BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 2: Pengurusan profesionalisme berkadar langsung dengan kedudukan kewangan syarikat. Dana yang mencukupi, memastikan servis juga berkualiti. – Kualiti Servis vs Kuantiti Pelanggan
Ramai yang menasihatkan saya dengan kata-kata, “Apabila bisnes kita berkualiti, wang akan datang sendiri.” Memastikan kualiti dari segi pendidikan, modul dan cara pengajaran itu adalah antara perkara yang sering menjadi perbincangan.
Ya, memang benar. Namun, untuk memberikan khidmat dengan kualiti yang sesuai kepada segmen pelanggan kita, ia memerlukan perbelanjaan juga. Tidak ada yang percuma.
Apabila kita teliti di sekeliling kita, banyak pusat pendidikan sama ada taska, tadika, pusat perkembangan, pusat tuisyen atau sekolah yang mewar-warkan tentng kurikulum dan pendekatan pelajaran yang pelbagai. Maka, pelanggan iaitu ibu bapa, mempunyai banyak pilihan.
Pada satu ketika, kandungan pembelajaran itu sudah menjadi satu yang biasa kepada mereka. Jadi, apakah yang mereka cari? Sesuatu yang berlainan. Ini termasuklah fasiliti dan keceriaan serta keselesaan selain daripada keselamatan yang menjadi aspek penting dalam memilih pusat pendidikan.
Maka, kualiti bisnes servis pendidikan tidak dapat lari daripada kaitannya dengan keselesaan dan tahap profesionalisme pekerja. Ruang pembelajaran dan premis kerja yang bagus memakan belanja untuk penyediaan dan penyelenggaraan. Malah, pekerja yang bagus juga memerlukan kos yang tinggi.
Kos seperti ruang fasiliti dan premis, tidak boleh hanya dilihat sebagai ‘one-off’ sahaja. Ia melibatkan baik pulih dan kos penjagaan semasa. Manakala kos guru pula mesti dilihat sebagai satu perkara jangka masa panjang. Bukan semata-mata gaji sahaja, tetapi melibatkan kos atas gaji itu dan juga latihan serta peralatan kerja yang perlu disediakan untuk proses pembelajaran.
Dalam bisnes kategori servis seperti pusat pendidikan, sumber yang kritikal ialah premis yang melibatkan pelbagai keperluan ruang dan sumber manusia yang profesional.
Kualiti yang dimaksudkan dalam bidang pengurusan pusat pendidikan bukan hanya setakat menggembirakan ibu bapa. Ia tidak bermakna kita perlu memberi hadiah hari bapa, hari ibu atau hadiah setiap kali perayaan dan pada akhir tahun. Malah, ia bukan tentang memberi jamuan dan mengadakan majlis makan-makan sahaja.
1. Perbelanjaaan untuk memastikan kualiti pembelajaran di sebuah pisat pendidikan bukan hanya untuk ‘menggembirakan’ hati ibu bapa sahaja.
2. Tanggungan kos untuk memastikan kualiti di pusat pendidikan BUKAn satu kos ‘one-off’. Itu antara sebab yang menjadikan pakej yuran pembelajaran yang mesti disediakan memenuhi semua faktor keperluan kualiti pembelajaran.
3. Bagi seorang pengusaha, pengurusan kewangan dan tahap kefahaman kepada operasi perniagaan syarikatnya penting supaya dia jelas untuk apa dan atas keperluan apa perbelanjaan dibuat.