Nota: Artikel ini hanya boleh diulang cetak dengan keizinan bertulis daripada penulis.
10 Pelajan Am dari Pengalaman Bisnes Pendidikan.
Keadaan ekonomi ada turun naiknya. Kedudukan dan keadaaan kewangan sesebuah keluarga juga terkesan secara langsung dengan perubahan keadaaan ekonomi dan sosial semasa.
Bisnes adalah entiti yang terkesan secara langsung kepada pertumbuhan dan keadaan ekonomi semasa. Kenaikan harga bahan mentah memberikan kesan kepada kos dan perbelanjaan setiap entiti bisnes. Bisnes pendidikan tidak terlepas dari kesan ini.
Namun, hakikat keperluan dan kewajipan kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, bisnes pendidikan masih menjadi sebuah bisnes yang mempunyai permintaan dalamsemua situasi sekonomi.
Secara amnya, kelangsungan bisnes pendidikan jauh lebih baik daripada bisnes servis yang lain. Walaubagaimanapun, masyarakat akan memilih pakej pendidikan dan jenis yang sesuai dengan kemampuan kewangan semasa.
Ada banyak sebab mengapa ramai orang mahu menceburkan diri dalam bisnes pendidikan. Antara sebab yang jelas ialah:
- Daya tahan bisnes yang bersifat keperluan.
- Keupayaan berbelanja keluarga untuk anak-anak yang berumur 4-8 tahun yang meningkat.
- Jumlah pelaburan bisnes yang lebih rendah berbanding bisnes lain. (bergantung kepada model dan jenis yang dipilih)
- Wujudnya kepelbagaian pakej dan model bisnes pendidikan kanak-kanak.
- Bisnes pendidikan dilihat sebagai bisnes yang mulia.
Terdapat beberapa perkara yang penting untuk dititikberatkan oleh kita apabila mahu menceburkan diri dalam bisnes pendidikan.
Berikut adalah 10 pelajaran utama:
PENGALAMAN 1
Bisnes pendidikan adalah sebuah organisasi yang bersandarkan pendapatan. Ia mesti diurustadbir dengan tatacara bisnes.
Semasa saya memulakan bisnes, saya menggunakan kekuatan dan pengalaman saya sebagai seorang guru yang terhad dengan pengalaman. Saya mempunyai sedikit pengetahuan dan kemahiran pengurusan yang terhad kepada menguruskan pusat pendidikan dan tadika dengan kapasiti yang kecil.
Jadi, bagaimana saya mahu menguruskan akaun?
Saya tidak boleh menunggu sehingga saya mempunyai cukup wang untuk menggajikan seorang pekerja akaun untuk menguruskannya. Pembayaran dan perbelanjaan yang bersifat harian mesti diuruskan.
Ramai yang boleh memberikan nasihat malah bersedia untuk membantu. Namun, dalam bisnes yang melalui fasa permulaan, hampir 80% perkara berkaitan kewangan mesti diuruskan sendiri.
Bagaimana pula dengan pengurusan harian bisnes yang melibatkan perkara teknikal yang melibatkan kontraktor, majlis bandaraya, perlesenan dan urusan yang berbentuk perundangan?
Pengurusan bisnes secara professional mesti disusunatur. Meskipun pada peringkat permulaan beberapa tugasan dilakukan oleh orang yang sama, pelan pengembangan dan penyusuan struktur pengurusan operasi mestilah sudah ada.
PELAJARAN:
Bagi orang bisnes dengan modal kecil, mereka perlu bersedia mengamalkan strategi “bergerak maju sambil membangun”.
PENGALAMAN 2
Pengurusan profesionalisme berkadar langsung dengan kedudukan kewangan syarikat. Dana yang mencukupi, memastikan servis juga berkualiti.
Ramai yang menasihatkan saya dengan kata-kata, “Apabila bisnes kita berkualiti, wang akan datang sendiri.”
