BISNES PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK : PUSAT PERKEMBANGAN
PENGALAMAN 9: Membina budaya bisnes dengan mengamalkan falsafah bisnes yang jelas secara menyeluruh dan berterusan dalam semua peringkat adalah tugas berterusan yang hakiki untuk orang bisnes.
Budaya dalam organisasi bisnes mempengaruhi cara bekerja dan berfikir. Entiti bisnes yang dibentuk dalam kumpulan, memerlukan satu budaya berfikir untuk menjana produktiviti dan hasil seperti yang dijangkakan.
Nilai dan falsafah bisnes mestilah sampai kepada semua peringkat. Ramai yang menyangka bisnes pendidikan hanya mendokong falsafah pendidikan sedia ada. Cukup dengan menggunapakai apa yang digariskan oleh keperluan pendidikan negara, bisnes akan berjaya.
Persepsi ini yang menyebabkan banyak entiti bisnes pendidikan tidak diberi nilai yang wajar oleh masyarakat. Entiti bisnes mempunyai nilai dan falsafah bisnes.
Nilai bisnes adalah ditentukan oleh pendirinya. Cara bekerja serta falsafah bisnes adalah menjadi tiang besar kepada tiang-tiang lain yang ada. Entiti bisnes itu pula mungkin mendokong beberapa kategori falsafah pendidikan Negara.
Hakikatnya, entiti bisnes pendidikan adalah unit pengurusan yang bergerak secara kumpulan untuk menyelia perjalanan dan penyampaian kandungan pendidikan itu. Maka nilai bisnes perlu didirikan untuk menyokong falsafah kandungan bisnes.
Sebagai serorang pengusaha, pendiri bisnes dan juga ketua kepada sebuah organisasi, maka tidak dapat kita lari daripada tugas membangunkan oragnisasi itu.
Beberapa perkara berikut boleh dilakukan.
1.Semak semua apa nilai yang kita pegang secara peribadi. Jika selama ini kita tidak jelas, kita mula jelaskan sekarang. Buat bacaan dan lihat bagaimana ia boleh dioleh dengan nilai yang kita pegang sekarang.
2.Teliti semula nilai yang kita senaraikan dalam dokumen syarikat atau perniagaan. Mesti ada yang sudah dilaksanakan atau sedang atau masih dalam proses. Perhatikan sekiranya ada yang ‘konflik’ dan berlawanan dengan nilai peribadi yang kita ada. Buat penyesuaian.
3.Lihat bagaimana proses dan keadaan semasa dalam syarikat. Adakah ia mendokong kepada semua nilai yang disenaraikan? Apakah selama ini nilai-nilai itu hanya disediakan untuk tujuan ‘mencantikkan’ profile syarikat semata-mata?
4.Senarai perkara yang perlu dilakukan supaya nilai dalam syarikat dapat dihidupkan bersama dengan semua staf dan ahli kumpulan.
5.Rancang langkah seterusnya yang perlu bermula dengan persediaan kita sebagai pengusaha. Sediakan pelan komunikasi dan rancangan pemantauan berkala.
Salah satu nilai bisnes yang saya dokong ialah kepercayaan penuh kepada pembangunan modal insan dengan konsep percaya dan baik sangka. Ia disokong dengan pembangunan sistem yang bijak dan baik hati. Tidak mengapa sekiranya kita sebagai individu dilihat garang atau kejam. Tetapi, kita dapat membangunkan sebuah sistem yang baik. Staf dan pekerja, malah pelanggan yang baik akan kekal lebih lama bersama syarikat.
Budaya yang kita bangunkan dalam syarikat, setrusnya akan menjadi sebahagiand aripada sistem kerja, kepercayaan dan cara fikir seluruh individu yang ada.
Apabila syarikat kita dipilih BUKAN kerana kita sebagai individu atau founder, tetapi kerana sistem yang ada, maka itu adalah lebih baik.
PELAJARAN
Nilai bisnes yang didokong mempengaruhi cara berfikir dan bekerja orang-orang yang berada dalam entiti bisnes berkenaan.
Apabila mereka memahami semangat dan budaya bisnes itu, ia akan bergerak lebih lancar.