Saya melihat situasi dimana bisnes pendidikan diuruskan sepenuhnya sebagai entiti bisnes. Kekeliruan mula timbul apabila menjalankan bisnes pendidikan dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial. Manakala, tanggungjawab sosial pula bertukar dijadikan sebagai satu bisnes.
Dalam beberapa pertemuan dan perbincangan antara orang bisnes dalam industri pendidikan, masih ada perbincangan seperti ini. Institusi pendidikan di Malaysia diuruskan oleh beberapa entiti.
Ada sebahagiannya yang memang dikendalikan dibawah kelolaan ejensi kerajaan, sebahagian lagi oleh persatuan atau badan tertentu dan sebahagian besarnya adalah kendalian entiti bisnes yang bertaraf syarikat swasta.
Wujudnya entiti bisnes yang bertaraf syarikat swasta ini adalah bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan kanak-kanak terutama di kawasan Bandar yang bertaraf ‘urban’.
Kepadatan penduduk dan peningkatan kuasa membeli menyebabkan adanya pilihan yang ibu bapa mahu untuk anak mereka terutamanya bagi keluarga yang berada dalam kategori berpendapatan tinggi.
Oleh itu, entiti bisnes yang menceburi dan menguruskan pusat atau institusi pendidikan mempunyai banyak perbezaan dari segi operasi dan penyelenggaraan bisnesnya.
Pada keadaan tertentu, syarikat swasta dilihat seolah mengambil peluang berbisnes dengan mengabaikan tanggungjawab memberikan pendidikan berkualiti kepada pelanggan.
Secara amnya, ‘kepuasan pelanggan’ adalah perkara pokok yang diutamakan oleh semua entiti. Tidak kira sama ada ia adalah ejensi kerajaan, persatuan atau sebuah syarikat. Semua pengurusan ini memerlukan penyelenggaraan dan pengurusan yang sama.
Perbezaannya bergantung kepada sumber dana dan objektif entiti berkenaan. Seandainya ia berbentuk ejensi kerajaan atau GLC, biasanya ia lebih bersifat servis yang khusus kepada pekerja di jabatan kerajaan yang berkenaan sahaja. Premis dan penyediaan fasiliti dibawah tanggungan ejensi yang membolehkan yuran servisnya lebih rendah daripada yuran yang standard.
Dalam situasi ini, situasi percukaiannya membolehkan GLC membuat penyusunan strategi pembayaran.
Seandainya ia berbentuk pengurusan persatuan, biasanya ia lebih bersifat servis yang melibatkan ahli persatuan seperti NGO. Yuran servisnya pula berdasarkan persetujuan ahli persatuan yang menyebabkan yuran servisnya berbeza-beza mengikut keputusan mesyuarat.
Dalam situasi ini pula, NGO dan persatuan yang sama status, biasanya tidak terlibat dalam isu percukaian.
Namun, apabila ia melibatkan entiti yang disebut sebagai syarikat, ia melibat semua peraturan dan tatcara yang termaktub dalam akta yang berkaitan. Ini termasuk akta syarikat dan akta pekerja.
Walaubagaimanapun, dalam semua situasi pengurusan sama ada ejensi keranaan atau GLC, persatuan dan NGO atau syarikat, kepuasan pelanggan menjadi faktor yang menyebabkan pemilihan dan kelangsungan perjalanan projek itu.
Hanya dengan kepuasan pelangganlah bisnes dapat menjana pendapatan hasil daripada kepercayaan pelanggan memberikan wang mereka kepada syarikat bisnes untuk perkhidmatan yang mereka mahukan.
Melihat kepada fakta ini, status syarikat, persatuan atau ejensi kerajaan tertentu bukanlah menjadi penentuan kepada kualiti khidmat yang ditawarkan.
Hakikatnya, dalam banyak keadaan, pelanggan masih mengaitkan harga dan yuran pendidikan dengan kualiti pembelajaran. Hari ini, kita dapat melihat perubahan trend yang jelas akan kehendak dan keperluan pelanggan. Ramai yang bercerita dan bercakap tentang ‘user experience’ apabila mereka membuat keputusan untuk memilih.
PELAJARAN
Tugas dan kemahiran berbisnes tidak sama dengan tugas dan kepakaran mendidik. Kerjasama yang betul memberikan hasil yang lebih baik daripada biasa.