Dalam kekecohan dan kecelaruan semasa, dengan situasi pandemik yang melanda, landskap perniagaan dan dunia keusahawanan serta bisnes bersyarikat benar-benar berbeza. Ini merupakan satu tanda perubahan dan bakal menjadi titik tolak untuk satu penambahbaikan.
SENARIO SEMASA
PERTAMA, apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan pakej bantuan kepada rakyatnya, maka ini juga termasuk kumpulan usahawan dan perniagaan. Sektor perusahaan SME dan PKS adalah antara yang besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Maka, kedudukan SME dan PKS merupakan antara yang penting untuk diambilkira. Bagi memastikan semua pengagihan bantuan berjalan dengan baik dan lancar serta tepat kepada sasaran, keperluan pendaftaran yang sah bagi perniagaan menjadi penting. Ini dijadikan sebagai satu syarat penting kepada usahawan untuk layak mendapat sokongan dan bantuan.
KEDUA, kewujudan usahawan yang mendaftarkan perniagaan mereka secara sah, memerlukan tanggungjawab lanjut dalam hal pematuhan. Ini termasuklah kepada pematuhan pengurusan sumber manusia. Majikan mesti patuh dengan syarat pendaftaran sebagai majikan di KWSP dan SOCSO. Selain daripada itu, pendaftaran dan pengisytiharan di LHDN menjadi satu lagi perkara pematuhan yang diketengahkan. Ini hanya boleh diadakan melalui proses pengurusan kewangan yang teratur dalam setiap syarikat bisnes.
Kedua-dua perkara di atas merupakan antara yang signifikan bagi usahawan di pelbagai peringkat, terutamanya bagi SME dan PKS. Mereka perlu mendapat sokongan terutama dalam situasi sukar seperti sekarang. Mereka bersedia untuk memohon bantuan. Ini memerlukan mereka memenuhi keperluan pematuhan tertentu untuk layak mendapat bantuan.
Pendaftaran perniagaan melibatkan banyak perkara lain termasuk urusan PARTNERSHIP yang melibatkan nama-nama dalam setiap entiti perniagaan yang berdaftar. Ini melibatkan nama-nama dalam lesen enterprise, pekongsi dalam PLT dan pemegang saham dalam syarikat Sdn Bhd. Semua ini berkaitan dengan pematuhan pendaftaran setiap entiti perniagaan di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).
PARTNERSHIP dalam bisnes bukan satu perkara kecil.
Sebelum ini, ramai yang menyangka:
“Tak apa’, boleh ‘pinjam nama. Bukan kena bayar apa-apa.”
“Siapa lagi yang nak tolong bangsa sendiri kalau bukan kita?”
Ini semua timbul apabila tiada kefahaman tentang kesan rekod kewangan dan data peribadi untuk jangka masa panjang. COVID-19 menjadikan ini semua berubah. Apabila setiap data disemak untuk tujuan penyerahan bantuan atau dana yang disalurkan kepada pihak tertentu, ramai yang baru sedar akan status dan nama mereka yang ada dalam rekod pendaftaran perniagaan di SSM.
Hingga kini, ramai yang masih menyangka bahawa, ‘Ini bisnes Aku. Aku yang punya.’ Atas alasan ini, ramai usahawan menguruskan bisnesnya sekadar dengan apa yang ada. Aktiviti yang asalnya bertujuan untuk menaikan taraf ekonomi keluarga, berubah menjadi satu ‘masalah’ pula.
Hal pengurusan dan pematuhan standard yang selama diperlekehkan, kini tidak lagi. Ramai yang menghadapi cabaran dalam hal pengurusan bisnes. Melihat situasi ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kefahaman yang rendah tentang hal pengurusan dan risiko dalam menjalankan bisnes menghalang peniaga dan usahawan membangunkan bisnesnya terutama dalam keadaan sukar.
RISIKO YANG JELAS
Mac 2020, menjadi satu tarikh yang menjadi titik perubahan kepada kesedaran ramai individu (rakyat Malaysia) untuk meneliti semua perkara ini. Apabila bantuan yang diberikan kepada rakyat mula diumumkan dengan syarat kelayakan, maka semua individu yang ada nama dan rekod di SSM terkesan.
