BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 5: Bukan sekadar populariti : Kekuatan jenama berdasarkan populariti adalah tidak sama dengan kekuatan impak pendidikan untuk jangka masa panjang.
Pemilihan pelanggan kepada pembekal perkhidmatan adalah bergantung kepada segmen pelanggan itu sendiri. Pemilihan pelanggan juga berubah dengan masa dan trend sosial masyarakat setempat.
Sesetengah pelanggan memilih ‘apa yang baru’ dalam pasaran. Beberapa kumpulan pelanggan mahukan sesuatu yang ‘disesuaikan’ untuk anaknya. Terdapat juga sekumpulan ibu bapa yang memilih ‘jenama’ yang sesuai dengan ‘status’ ekonomi dan sosial mereka.
Ada juga kemungkinan pelanggan memilih program pendidikan hanya untuk memenuhi keperluan yang bersesuaian dengan harga yang melibatkan kos dan risiko yang mereka mampu tanggung. Ada juga pelanggan yang memilih program pendidikan berdasarkan ‘pencapaian’ dan ‘prestasi’.
Realitinya, masih banyak juga pusat pendidikan yang menerima ibu bapa dan dipilih oleh pelanggan atas dasar ‘kemudahan untuk ibu bapa’. Bermakna, mereka tidak melihat atau menghargai nilai pendidikan yang sebenar yang ditawarkan oleh pusat pendidikan kita itu. Bermakna, mana-mana pusat pendidikan yang mudah untuk ibu bapa uruskan anak-anak, maka mereka akan pilih yang itu.
Keadaan ini sebenarnya jarang dibincang dan diketengahkan oleh pengusaha. Rata-rata hanya melihat kepada bilangan murid. Apabila disemak semula, pernah ada sebuah pusat pendidikan hampir 60-70% bilangan pelanggan memilih perkhidmatan yang ditawarkan hanya kerana ‘convenience’. Situasi ini adalah antara faktor yang besar menyumbang kepada tingkahlaku pembayaran dan kerjasama ibu bapa kepada pengurusan.
Walau apapun, tujuan dan fokus ibu bapa secara umumnya, menghantar anak-anak ke mana-mana institusi pendidikan sekalipun adalah bertujuan untuk melihat impak serta prestasi pencapaian anak mereka. Pencapaian ini adalah berbentuk akademik dan juga pembangunan sosial.
Khusus bagi industri pendidikan, memang betul bahawa jenama menjadikan pelanggan memilih kita terlebih dahulu daripada yang lain. Banyak madrasah dan sekolah biasa di ceruk kampung yang namanya harum dan menjadi sebutan ramai, tanpa ada penjenamaan secara komersial. Bermakna, JENAMA yang POPULAR itu mestilah ada satu sandaran yang jelas kepadanya.
Apakah antara yang boleh dilihat?
- Nilai yang ditawarkan kepada pelanggan – ibu bapa dan anak-anak.
- Apakah pengalaman yang kita beri kepada ibu bapa dan anak-anak?
- Apakah emosi yang ada kaitan dengan jenama yang dihasilkan daripada pengalaman yang kita cipta?
- Apakah proses dan sokongan yang dimasukkan dalam semua pengalaman pelanggan itu?
Jenama yang popular boleh jadi wujud dengan adanya trend semasa. Tetapi, janama sebenar ialah yang membolehkan pelanggan mengingai semua manfaat dan kebaikan yang membri impak kepada kehidupan mereka.
PELAJARAN
Kesan bisnes pendidikan berbentuk jangka masa panjang.
Ia adalah hasil daripada proses pembelajaran dan pengalaman yang dilalui oleh pelanggan melalui servis yang diberikan.