Ya, memang benar. Namun, untuk memberikan khidmat dengan kualiti yang sesuai kepada segmen pelanggan kita, ia memerlukan perbelanjaan juga. Tidak ada yang percuma.
Kualiti bisnes servis banyak dikaitkan dengan keselesaaan dan profesionalisme pekerja. Ruang pembelajaran dan premis kerja yang bagus memakan belanja untuk penyediaan dan penyelenggaraan. Malah, pekerja yang bagus juga memerlukan kos yang tinggi.
Dalam bisnes kategori servis ini, sumber yang kritikal ialah premis dan sumber manusia.
PELAJARAN :
Belanjakan wang atas keperluan sumber yang kritikal dengan bijak. Ia akan menjana wang yang lebih besar.
PENGALAMAN 3
Bisnes servis memerlukan fokus kepada pembangunan pelanggan. Mengembangkan pelanggan sedia ada menjamin kelangsungan bisnes untuk jangka masa panjang.
Bisnes servis memerlukan produk untuk menyokong bisnesnya. Tetapi, produk itu bukanlah sumber pendapatan yang utama. Produk yang ada untuk sokongan bisnes, biasanya tidak akan sesuai untuk sepanjang masa.
Produk sokongan dalam bisnes pendidikan termasuklah buku dan peralatan pembelajaran. Apabila sudah melalui satu tempoh tertentu, produk itu tidak lagi sesuai untuk kategori pelanggan tersebut. Mereka memerlukan sesuatu yang lain pula.
Mengembangkan produk untuk memastikan jualan dalam bisnes servis mempunyai kesan bisnes yang berbeza. Kita memerlukan perancangan yang khusus untuk itu.
Saya menghadapi kesukaran apabila tidak mempunyai kapasiti untuk menawarkan banyak servis tambahan kepada pelanggan yang sudah sedia membeli.
Pada masa yang sama, kekangan untuk mendapatkan bahan pembelajaran sokongan dengan harga pukal tidak membolehkan saya menambah pendapatan hasil daripada jualan bahan berkenaan.
PELAJARAN :
Mengekalkan pelanggan dalam bisnes servis memerlukan kita melakukan pembangunan servis/pakej baru kepada pelanggan mengikut keperluan mereka yang berubah.
PENGALAMAN 4
Bilangan murid (pelanggan) tidak sama dengan jumlah tunai dalam akaun pendapatan syarikat. Jumlah tunai bersih adalah nadi kepada bisnes.
Ramai yang menyatakan kepada saya pentingnya mempunyai jumlah jualan kasar bulanan yang tinggi untuk memastikan pulangan yang tinggi.
Jualan adalah penting untuk semua jenis bisnes. Namun, ramai yang sering mengaitkan bilangan akaun pelanggan (jumlah pelanggan) menunjukkan jumlah pendapatan tunai dalam syarikat.
Kiraan sebegini amat mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Contohnya, apabila sebuah institusi pendidikan mempunyai 500 orang murid, dengan jumlah yuran setiap semester bernilai RM1200, ramai yang boleh mencongak jumlah jualan bulanan dan tahunan bisnes itu.
Hakikatnya, jumlah akaun pelanggan tidak sama dengan jumlah tunai dalam syarikat.
Jumlah pendapatan kasar yang tinggi perlu dikawal agar dapat memberikan jumlah pendapatan bersih yang setimpal. Perbelanjaan pengurusan bisnes yang tinggi tidak dapat dinafikan. Namun, dengan penggunaan beberapa strategi perkongsian kos, ia boleh diturunkan.
Keperluan dan perbelanjaan bisnes yang sama di lokasi yang berbeza adalah tidak sama. Jenis dan tingkah laku pelanggan juga adalah berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain.
PELAJARAN
Laporan jualan adalah perlu disemak. Namun, penyata pendapatan bulanan bisnes adalah penting untuk dianalisa.
