mendapatkan bisnes itu memberi hasil untuk kita.
Hubungan kita sebagai manusia dengan bisnes, banyak bergantung kepada diri kita , bukan bisnes tersebut. Bisnes yang dibangunkan akan bergantung kepada bagaimana kita berfikir dan menguruskan syarikat bisnes. Syarikat tidak akan bersedia selagi kita tidak bersedia menguruskannya.
Malah, bisnes itu hanya boleh hidup apabila manusia (kita) mampu menggerakkannya. Kenderaan yang ada ialah syarikat. Ya, syarikat iltukan kenderaan yang kita pilih untuk memastikan bisnes itu bergerak dan sampai ke destinasinya.
Lalu, kita pun mulalah memikirkan, apakah yang perlu disediakan untuk menjadi orang yang boleh menjalankan dan menggerakkan kenderaan ini? Ada ramai yang memilih untuk mengenderai bisnes dengan kenderaan yang mahal (ini syarikat SDN BHD). Ada yang memilih untuk menjalankan bisnes dengan kenderaan yang ada sahaja. Sebagai pendahuluan, mereka berjalan kaki sahaja (ini lesen enterprise).
Maka, apakah sebenarnya persediaan yang betul? Persediaan menjalankan bisnes memerlukan keseimbangan antara maklumat daripada pemain dalam industri dan fakta melalui kajian. Maka berbondong-bondonglah manusia menghadiri kelas bagaimana dan membeli buku-buku ‘how to’sebagai persediaan berbisnes.
Bagi sebahagian besar kelas, seminar dan program yang dihadiri, ia merupakan dapatan, kajian dan pengalaman pembentang, penceramah dan speakerdalam program itu. Maka, variasinya sebanyak molekul udara yang ada disekeliling kita.
Ada sebahagian bersarnya pula, datang daripada kandungan hasil kajian ilmiah dan juga tulisan daripada pakar dalam bidang. Ada juga banyak tulisan yang dibentang sebagai bahan bacaam atas dasar perkongsian dan pandangan kritis penulisnya. Termasuk artikel ini, yang Saudara sedang membacanya.
Apa yang pasti, kita semua bersetuju bahawa perlu ada ‘bridge’ antara teori dan praktikal. Perlu ada jalan yang menemukan dan memberikan keseimbangan antara maklumat dan fakta. Antara maklumat baru dan kajian terkini yang berbentuk praktikal dan sesuai dengan situasi bisnes semasa dan berbentuk tempatan.
Bagi bisnes yang kita lihat sekarang, sudah tentu kita akan bermula dalam kerangka ruang lingkup suasana persekitaran dan yang berbentuk local. Bagi memulakan sesuatu, terutama yang baru, ramai yang bersetuju untuk bermula dengan apa yang ada, di mana kita berada. Paling tidak di lokasi yang kita arif dan faham selok-belok di mana sumber yang besar dan mudah diperolehi dapat didapati dengan mudah.
Pada masa yang sama, ini merupakan antara cara kita mengurus risiko apabila memasuki satu dunia yang baru. Cabarannya mungkin kita fikirkan sama, namun bisnes tetap mempunyai segala macam perbezaan dan variasi yang sebanyak molekul di udara.
Ramai juga yang bersetuju bahawa pihak yang menguasai teori dan pihak yang menjalankan dan mengaplikasikan dapatan daripada kajian dan hasil teori mestilah boleh bekerjasama dan mendapatkan solusi yang nyata untuk tujuan kesejahteraan sejagat. Untuk kemaslahatan umat.
Maka modus apakah yang terbaik untuk digunakan sebagai satu persediaan memulakan bisnes? Ada ramai yang sudah berbisnes, tetapi masih masuk ke dalam kategori mereka yang perlukan pengetahuan memulakan bisnes.
Ya, sudah tentu. Kejayaan bisnes pertama dalam satu bidang di satu lokasi, tidak akan menjanjikan satu lagi kejayaan dalam bisnes kedua di lokasi lain meskipun dalam bidang yang sama. Begitulah juga sekiranya ia menjurus kepada bidang yang baru meskipun dijalankan di lokasi yang sama.
Persediaan bisnes masih diperlukan. Saya kira, kunci kepada persediaan ialah maklumat dan fakta. Kemudian, ia disusuli dengan bagaimana kita berfikir untuk memastikan keputusan yang diambil itu betul atau paling tidak menurunkan risiko membuat kesilapan besar.
Dalam buku The Art of Thinking Clearlyyang ada diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh PTS, ada 99 tajuk yang menyebabkan sang pemikir berfikir semula tentang apa yang sudah difikirkannya benar dan salah.
Persediaan bisnes memerlukan maklumat dan fakta, yang mesti disusuli dengan kemahiran berfikir yang boleh dipelajari. Tuhan menjadikan otak manusia istimewa dan ianya boleh dilatih. Otak kita boleh dilatih untuk berfikir dan memberikan respon dengan lebih efektif dan baik.
Itu antara sebab mengapa ada banyak alat yang dikongsikan untuk kita mendapat jawapan, mengembangkan idea, berfikir secara kreatif dan inovatif serta dapat mengetengahkan idea agar diterima oleh msyarakat,
Apabila maklumat dan fakta didatangai dengan cara berfikir yang jelas, risiko untuk terjerumus dalam satu situasi hasil daripada kesilapan besar dapat dikurangkan. Ia bukanlah bermakna masalah akan hilang semuanya dan hidup umpama di syurga. Tidak sama sekali tidak!
Persediaan menjadikan kita sentiasa waspada. Adakalanya, ia membuatkan kita panik. Hakikatnya, ia merupakan sebahagian daripada proses persediaan itu sendiri.
Nah, sama ada bisnes atau kehidupan, semua memerlukan kita bersedia! Cara dan bagaimana kita membuat persediaan bergantung kepada nilai dn tujuan yang kita pegang.
Apa yang Saudara fikirkan, mungkin jauhd daripada apa yang sedang saya menifastasikan dalam tulisan saya. Bagusnya, ia menunjukkan kita semua adalah golongan yang berfikir.
Orang yang berfikir ialah orang yang bersedia.