Bagi usahawan yang menjalankan bisnes dengan memulakannya menggunakan modal sendiri, banyak perkara yang perlu difikirkan. Pada peringkat awal, keutamaan yang diberikan ialah untuk menjalankan operasi dan menjana pendapatan yang dapat membawa keuntungan.
Selepas melepasi fasa tertentu, kita sudah mula berfikir cara untuk mengembangkan bisnes pula. Ini adalah antara perkara biasa yang dilalui oleh seorang usahawan. Ramai yang membincangkan apa yang perlu dilakukan oleh usahawan untuk terus berjaya dan dapat mengambangkan bisnes.
Meskipun begitu, saya melihat bahawa semua ini bergantung kepada setiap usahawan itu sendiri. Dalam menjalankan bisnes, ia memerlukan rancangan yang jelas. Dengan mempunyai mentor atau coach, seorang usahawan mempunyai akses kepada individu yang sesuai untuk berbincang dan mendapat idea dan pandangan yang objektif khusus untuk memastikan ‘goal setting’ yang ada adalah bersifat praktikal.
Semua ini bukan menjanjikan kejayaan yang cepat dan pasti. Sekiranya kita mahu berjaya esok, maka kita perlu memberikan fokus kepada apa yang kita lakukan hari ini. Berikut ialah 5 perkara penting untuk usahawan menjalankan dan mengambangkan bisnes.

Hala tuju (Direction)
Menentukan apa yang mahu dicapai atau melihat semua apa yang kita mahu capai dalam bisnes, mengambil masa untuk sebahagian besar daripada usahawan untuk menjawabnya.
Apa yang mahu dicapai dengan menjalankan bisnes ini? Apa yang mahu dicapai dengan melakukan perkara ini? Apa yang mahu dicapai dengan membuat keputusan ini?
Setiap kali kita menyediakan rancangan, apabila soalan ini dibuat, kita akan dapat memastikan ia selari dengan hala tuju yang ditetapkan untuk bisnes dan syarikat.
Bagi usahawan yang memulakan sendiri bisnes, perlu sedar bahawa hala tuju yang ada pada peringkat awal memulakan bisnes akan berubah mengikut fasa bisnes yang dijalankan. Pada peringkat awal, ia mungkin untuk tujuan kelangsungan hidup, tetapi selepas itu ia sudah mempunyai tujuan lain apabila masuk fasa berkembang.
Buat Keputusan (Decisions)
Bukan hanya setakat membuat keputusan, tetapi keputusan apa yang mahu dibuat? Semua ini melibatkan risiko yang perlu diusus oleh setiap usahawan.
Apabila membuat keputusan, sudah tentu akan melibatkan banyak proses serta tindakan yang perlu diambil. Bukan mudah bagi setiap usahawan untuk membuat keputusan. Malah, ada yang tidak membuat keputusan menyebabkan perniagaan yang dijalankan tidak dapat berjalan seperti yang dirancang.
Kebolehan menganalisa, mengumpul maklumat dan peka kepada keadaan semasa merupakan satu perkara penting supaya usahawan dapat membuat keputusan.
Memberi fokus yang betul kepada keperluan membuat keputusan membolehkan sesebuah syarikat mencapai tahap optimum mengikut kapasiti mereka.
Produktif (Productive)
Menjadi individu yang produktif akhirnya menyumbang kepada hasil kerja berkumpulan yang juga produktif. Dalam hal ini ia bukan sahaja tentang melakukan perkara dengan betul, tetapi melakukan perkara yang betul.
Hal ini membolehkan hasil yang ada memberi impak seperti yang disasarkan. Pada masa yang sama, tahap kerja serta prestasi yang baik merupakan satu sebab untuk semua menjadi gembira.
Gembira dan kurang tekanan merupakan satu keperluan untuk menjadi sebuah syarikat yang produktif. Ia bukan sahaja diukur dari hasil bersifat ringgit semasa-masata, tetapi melibatkan budaya dan sistem yang dialamkan dalam syarikat.
Maka, apabila produktiviti yang menjadi pokok perbincangan, ia merangkumi banyak perkara termasuklah tahap kegembiraan yang dicapai oleh orang-orang dalam organisai berkenaan.
Bagi usahawan pula, mereka perlu berada dalam keadaan gembira dan tenang pada masa yang sama. Usahawan yangs ering dalam keadaan tertekan dan menghadapi banyak tekanan cenderung untuk membuat keputusan yang drastik dan tidak rasional.
Kenaikan Keuntungan (Growth profit)
Tidak kira apa sebab dan tujuan asal seorang usahawan memulakan dan menjalankan bisnesnya, akhir sekali setiap bisnes yang dijalankan mestilah menghasilkan keuntungan.
Malah, keuntungan yang ada mestilah bersifat berkembang dengan berkadaran kepada faktor lain termasuk pengembangan organisasi itu sendiri.
Pada kebanyakan masa ramai melihat bilangan staf atau produk dan servis menjadi tanda kenaikan keuntungan dalam sesebuah bisnes. Hakikatnya, hari ini masih banyak syarikat yang mengurangkan pekerja tetapi berjaya meningkatkan keuntungan.
Kenaikan jualan tidak boleh dilihat sebagai kenaikan keuntungan. Pembinaan kapasiti dan kebolehan usahawan itu sendiri dalam usaha meningkatkan keuntungan tidak hanya bergantung kepada adanya kenaikan jualan yang tinggi.
Kenaikan keuntungan melibatkan penurunan kos dan mengoptimumkan sumber yang ada. Kebolehan menelah, memahami industri, perubahan dan keperluan semasa merupakan satu kemahiran yang mesti ada pada seorang usahawan.
Scalibility
Perkembangan bisnes (growth) dan kebolehan bisnes itu untuk ‘scale-up’ adalah berbeza. ‘Growth’ bisanya akan melibatkan perkembangan dan kenaikan dalam bab kewangan sumber manusia operasi dan semua bahagian yang saling bergantung dalam syarrikat.
Scalibility pula merujuk kepada kebolehan untuk sesebuah syarikat melalui tekanan dan cabaran dalam proses berkembang tanpa ada ganggun dalam bentuk sumber untuk menjalankan bisnes. Ia juga menunjukkan sejauh mana kebolehannya berubah dengan struktur pengurusan yang ada.
Usahawan Beradaptasi
Paling utama setiap usahawan mesti berusaha untuk menambahbaik setiap proses dan cara kerja dari masa ke semasa. Mempunyai tahap kefahaman yang mencukupi dalam menjalankan bisnes merupakan salah satu perkara yang memboleh usahawan kekal relevan untuk bisnesnya sendiri.