Jumlah pendapatan bersih dari operasi merupakan nombor penentuan kepada keputusan bisnes yang dibuat.
PENGALAMAN 5
Kekuatan jenama berdasarkan populariti adalah tidak sama dengan kekuatan impak pendidikan untuk jangka masa panjang.
Pemilihan pelanggan kepada pembekal perkhidmatan adalah bergantung kepada segmen pelanggan itu sendiri. Pemilihan pelanggan juga berubah dengan masa dan trend sosial masyarakat setempat.
Sesetengah pelanggan memilih ‘apa yang baru’ dalam pasaran. Beberapa kumpulan pelanggan mahukan sesuatu yang ‘disesuaikan’ untuk anaknya. Terdapat juga sekumpulan ibu bapa yang memilih ‘jenama’ yang sesuai dengan ‘status’ ekonomi dan sosial mereka.
Ada juga kemungkinan pelanggan memilih program pendidikan hanya untuk memenuhi keperluan yang bersesuaian dengan harga yang melibatkan kos dan risiko yang mereka mampu tanggung. Ada juga pelanggan yang memilih program pendidikan berdasarkan ‘pencapaian’ dan ‘prestasi’.
Walau apapun, tujuan dan fokus ibu bapa menghantar anak-anak ke mana-mana institusi pendidikan sekalipun adalah bertujuan untuk melihat impak serta prestasi pencapaian anak mereka. Pencapaian ini adalah berbentuk akademik dan juga pembangunan sosial.
Banyak madrasah dan sekolah biasa di ceruk kampung yang namanya harum dan menjadi sebutan ramai tanpa penjenamaan secara komersial.
PELAJARAN
Kesan bisnes pendidikan berbentuk jangka masa panjang.
Ia adalah hasil daripada proses pembelajaran dan pengalaman yang dilalui oleh pelanggan melalui servis yang diberikan.
PENGALAMAN 6
Uruskan bisnes, seolah kita akan berada di dalamnya sepanjang hayat. Kesungguhan tidak mencukupi.
Orang bisnes mempunyai kriteria tertentu untuk berjaya. Hakikat bisnes itu, memerlukan kerja berkumpulan yang tersusun untuk kekal dalam prestasi dan berkembang dengan skala yang dipilih.
Kesungguhan sahaja tidak menjamin kejayaan. Ramai rakan-rakan saya yang bersungguh dalam bisnes, akhirnya menjadi hamba kepada bisnesnya sendiri.
Tujuan asal untuk bebas bergerak dan membuat keputusan bisnes, hanyalah satu perangkap hidup yang menyebabkan mereka terpaksa meringkuk di dalam bisnes itu.
Kesungguhan mesti datang bersama dengan kemahiran memimpin. Kemahiran ini akan membolehkan mereka yang bersungguh dalambisnes bekerjasama dengan prang lain yang lebih bijak untuk menjalankan bisnes dengan lebih teancang dan berstrategi.
Bisnes pendidikan kanak-kanak yang biasa disebut sebagai bisnes tadika atau bisnes taska tidak boleh dipandang sebelah mata. Ia merupakan satu bisnes servis yang professional dan mesti diuruskan secara professional.
Tiada jalan singkat untuk berjaya. Tidak ada jalan pintas untuk berbisnes begitu sahaja. Pelan, rancang dan tindakan perlulah bersusun sekurang-kurangnya untuk 36 bulan akan datang.
