BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 4: Bilangan murid (pelanggan) tidak sama dengan jumlah tunai dalam akaun pendapatan syarikat. Jumlah tunai bersih adalah nadi kepada bisnes. – Pengurusan Kewangan TUNAI
Ramai yang menyatakan kepada saya pentingnya mempunyai jumlah jualan bulanan yang tinggi untuk memastikan pulangan yang tinggi.
Jualan adalah penting untuk semua jenis bisnes. Namun, ramai yang sering mengaitkan bilangan akaun pelanggan (jumlah pelanggan) menunjukkan jumlah pendapatan tunai dalam syarikat.
Kiraan sebegini amat mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Contohnya, apabila sebuah institusi pendidikan mempunyai 500 orang murid, dengan jumlah yuran setiap semester bernilai RM1200, ramai yang boleh mencongak jumlah jualan bulanan dan tahunan bisnes itu.
Hakikatnya, jumlah bilangan pelanggan tidak sama dengan jumlah tunai dalam syarikat.
Model pengurusan kewangan untuk pusat pendidikan berbeza dari satu dengan yang lain. Secara umumnya, ia adalah berbentuk ‘subscription’ untuk 11 bulan setiap tahun. Ada model pengurusan ‘revenue’ yang berbeza. Berikut adalh beberapa contoh.
- Yuran tahunan dibayar setahun sekali dengan yuran bulanan.
- Yuran tahunan dibayar 2 kali setahun setiap 6 bulan, dengan yuran bulanan.
- Yuran tahunan dibayar sekali, yuran bulanan dibayar 4 kali setahun ATAU 2 kali setahun.
Semua jenis dan cara kutipan yuran dibuat memberi kesan kepada pengurusan kewangan iaitu pengurusan tunai syarikat. Apabila model pengurusan aliran tunai ini jelas, maka pengusaha dapat menyusun semua bajet dengan baik.
Bagi sesetengah pusat pendidikan sistem pengeluaran invois juga berbeza. Malah ada banyak yang masih tidak mempunyai sebarang proses atau sistem mengeluarkan invois.
Ambil satu contoh. Sebuah pusat pendidikan mengeluarkan invois pada setiap 20hb bulan semasa untuk yuran bulan hadapan. Bermakna, yuran untuk bulan Mac, invoisnya akan dikeluarkan pada 20 Februari. Tetapi, ada pula pusat pendidikan yang mengeluarkan invois pada 1 Mac untuk yuran bulan Mac. Semua ini memberi kesan kepada pengurusan aliran tunai di pusat pendidikan ini.
Secara amnya, beberapa perkera penting adalah seperti berikut:
1.Jumlah pendapatan kasar yang tinggi perlu dikawal agar dapat memberikan jumlah pendapatan bersih yang setimpal. Perbelanjaan pengurusan bisnes yang tinggi tidak dapat dinafikan. Namun, dengan penggunaan beberapa strategi perkongsian kos, ia boleh diturunkan.
2. Keperluan dan perbelanjaan bisnes yang sama di lokasi yang berbeza juga adalah tidak sama. Jenis dan tingkah laku pelanggan juga adalah berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini semua adalah faktor yang menyumbang kepada perbezaan setiap cara pengurusan tunai bagi syarikat berbeza. Kesimpulannya, ia nampak serupa tetapi tidak sama.
3. Antara perkara lain yang penting ialah disiplin dalam pengurusan syarikat yang memerlukan seorang ketua yang tegas. Memastikan semua proses pengurusan tunai di pusat pendidikan, memerlukan kerja yang tegas dan teliti.
4. Bagi banyak pusat pendidikan, mereka tidak mempunyai satu prosedur yang ketat dan dipantaudalam hal ini. Termasuklah prosedur dan proses kutipan serta perbelanjaan. Sehinggakan ada situasi yuran tertunggak sehingga 6 bulan, masih tidak diselesaikan. Dalam hal ini ia melibatkan keseimbangan antara ‘budi bicara’ dan ‘pengurusan standard’ dalam syarikat.
Mesti diingat bahawa tanpa tunai yang mencukupi, tidak ada kualiti pembelajaran untuk anak-anak yang boleh dikekalkan bagi tempoh masa yang lama. Malah hal-hal pematuhan dalam pengurusan syarikat memerlukan kos perbelanjaan yang diperuntukkan.
PELAJARAN
Laporan jualan adalah perlu disemak. Namun, penyata pendapatan bulanan bisnes adalah penting untuk dianalisa.
Jumlah pendapatan bersih dari operasi merupakan nombor penentuan kepada keputusan bisnes yang dibuat.