Ada beberapa situasi yang berkenaan termasuklah keadaan nama dalam SSM:
- Sebagai proksi sebagai Pengarah dan/atau Pemegang Saham – pinjamkan nama sahaja
- Sebagai Pengarah – atas lantikan sahaja tanpa ada menerima apa-apa bayaran elaun
- Sebagai pemegang saham dengan memberi modal
- Sebagai pemegang saham tanpa pernah bawa masuk modal
Setiap satu situasi ada sejarah atau latar belakang masing-masing. Meskipun begitu, proses sebenar memasukkan dan mendaftarkan nama di SSM sebagai ‘partner’ iaitu pemegang saham, pekongsi atau rakan kongsi itu memerlukan banyak dokumentasi. Maka, TIDAK ADA situasi di mana kita berkata, ‘Saya tak tahu apa-apa. Nama saya tiba-tiba ada di SSM’. Ini MUSTAHIL.
Bagi kemasukan atau pendaftaran nama dalam semua jenis pendaftaran di SSM, ia memerlukan:
- Pengesahan salinan IC
- Tandatangan penama
Bermakna, setiap satu nama yang masuk dalam rekod SSM mesti melalui satu proses yang standard dalam keadaan sedar. Semua individu mesti jelas dengan situasi ini. Jadi, apakah yang mesti dilakukan untuk melalui masa akan datang?
- Kenalpasti semua risiko dan keperluan apabila nama digunakan untuk pendaftaran semua jenis lesen termasuklah pendaftaran sijil perniagaan di SSM.
- Ketahui hak dan manfaat serta risiko apabila terlibat dalam setiap aktiviti perniagaan.
- Ambil tahu perkembangan, peraturan dan perkembangan setiap perniagaan yang ada kaitannya dengan nama kita
PARTNERSHIP yang berjaya bukan hanya memerlukan individu yang bijak menjalankan perniagaan. Ia melibatkan kebolehan dan kekuatan mengurus konflik yang menunjukkan keperluan kemahiran memimpin. Bagi usahawan, tidak kita dengan saiz perniagaan atau jenisnya, semua ini mesti diambil kira sebagai tanggungjawab. Ia datang dengan risiko kerugian dan manfaat keuntungan berlipat ganda.
MANFAAT PARTNERSHIP
Membangunkan perniagaan secara sendirian memang memenatkan. Malah, memulakan dan membangunkan perniagaan secara sendirian juga adalah satu perkara yang sukar. Paling tidak, ramai yang memilih memulakan perniagaan bersama pasangan, ahli keluarga atau saudara terdekat. Meskipun memang ada risiko yang perlu diurus, ada manfaat yang perlu dilihat secara lebih objektif.
Antaranya termasuklah:
- Memberi peluang usahawan membuka perniagaan dengan membawa modal secara berkumpulan bersama ‘partner’ yang lain.
- Memulakan bisnes tanpa membuat pinjaman.
- Mendapat kepakaran yang sesuai daripada semua ‘partner’ untuk bisnes itu.
- Mempunyai kumpulan (team) awal bagi menguruskan perniagaan.
RISIKO YANG PERLU DIURUS
Setiap satu manfaat, akan datang dengan risiko yang memerlukan komitmen kita untuk menguruskannya. Ya, risiko itu mesti diurus. Dalam hal ‘partnership’ pengurusan yang penting termasuklah:
- Jelas dengan tujuan ‘partnership’
- Semua persetujuan awal didokumenkan dengan adanya perjanjian
- Mengekalkan komunikasi berterusan antara ‘partners’ dengan adanya proses dan SOP yang disediakan.
Menjadi ‘partner’ dalam mana-mana bisnes bukan sekadar menunggu untuk mengaut keuntungan dan manfaat. Ia juga menunggu kita memberikan input dan tanggungjawab yang dipersetujui dalam ‘partnership’ itu.Noraminah Omar
Oleh: Noraminah Omar, November 2020