Pelan pengurusan bisnes termasuklah 3 perkara utama:
a. Operasi
Bahagian operasi melibatkan beberapa perkara penting seperti yang berikut:
- Harian
- Mingguan
- Bulanan
- Tahunan
- Berkala mengikut keperluan
Oleh kerana ianya berbentuk operasi yang berulang, sistem
pengurusan yang standard atau lebih dikenali sebagai SOP (standard
operating procedures) boleh dibangunkan secara berfasa.
b. Pengurusan Kewangan
Bahagian pengurusan kewangan melibatkan beberapa perkara asas
yang penting:
- Kawalan aliran tunai
- Kawalan tunai runcit
- Polisi pengembalian dan tuntutan
- Polisi belian runcit dan pukal
c. Pembangunan Sumber Manusia
Bahagian pengurusan sumber manusia pula melibatkan 3 bahagian utama:
- Pembangunan bahagian pengurusan bisnes
- Pembangunan professionalisme pendidikan
- Program insentif dan pembayaran
PELAJARAN
Bisnes tadika dan taska yang dilihat biasa-biasa mampu menjana pendapatan lumayan apabila diurustadbir dengan kemahiran secara berkumpulan dan berstrategi. Kesungguhan sahaja tidak mencukupi.
PENGALAMAN 7
Lupakan tentang persaingan dalam bisnes. Fokus kepada perlumbaan yang sihat.
Dalam bisnes, kawan-kawan bukanlah terma yang sihat. Dalam bisnes, rakan bisnes itu yang memberi ‘tahap kesihatan’ kepada bisnes.
Persaingan pula, adalah perkara biasa dalam semua bisnes. Namun, bersaing juga boleh menjejaskan kesihatan bisnes.
Memastikan kesihatan bisnes, berlumba memberikan yang terbaik. Ia juga merupakan vitamin dan ‘booster’ bagus. Semakin baik perkhidmatan kita, semakin baik nama industri bisnes dan bisnes kita pada pandanga pelanggan.
Mereka memilih kita bukan atas dasar ‘kawan-kawan’, tetapi mahu bekerjasama atas dasar ‘rakan bisnes’.
Apabila nama kita disebut oleh orang lain yang ada dalam industri yang sama, ia meningggalkan kesan positif kepada kita. Maka, berlumba dan menghormati pelumba lain dalam bisnes memberikan kesan baik kepada kita.
Keluar dan memperkenalkan diri dan bisnes supaya dikenali adalah perlu. Penerimaan pemain dalam industri bisnes memberikan kesan untuk jangka masa panjang kepada bisnes dan kita sebagai pendirinya.
Kita tidak perlu membuatkan semua orang menyukai kita. Namun, penerimaan itu sudah mencukupi.
PELAJARAN
Elakkan memberikan pendapat tentang bisnes orang lain. Sebaiknya, kongsikan sahaja maklumat yang kita pasti. Jika tidak, diam itu adalah lebih baik.
Tidak ada satu bisnes pun yang boleh memuaskan hati semua orang.
PENGALAMAN 8
Membina hubungan dan jaringan bisnes mesti dilakukan dengan cara memuliakan orang lain.
Meskipun kita menjalankan bisnes yang sama dan mendapatkan bahan daripada pembekal yang sama, kita tidak perlu memusuhi sesiapa. Menjalinkan hubungan sosial yang baik adalah antara tugas orang bisnes. Ini juga berlaku dalam bisnes pendidikan.
Kita masih boleh mengekalkan keunikan bisnes walaupun mempunyai pembekal yang sama dengan orang lain. Ini berlaku apabila kita berlumba, bukan bersaing.
Namun, menjaringkan hubungan bersosial dan santai tidak mencukupi tanpa kita memuliakan dan menghormati orang lain. Meskipun mereka tidak menjalankan bisnes seperti kita, atau berbisnes dalam industri yang berbeza, memuliakan orang lain mesti menjadi amalan.
Membina jaringan bukanlah hanya dengan motif bisnes secara spesifik. Adakalanya, rujukan serta rekomendasi yang diberikan oleh orang lain memberikan kesan kelangsungan bisnes untuk jangka masa yang panjang.
Tugas orang bisnes untuk menjalinkan jaringan juga melibatkan mereka dalam industri pendidikan. Apabila mendengar tentang berita tidak baik tentang bisnes orang lain dalam industri yang sama, jauhkan diri dari terlibat dalam perbincangan atau perdebatan tanpa fakta.
