BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 3: Bisnes servis memerlukan fokus kepada pembangunan pelanggan. Mengembangkan pelanggan sedia ada menjamin kelangsungan bisnes untuk jangka masa panjang. – Hubungan Pelanggan
Bisnes servis memerlukan produk untuk menyokong bisnesnya. Tetapi, produk itu bukanlah sumber pendapatan yang utama. Produk yang ada untuk sokongan bisnes, biasanya tidak akan sesuai untuk sepanjang masa.
Produk sokongan dalam bisnes pendidikan termasuklah buku dan peralatan pembelajaran. Apabila sudah melalui satu tempoh tertentu, produk itu tidak lagi sesuai untuk kategori pelanggan tersebut. Mereka memerlukan sesuatu yang lain pula.
Perkara utama dalam hal menjaga hubungan pelanggan adalah dalam bentuk ‘customer experience’. Dalam konteks pusat pendidikan, ada 2 bahagian. Pertama, apa yang anak-anak lalui dan kedua apa yang ibu bapa lalui.
Maka, keadaan dan pengurusannya bertambah kompleks berbanding dengan bisnes yang lain. Pengalaman dan kepuasaan hati anak-anak juga perlu diberikan satu perhatian. Ia melibatkan keselesaan dan kesesuaian pendekatan dan cara mengendalikan program yang dijalankan di pusat pendidikan. Memang sukar untuk memenuhi keperluan khusus semua anak-anak, tetapi kita mesti mampu memenuhi keperluan asas sebuah pudat pendidikan kepada anak-anak.
Bagi ibu bapa pula, pengalaman mereka adalah banyak bergantung kepada proses penglibatan dan komunikasi antara pihak pengurusan. Daripada pengalaman pertama mendapat maklumat tentang pusat pendidikan, sehinggalah menamatkan 11 bulan program pembelajaran di pusat pendidikan. Semua ini adalah ‘customer experience’ yang perlu kita cipta dan jaga prosesnya.
Mengembangkan produk atau pakej servis untuk memastikan jualan dalam bisnes mempunyai kesan bisnes yang berbeza. Kita memerlukan perancangan yang khusus untuk itu. Untuk pusat pendidikan, menambah siri buku dan alat pembelajaran BUKAN satu-satunya cara untuk memenuhi keperluan pelanggan. Apatah lagi sekiranya ia melibatkan kos tetapi tidak dilihat sebagai satu nilai yang wajar kepada ibu bapa.
Saya pernah menghadapi kesukaran apabila tidak mempunyai kapasiti untuk menawarkan banyak servis tambahan kepada pelanggan yang sedia ada. Pada waktu itu, kekangan untuk mendapatkan bahan pembelajaran sokongan dengan harga pukal tidak membolehkan saya menambah pendapatan hasil daripada jualan bahan berkenaan.
Keperluan pelanggan dan ibu bapa berubah dari masa ke semasa. Perubahan inilah, yang mesti kita sedar dan faham apabila kita menjalankan hal pengurusan bisnes pendidikan.
PELAJARAN :
- Mengekalkan pelanggan dalam bisnes servis memerlukan kita melakukan pembangunan servis/pakej baru kepada pelanggan mengikut keperluan mereka yang berubah.
- Mengetahu cara untuk menyediakan ‘capacity planning’ akan membantu kita menyusun gerak kerja dengan sumber yang ada. Kita juga akan lebih jelas dengan sebarang keperluan sumber baru sekiranya diperlukan. Ini termasuklah sumber kewangan.
- Menjaga hubungan pelanggan melibatkan keperluan menjaga dan menyemak dari masa ke semasa semua proses yang melibatkan ibu bapa. Ini termasuklah pendaftaran, pembayaran yuran, pengendalian program dan kemaskini perkembangan anak-anak.