BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 1 : Bisnes pendidikan adalah sebuah organisasi yang bersandarkan pendapatan. Ia mesti diurustadbir dengan tatacara bisnes.
Semasa saya memulakan bisnes, saya menggunakan kekuatan dan pengalaman saya sebagai seorang guru yang terhad dengan pengalaman saya sahaja. Saya bekerja menjadi guru dan menguruskan sesi pembelajaran selama 8 tahun sebelum memulakan sendiri bisnes pada tahun 2008.
Saya mempunyai sedikit pengetahuan dan kemahiran pengurusan yang terhad kepada menguruskan pusat pendidikan dan tadika dengan kapasiti yang kecil. Meskipun saya melalui pengalaman bekerja dalam kumpulan, bagaimana melapor, urusan gaji dan seumpamanya, saha tidak ada pengalaman menguruskan hal itu.
Jadi, bagaimana saya mahu menguruskan hal akaun yang merupakan nadi kepada sebuah syarikat?
Saya tidak boleh menunggu sehingga saya mempunyai cukup wang untuk menggajikan seorang pekerja akaun untuk menguruskannya. Pembayaran dan perbelanjaan yang bersifat harian mesti diuruskan.
Ramai yang boleh memberikan nasihat malah bersedia untuk membantu. Namun, dalam bisnes yang melalui fasa permulaan, hampir 80% perkara berkaitan kewangan mesti diuruskan sendiri. Paling tidak, kita sendiri mesti faham akan asasnya supaya kita tahu apa yang disediakan dan dilakukan oleh akauntan yang kita lantik.
Bagaimana pula dengan pengurusan harian bisnes yang melibatkan perkara teknikal yang melibatkan kontraktor, majlis bandaraya, perlesenan dan urusan yang berbentuk perundangan?
Semua ini adalah antara perkara yang ‘buat sambil belajar’. Zaman sekarang, kita ada banyak pilihan untuk mencari bimbing dan belajar sambil menjalankan perniagaan kita itu. Maka, ‘learning curve’ kita akan lebih cepat.
Pengurusan bisnes secara professional mesti disusunatur. Meskipun pada peringkat permulaan beberapa tugasan dilakukan oleh orang yang sama, pelan pengembangan dan penyusuan struktur pengurusan operasi mestilah sudah ada.
Pengalaman saya mungkin berbeza kerana saya mula dengan model bisnes francais. Saya membeli lesen francais yang pada mulanya dengan konsep perlesenan. Saya merupakan francaisi pertama untuk francaisor pada masa itu. Maka, ada banyak ‘advantage’ dan ‘disadvantage’ dalam hal pengurusan dan pengambangan bisnes.
Meskipun begitu, pengurusan dan pengalaman memulakan perniagaan itu, tidak lari dari kerangka cabaran yang serupa meskipun tidak sama.
CABARAN 1: Diri sendiri dan ahli keluarga.
Saya sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Pada masa itu, ada pembantu rumah. Maka, cabaran di peringkat awal memerlukan kefahaman saya tentang pengurusan masa dan juga komitmen kerja sebagai business owner.
Sokongan daripasa ahli keluarga dan pasangan juga penting. Apabila memulakan perniagaan, kita akan jadi lebih sibuk terutama pada 3 tahun yang pertama. Ada banyak perkara yang diuruskan dalam keadaan sumber yang terhad termasuklah staf yang terlatih.
CABARAN 2: Rekod peribadi – Kewangan dan profesional
Apabila membuka syarikat dan mengambil pinjaman untuk memulakan perniagaan, saya masih perlu membawa masuk modal sendiri. Maka dengan sedikit duit yang ada (hasil menjual aset) dan membuat pinjaman kepada suami, maka modal awal dapat dikumpulkan.
Rekod kewangan dan rekod latarbelakang profesional membantu dalam urusan ini. Suami saya mempunyai kelulusan MBA dan ia membantu memberi ‘weightage’ dalam profile syarikat. Semakan oleh bank dan ejensi yang memberi pinjaman, memberi merit kepada latar belakang kewangan dan rekod peribadi kita. Saya menamatkan beberapa hutang kecil sesegera yang boleh dan menjual 2 unit (apartment dan flat) untuk mengurangkan komitmen kewangan dalam rekod perbankan. Sebahagian besarhasil jualan aset dimasukkan sebagai modal dalam syarikat .
PELAJARAN:
- Persediaan mental dan spiritual penting bagi seseorang yang berniaga. Ia diperlukan dalam semua kerjaya yang kita pilih. Tetapi persediaan tetap perlu ada.
- Rekod nama yang baik dari segi kewangan dan taraf pendidikan diperlukan terutamanya apabila kita perlu membuat ‘pitching’ kepada ejensi atau organisasi tertentu. Sekrang-kurangnya, kita mesti mempunyai ‘partner’ yang ada kelebihan itu jika kita tiada. Ini tidak menjamin kejayaan, tetapi itu realitinya.
- Apabila kita dalam keadaan mempunyai modal dan sumber yang terhad, kita mesti mengasah kemahiran berunding dan memahami teknik untuk mendapat ‘the best value’. Adanya mentor akan membantu dalam hal ini.