BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 8: Membina hubungan dan jaringan bisnes mesti dilakukan dengan cara memuliakan orang lain. – Bina jaringan bisnes.
Meskipun kita menjalankan bisnes yang sama dan mendapatkan bahan daripada pembekal yang sama, tidak bermakna kita boleh berkongsi semua maklumat bisnes. Pada masa yang sama kita juga tidak perlu memusuhi sesiapa. Menjalinkan hubungan sosial yang baik adalah antara tugas orang bisnes. Ini juga berlaku dalam bisnes pendidikan.
Kita masih boleh mengekalkan keunikan bisnes walaupun mempunyai pembekal yang sama dengan orang lain. Ini berlaku apabila kita berlumba, bukan bersaing.
Namun, menjaringkan hubungan bersosial dan santai tidak mencukupi tanpa kita memuliakan dan menghormati orang lain. Meskipun mereka tidak menjalankan bisnes seperti kita, atau berbisnes dalam industri yang berbeza, memuliakan orang lain mesti menjadi amalan.
Membina jaringan bukanlah hanya dengan motif bisnes secara spesifik. Adakalanya, rujukan serta rekomendasi yang diberikan oleh orang lain memberikan kesan kelangsungan bisnes untuk jangka masa yang panjang.
Tugas orang bisnes untuk menjalinkan jaringan juga melibatkan mereka dalam industri pendidikan. Apabila mendengar tentang berita tidak baik tentang bisnes orang lain dalam industri yang sama, jauhkan diri dari terlibat dalam perbincangan atau perdebatan tanpa fakta.
Ramai juga usahawan dan ‘business owners’ mengambil pendekatan untuk menyertai sesetengah kelab atau persatuan untuk tujuan membina jaringan. Malah, memag ada entiti khusus yang fokus kepada membina jaringan melalui aktiviti ‘referral’ untuk kumpulan peniaga yang mereka kumpulkan.
Boleh kita semak tentang adanya komuniti bisnes dengan pelbagai tujuan khusus ssperti BNI, RootWommers dan beberapa kumpulan NGO seperti USAHANITA dan WENA. Semua ini merupakan platform dengan kelebihan masing-masing dan sudah tentu datang dengan komitmen tertentu daripada kita yang menyertainya.
Sekali lagi, tidak ada yang betul atau salah dalam usaha kita memilih cara terbaik untuk membina jaringan perniagaan. Tetapi, kita mesti jelas dengan keperluan perniagaan mengatasi kehendak peribadi kita. Adakalanya, kita berkehendakkan sesuatu tetapi tidak memberi manfaat dan impak yang baik kepada syarikat.
Mengekalkan kepercayaan dalam bisnes dan meningkatkan daya pengaruh adalah kemahiran yang diperlukan dalam bisnes. Mengelakkan daripada perdebatan tanpa maklumat adalah salah satu teknik yang berkesan.
PELAJARAN
Tugas membina jaringan tidak terhad untuk bisnes tertentu. Jaringan yang dibina mestilah dengan dasar memuliakan semua meskipun mereka tidak mempunyai bisnes atau berbisnes dalam industri yang berbeza.
Kita tidak akan rugi apa-apa, meskipun memuliakan pekerja yang bertugas membasuh pinggan di restoran.