Fasa Bisnes : Cabaran yang tersembunyi.

*Artikel ini boleh dicetak semula dengan menyertakan biografi ringkas penulis.

Proses pembangunan bisnes mengambil masa yang berbeza bagi bisnes yang berbeza. Bergantung kepada industri dan sektor bisnes. Usahawan yang berjaya adalah mereka yang bijak dan cekal membawa misi dan hala tuju bisnes dengan tepat.

Meskipun bakat dan kebolehan menjadi asset utama, kebolehan usahwan untuk melalui proses pembanguan tidak menjamin bisnes itu berjaya melalui fasa kelangsungan bisnes. Fasa ini juga dikenali sebagai fasa ‘survival’.

Fasa pembanguan dan kelangsungan bisnes memerlukan dua kemahiran pengurusan yang berbeza.

Sebagai contoh, usahawan yang berusaha membangunkan bisnes jualan nasi lemaknya pada 6 bulan yang pertama akan lebih fokus kepada proses menarik minat pelanggan membeli dan mencuba nasi lemaknya itu. Beliau mungkin akan memikirkan cara-cara promosi dan meningkatkan ‘visibility’ gerai beliau.

Tetapi, apabila sudah memasuki 6 bulan yang kedua, beliau akan mula melihat kepada pertambahan servis di gerai nasi lemak beliau. Hinggakan ada sebahagian gerai nasi lemak biasa mula menambah menu dengan pelbagai kuih tambahan.

Seteruanya, ada juga kemungkinan beliau menambahkan jenis perkhidmatan. Ini mungkin terhasil dengan adanya penambahan tempat duduk untuk pelanggan yang mahu menghabiskan hanya 5-10 minit bagi menikmati sarapan ringkas.  Makan sebungkus nasi lemak dan secawan kopi.

Masuk tahun seteruanya dalam perniagaan, beliau perlu pula merancang bagaimana mahu memastikan perniagaannya bertahan. Sama ada beliau mahu meneruskan operasi dengan skala berkembang atau dengan cara yang lain.

Ada yang memilih untuk meninggalkan perniagaan itu dan menceburi perniagaan yang lain dengan pengalaman dan modal terkumpul. Ada juga yang mahu meneruskan kelangusungan perniagaan dengan memperkenalkan konsep ‘gerai nasi lemak’ yang unik.

Fasa kelangsungan bisnes juga melihat banyak usahawan yang menerokai bidang yang berbeza. Ada juga yang dilihat menamatkan sahaja penglibatan mereka dalam dunia bisnes.

Tidak kira apa juga saiz perniagaan yang sedang dijalankan, seorang usahawan yang mempunyai kemahiran dan bakat amat memerlukan rakan niaga yang kuat untuk memastikan kelangsungan bisnes dan dirinya sendiri dalam dunia bisnes.

Rakan niaga ini bukanlah mereka yang memberikan bantuan kewangan sahaja. Mereka adalah orang yang memberikan sumbangan mealui kepakaran tersendiri kepada bisnes itu.

Rakan niaga yang pakar ini adalah termasuk penasihat undang-undang, perancang strategi bisnes, pakar akaun dan kewangan serta pakar pembangunan bisnes.

Mengetahui fasa bisnes menjadi kunci utama kepada pengetahuan tentang kemahiran mengurus yang sesuai dan diperlukan bagi setiap usahawan. Ia amat berbeza bagi setiap usahawan meskipun mereka berada di dalam industri dan sektor perniagaan yang sama.

Secara ringkasnya, beberapa rahsia tersembunyi dalam cabaran bisnes yang perlu didalami oleh usahwan adalah:

  1. Mengenalpasti fasa perniagaan.
  2. Mengukuhkan kemahiran mengurus perniagaan mengikut fasa perkembangan bisnes.
  3. Membina jaringan rakan niaga yang mantap.

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.