Mengekalkan kepercayaan dalam bisnes dan meningkatkan daya pengaruh adalah kemahiran yang diperlukan dalam bisnes. Mengelakkan daripada perdebatan tanpa maklumat adalah salah satu teknik yang berkesan.
PELAJARAN
Tugas membina jaringan tidak terhad untuk bisnes tertentu. Jaringan yang dibina mestilah dengan dasar memuliakan semua meskipun mereka tidak mempunyai bisnes atau berbisnes dalam industri yang berbeza.
Kita tidak akan rugi apa-apa, meskipun memuliakan pekerja yang bertugas membasuh pinggan di restoran.
PENGALAMAN 9
Membina budaya bisnes dengan mengamalkan falsafah bisnes yang jelas secara menyeluruh dan berterusan dalam semua peringkat adalah tugas berterusan yang hakiki untuk orang bisnes.
Budaya dalam bisnes mempengaruhi cara bekerja dan berfikir. Entiti bisnes yang dibentuk dalam kumpulan, memerlukan satu budaya berfikir untuk menjana produktiviti dan hasil seperti yang dijangkakan.
Nilai dan falsafah bisnes mestilah sampai kepada semua peringkat. Ramai yang menyangka bisnes pendidikan hanya mendokong falsafah pendidikan sedia ada. Cukup dengan menggunapakai apa yang digariskan oleh keperluan pendidikan negara, bisnes akan berjaya.
Persepsi ini yang menyebabkan banyak entiti bisnes pendidikan tidak diberi nilai yang wajar oleh masyarakat. Entiti bisnes mempunyai nilai dan falsafah bisnes.
Nilai bisnes adalah ditentukan oleh pendirinya. Cara bekerja serta falsafah bisnes adalah menjadi tiang besar kepada tiang-tiang lain yang ada. Entiti bisnes itu pula mungkin mendokong beberapa kategori falsafah pendidikan Negara.
Hakikatnya, entiti bisnes pendidikan adalah unit pengurusan yang bergerak secara kumpulan untuk menyelia perjalanan dan penyampaian kandungan pendidikan itu. Maka nilai bisnes perlu didirikan untuk menyokong falsafah kandungan bisnes.
Salah satu nilai bisnes yang saya dokong ialah kepercayaan penuh kepada pembangunan modal insan dengan konsep percaya dan baik sangka. Ia disokong dengan pembangunan sistem yang bijak dan baik hati.
PELAJARAN
Nilai bisnes yang didokong mempengaruhi cara berfikir dan bekerja orang-orang yang berada dalam entiti bisnes berkenaan.
Apabila mereka memahami semangat dan budaya bises itu, ia akan bergerak lebih lancar.
PENGALAMAN 10
Perancangan bisnes hanya boleh dicapai dengan adanya perancangan hidup.
Setiap bisnes yang wujud biasanya bermula dengan idea bisnes. Nama-nama besar dalam industri yang pelbagai mempunyai ‘cerita’ mereka yang tersendiri.
Nama-nama besar seperti IKEA, GOOGLE dan APPLE mempunyai cerita mereka sendiri.
Pendiri bisnes itu mempunyai kisah dan tauladan yang ada dibukukan. Malah cerita mereka digunakan untuk rujukan dan dijadikan tajuk kajian kes bagi pelajar di institusi pengajian tinggi.
Semua pendiri bisnes mempunyai perancangan. Walaupun ada antara mereka yang bermula dengan idea biasa atau idea gila, tanpa rancangan yang kukuh dan gagal, mereka kemudiannya dapat berjalan baik dengan penyusunan semula.
Secara amnya, semua pendiri bisnes mempunyai perancangan hidup. Atas dasar itulah mereka bergerak dan merealisasikan idea bisnes itu.
PELAJARAN
Orang bisnes yang hanya ada perancangan diri perlu mengubah kepada ‘perancangan hidup’. Hidup bukan untuk ‘sendiri’.
.